Halaman

22 January 2013

Tesdec tawar kursus juruteknik perlombongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) bakal menawarkan kursus juruteknik perlombongan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Terengganu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bagi pengambilan pertama yang dijangka bermula Mac hingga April ini, seramai 40 pelajar akan menjalani latihan kemahiran yang memakan masa dua hingga  tiga bulan.

“Tesdec mendapat tawaran daripada Eastern Steel Sdn Bhd supaya melatih pelajar dalam bidang perlombongan itu untuk diserapkan bekerja di syarikat berkenaan sebaik menamatkan latihan mereka.

“Kebolehpasaran kerja di bidang perlombongan amat tinggi dan perkembangan itu menyebabkan kita mahu pelajar mengambil peluang memanfaatkan kursus yang disediakan oleh Tesdec kelak," katanya

Dato' Ahmad Razif berkata, Syarikat Eastern Stell membuka peluang pekerjaan kepada 2,000 orang untuk bekerja di syarikat mereka..

Dato’ Ahmad Razif berkata, kursus juruteknik berkenaan lanjutan daripada program yang dilaksanakan di Kolej Universiti TATI (TATiUC) yang melatih 40 jurutera melalui kerjasama dengan syarikat perlombongan yang berpangkalan di China.


RM5,000 bagi setiap PIBG sekolah DUN Kijal

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan peruntukan RM5,000 bagi setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.



Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu memantapkan lagi sistem pembelajaran sekolah-sekolah di kawasan berkenaan, sekaligus menaikkan nama sekolah dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang.

“Walaupun keputusan UPSR baru-baru ini, kita tidak dapat mengekalkan kedudukan kita nombor satu dalam negara, namun itu bukan satu alasan untuk kita semua terus mengalah, sebaliknya kita perlu menebus balik kekalahan kita,” katanya.

Beliau mengumumkan peruntukan tersebut sewaktu berucap di majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar di Dewan Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang, semalam.

Kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu yang julung kali ke sekolah berkenaan yang baru siap, memang dialu-alukan warga sekolah berkenaan.

Seramai 1,630 pelajar diiringi ibu bapa dari dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 yang diagihkan sendiri oleh Menteri Besar.

Menteri Besar berharap semua pihak berusaha lebih gigih bagi membolehkan Terengganu mengekalkan kecemerlangan dalam semua peperiksaan awam pada tahun ini, termasuk UPSR.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman, Haji Sulaiman Mohamad; Ketua Wanita UMNO Kemaman, YB Senator Hajah Rohani Abdullah, Setiausaha Politik, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Pengarah APMT, Roshali Taha.



LKIM laksana projek penempatan rumah nelayan

Oleh; Esah Abdullah

 Kira-kira 300 nelayan di negeri ini bakal menduduki rumah kediaman lebih selesa apabila projek penempatan semula nelayan miskin dapat dilaksanakan tidak lama lagi.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)cawangan Terengganu, Encik Mohd Saffe Mohd berkata, pihaknya kini sedang mencari lokasi sesuai di Setiu untuk laksanakan projek berkenaan.

“Setakat ini kita sedang berunding dengan kerajaan negeri dan beberapa jabatan kerajaan berkaitan sebagai prosedur pelaksanaan projek terbabit,” katanya dalam sidang media di majlis penyerahan elaun sara hidup bulanan di Perpustakaan Awam Terengganu semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh sekali gus menyampaikan bantuan sara hidup kepada 450 nelayan dalam daerah Kuala Terengganu.

Katanya, LKIM akan sediakan peruntukan untuk membina rumah manakala penyediaan kemudahan infrastruktur perumahan yang lain akan disediakan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, projek penempatan semula nelayan secara berkelompok yang bakal dilaksanakan itu bertujuan memberi peluang kepada golongan nelayan miskin untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

Katanya, negeri ini masih belum mempunyai penempatan khusus untuk golongan nelayan tetapi di Kelantan, seramai 300 nelayan telah berpindah ke kawasan penempatan baharu di Tok Bali pada tahun lalu.

Sehubungan itu, LKIM akan memberi keutamaan kepada nelayan miskin yang masih belum memiliki rumah sendiri, mendiami rumah yang uzur atau menumpang bersama keluarga untuk skim penempatan semula itu.

Tambahnya, kawasan perumahan itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas yang diperlukan manakala keluarga nelayan yang akan berpindah ke situ juga berpeluang menambah pendapatan dengan mengusahakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan ikan.

 

710 murid SK Gelugur Kedai terima bantuan

Oleh :Amirullah Othman 

Riak kegembiraan terpancar di wajah ibu bapa dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Gelugur Kedai, pagi semalam, apabila mereka menerima bantuan khas awal persekolahan seperti yang dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Bantuan tersebut disampaikan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, di dewan sekolah berkenaan.

Seramai 710 pelajar mendapat bantuan berkenaan sebanyak RM100 seorang di mana ia bakal digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan mereka.

Dato’ Haji Abdul Rahman dalam ucapannya menyeru kepada para ibu bapa supaya menggunakan bantuan tersebut bagi kegunaan anak masing-masing.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberi rahmat kepada negara kita Malaysia dan Negeri Terengganu serta pemerintah seperti Kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk negara.

“Oleh yang demikian wajarlah untuk kita berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah dengan memberikan undi kepada Barisan Nasional dalam PRU 13 nanti,” katanya.

Katanya, Kerajaan BN memang menitikberatkan pelajaran anak-anak apabila sentiasa mengeluarkan peruntukan yang besar untuk pelajaran dan sistem pembelajaran yang terbaik di negara kita di mana banyak sekolah baru dibina pada setiap tahun bagi menempatkan pelajar di seluruh negara.


21 January 2013

Teganukita 72


SATU berjaya turun kadar NRW setiap tahun

Oleh; Esah Abdullah

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) berjaya mengurangkan kadar kehilangan air tak terakaun (NRW) kepada 35.78 peratus tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong berkata walau pun kadar itu masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 32 peratus namun penurunan berlaku setiap tahun iaitu 39.39 peratus (2010) dan 36.39 peratus (2011).

“Kadar NRW menunjukkan tred yang semakin menurun hasil usaha dan tindakan yang dilakukan seperti mengganti paip-paip jenis asbestos carnent (AC) khususnya di kawasan yang mengalami kebocoran kritikal,” katanya dalam sidang media di majlis Perasmian Hari Kualiti SATU di Wisma Darul Iman.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah SATU Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya,usaha lain turut dilakukan dengan menukarkan meter pengguna yang berusia lebih tujuh tahun serta menubuhkan unit khas NRW di samping aplikasi sistem teknologi maklumat untuk kawalan paras tangki.

Menurutnya, SATU juga telah melantik juru perunding untuk menjalankan kajian bagi mengenalpasti punca masalah tekanan air rendah khususnya di daerah Kuala Terengganu.

“Langkah segera juga diambil bagi mengatasi laluan paip yang kebocoran berulang dan kritikal yang diganti dengan paip lebih berkualiti serta mempunyai daya ketahanan tinggi,” katanya.

Menurutnya, SATU menerima peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM10 juta (2011-2012) bagi menangani isu-isu berkaitan dengan NRW termasuk mengantikan paip bocor serta penukaran meter pengguna.

Sementara itu seramai 49 orang kakitangan SATU telah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (2010-2011) dan 63 orang kakitangan bersara (2011-2012) diraikan pada majlis itu.

Setiap penerima anugerah cemerlang menerima wang tunai RM1,000, sebuah jam tangan, medal dan sijil manakala setiap pesara menerima sebuah jam tangan, senaskah tafsir al-Quran dan sijil.

 

Program hospitaliti penuhi kebolehpasaran kerja bidang pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan Kursus Pelancongan dan Hospitaliti bagi menghasilkan graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja yang semakin tinggi di sektor itu pada masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata dua pusat pengajian iaitu Kolej Universiti Tati (TATiUC) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) akan memainkan peranan mewujudkan program yang dapat menepati kebolehpasaran kerja sebagaimana perkembangan semasa itu.

“Berdasarkan maklumat daripada kajian yang dibuat Jabatan Pembangunan Kemahiran, terdapat dua profesion yang mendapat permintaan tinggi ( pasaran kerja) pada masa kini, iaitu bidang pelancongan dan juga pembangunan, di mana pembangunan seperti kerja pembinaan. Maka, kita akan memberi fokus kepada dua bidang berkenaan

“Dari segi pelancongan, lebih-lebih lagi Terengganu menjadi hab pelancongan negara kita, maka kita akan mewujudkan peluang kepada pelajar mengikuti program yang dapat memenuhi permintaan ke arah itu,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan yang melibatkan tiga pihak, iaitu antara portfolio Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, portfolio Pelancongan, Kebudayaan , Kesenian dan Warisan negeri serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengadakan usahasama untuk melaksanakan kursus hospitaliti dalam masa terrdekat.

“Kita sedang berbincang untuk mengadakan kursus hospitaliti di Riyaz Heritage & Spa Resort, Pulau Duyung sekiranya termeterai perjanjian antara tiga pihak berkenaan.

“Kursus itu dijangka akan laksanakan dalam masa terdekat untuk memenuhi keperluan Terengganu sebagai hab pelancongan negara ini, sekali gus menyokong usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong yang akhirnya menyumbang kepada ekonomi negeri ,” katanya.


Acara sampingan bantu sasar empat juta pelancong

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menerima sambutan menggalakkan daripada penggiat pelancongan untuk mengatur dan melaksanakan pelbagai acara sampingan bagi membantu menarik kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata selain 34 acara teras, pelbagai acara sampingan juga bakal dilaksanakan bagi menyokong kepada acara utama berkenaan sekali gus dapat mencapai sasaran empat juta pelancong tahun ini.

“Kita akan pastikan 34 program dapat berjalan lancar, selain menjangkakan lebih banyak lagi acara sampingan turut dikemukakan kepada kita.

 “ Nampaknya TMT sudah mula terasa bahangnya apabila ramai (penggiat pelancongan) mengemukakan proposal untuk menyertai promosi dan pengisian Tahun Melawat Terengganu,” katanya baru-baru ini.

 Datuk Abdul Rahin berkata, antara pihak terlibat adalah Muzium Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu , agensi pelancongan dan pengusaha hotel serta resort.

Katanya, pihaknya menyenaraikan 34 acara utama yang terbaik serta acara sampingan lain bagi menjenama, memperkasa dan memperkenalkan produk serta destinasi pelancongan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, kesemua acara berasaskan sukan, rekreasi air, kebudayaan dan warisan bakal dilaksanakan di seluruh daerah berdasarkan kepada kesesuaian penganjuran acara di sesebuah destinasi yang bertaraf antarabangsa, selain berjaya menjenama serta memperkenalkan produk mahu pun destinasi pelancongan itu.

“Kalendar aktiviti pelancongan yang menyenaraikan semua acara teras berkenaan sudah dicetak dan diedar kepada orang ramai khususnya kepada jabatan kerajaan, premis perniagaan dan hotel serta semua penggiat pelancongan dalam dan luar Terengganu sebagai usaha promosi dan pemasaran pakej acara-acara agar menjadi lebih efektif serta terancang.

 “Ia juga bagi memudahkan perancangan serta pelaksanaan acara-acara oleh penganjur acara serta membantu pelancong merancang percutian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan setiap acara yang dilaksanakan berkesan dari aspek pencapaian, relevan dan spesifik bagi memberi impak kepada industri pelancongan.

 

JOM BERSAMA PENULIS BUKU "KAFIRKah Aku? ... C.N AL-AFGHANI (CIKGU ZAINON)

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Anda mahu dengar pengakuan bekas pengikut tegar Pas, Cikgu Zainon Ismail? Oleh kerana kerana terlalu percayakan Amanat Hadi beliau sanggup berhenti sebagai guru semata-mata untuk membantu perjuangan Pas.

Setelah beliau insaf, Presiden Pas Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang hanya melebelkannya hanya sebagai ‘guru sekolah rendah”. Beliaulah yang telah menulis buku “Kafirkah Aku?” yang telah menggegarkan masyarakat Islam di negara ini khususnya dengan pendedahan beliau tentang penyelewengan di dalam Pas.

Beliau juga pernah menjadi wartawan/penulis di akhbar Harakah, malah sanggup bersama mujahidin di bumi Afghanistan sekitar tahun 1988.

Hari ini setelah tersesat di hujung jalan beliau kembali ke pangkal jalan. Unit Komunikasi Negeri akan menganjurkan program Diskusi bersama dengan Cikgu Zainon atau C.N Al- Afgani pada 29 Januari 2013 (Selasa) jam 8.30 pagi bertempat di Stadium Negeri di Jalan Sultan Mahmud.

Para pendakwah di bawah Yayasan Islam Terengganu, Imam/bilal dan Ahli jawatankuasa Masjid adalah di antara yang akan hadir ke diskusi tersebut. Persuruhjaya Agama Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Rozali Salleh dijangka akan menyampaikan ucaputama dan seterusnya menjadi moderator diskusi yang bertajuk “Dilema dan ranjau perjuangan Islam di Malaysia.”.

Anda pasti berminat untuk mengenali Cikgu Zainon lebih lanjut dan mendengar pengakuan terbukanya tentang kesesatan dalam parti berkenaan yang pernah didokonginya.

(Sila KLIK di FACEBOOK TEGANUKITA untuk menyertai.

 

BN akan buka bilik gerakan

Oleh: Suriati Ali 

 Barisan Nasional (BN) Terengganu akan membuka pusat-pusat daerah mengundi atau Bilik Gerakan BN di seluruh negeri yang melibatkan 343 peti undi pada 1 Februari ini.

 Pengerusi BN Terengganu yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bilik gerakan yang akan beroperasi sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, sebagai usaha melicinkan tempoh berkempen.

“Petugas yang memasang poster dan bendera parti sudah lama bersedia untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing mengikut garis panduan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 “Mereka dilarang sama sekali melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa walaupun mengetahui ada pihak lain berbuat demikian“ katanya kepada pemberita pada satu majlis, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

 Menurutnya, BN Terengganu sudah lama bersedia untuk menghadapi PRU-13 dan yakin mampu menawan beberapa kerusi yang kini dimiliki pembangkang.

 “Dengan gerak kerja yang kita atur dan sambutan dari akar umbi lebih-lebih lagi dari jentera parti secara keseluruhannya kekuatan BN semakim terselah,” katanya.