Sudah tiba masanya kerajaan perlu menilai semula pemberian bantuan bulanan kepada orang kurang upaya (OKU) kepada kadar yang lebih munasabah.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, dalam arus pembangunan yang pesat masa kini sudah tentu perbelanjaan sara hidup urut meningkat.
“Mereka juga memerlukan kehidupan yang selesa seperti insan lain,” katanya kepada pemberita di majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra bersama keluarga dan pelajar Pusat Dalam Komuniti (PDK) Seberang Takir di Restoran Makanan Segera, Batu Buruk hari ini.
Hadir sama Penyelias PDK Seberang Takir, Puan Nor Hashima Ariffin 80 pelajar beserta ibu bapa dan penjaga masing-masing.
Katanya, setakat ini pelajar yang tinggal di PDK menerima bantuan bulanan RM150 seorang manakala yang tinggal di rumah menerima RM50.
Menurutnya, terdapat tiga buah PDK dalam Parlimen Kuala Nerus iaitu PDK Manir dan Mengabang Telong dan Seberang takir dengan jumlah pelajar 180 orang dan bakal bertambah sebuah lagi di Wakaf Tembesu bagi menampung keperluan masyarakat setempat.
“Saya berharap projek PDK di Wakaf Tembesu dapat disegerakan kerana ramai ibu bapa yang mempunyai anak OKU merungut PDK sedia ada terlalu jauh dari tempat mereka.
Belaiu seterusnya menyeru ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa tidak merasa malu dengan anugerah ini sebaliknya berilah mereka pendidikan dengan menghantar ke pusat-pusat yang disediakan.
Di situ mereka diajar mengurus diri dan tentu dapat meringankan beban keluarga bila mereka meningkat dewasa.
Setakat ini katanya pelajar di PDK berusia antara empat hingga 31 tahun dan tinggal di pusat serta ada yang datang dihantar keluarga pada waktu belajar sahaja.
Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan ini dan setiap PDK menerima geran pengurusan dan pentadbiran daripada kerajaan sebanyak RM100,000 setahun.