Halaman

22 January 2013

LKIM laksana projek penempatan rumah nelayan

Oleh; Esah Abdullah

 Kira-kira 300 nelayan di negeri ini bakal menduduki rumah kediaman lebih selesa apabila projek penempatan semula nelayan miskin dapat dilaksanakan tidak lama lagi.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)cawangan Terengganu, Encik Mohd Saffe Mohd berkata, pihaknya kini sedang mencari lokasi sesuai di Setiu untuk laksanakan projek berkenaan.

“Setakat ini kita sedang berunding dengan kerajaan negeri dan beberapa jabatan kerajaan berkaitan sebagai prosedur pelaksanaan projek terbabit,” katanya dalam sidang media di majlis penyerahan elaun sara hidup bulanan di Perpustakaan Awam Terengganu semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh sekali gus menyampaikan bantuan sara hidup kepada 450 nelayan dalam daerah Kuala Terengganu.

Katanya, LKIM akan sediakan peruntukan untuk membina rumah manakala penyediaan kemudahan infrastruktur perumahan yang lain akan disediakan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, projek penempatan semula nelayan secara berkelompok yang bakal dilaksanakan itu bertujuan memberi peluang kepada golongan nelayan miskin untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

Katanya, negeri ini masih belum mempunyai penempatan khusus untuk golongan nelayan tetapi di Kelantan, seramai 300 nelayan telah berpindah ke kawasan penempatan baharu di Tok Bali pada tahun lalu.

Sehubungan itu, LKIM akan memberi keutamaan kepada nelayan miskin yang masih belum memiliki rumah sendiri, mendiami rumah yang uzur atau menumpang bersama keluarga untuk skim penempatan semula itu.

Tambahnya, kawasan perumahan itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas yang diperlukan manakala keluarga nelayan yang akan berpindah ke situ juga berpeluang menambah pendapatan dengan mengusahakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan ikan.