Halaman

23 January 2013

Terengganu belanja besar untuk pendidikan

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri memperuntukkan pelaburan yang besar pada setiap tahun semata-mata mahu melihat bidang pendidikan di Terengganu terus unggul mencapai kecemerlangan dan seterusnya mencapai matlamat `program 201052’.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa sama, pelbagai program dan insentif tertentu turut disediakan sebagai galakan serta ganjaran buat pelajar dan guru.

 Antara program yang dilaksanakan melalui Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) termasuk Program Pelajar Terengganu Terbilang, Program Bimbingan Sekolah, Program Akademi, Program Tutorial, Insentif Pelajar Cemerlang dan Anugerah Guru Terbilang.

“Pelbagai saluran bantuan disediakan untuk memastikan tidak ada anak negeri ini tercicir daripada mendapat pendidikan terbaik.

 “Terengganu juga menjadi pelopor pendidikan maya, pemberian e-Book secara percuma kepada pelajar-pelajar Tahun Empat dan Lima, sebagai persediaan awal bagi anak-anak Terengganu menyahut cabaran pendidikan universal yang semakin canggih.

 “E-Book merupakan antara komponen penting dalam memperkasakan pendidikan negeri serta menjadi titik tolak yang terpenting dalam persediaan menterjemahkan wawasan untuk menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Guru Unggul Exxomobil, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Zubir Embong.

Seramai 30 guru dari pelbagai sekolah di sekolah seluruh Terengganu dijemput bagi menerima Anugerah Guru Unggul Exxonmobil 2012.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kecemerlangan pendidikan di Terengganu terbukti dengan pencapaian demi pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan utama negara.

 “Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memastikan kecemerlangan itu berterusan dengan memperkenalkan `program 201052’,” katanya.