Halaman

23 January 2013

Bapa perlu cakna pelajaran anak-anak

Oleh: Noraini Jusoh

Golongan bapa khususnya perlu cakna terhadap pendidikan anak-anak agar mereka lebih fokus dalam menumpukan perhatian terhadap bidang pelajaran, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir berkata, kebiasaannya golongan ibu yang lebih peka terhadap pelajaran anak-anak dimana apabila sesuatu majlis yang melibatkan ibu bapa pelajar, sebahagian besar golongan ibu yang akan hadir ke sekolah.

"Justeru, saya sangat berbesar hati sekiranya golongan bapa dapat meluangkan masa untuk duduk berbincang dengan pihak sekolah mengenai perkembangan pelajaran anak masing-masing.

"Kebiasaannya, saya dapati tidak ramai golongan bapa hadir ke sekolah apabila sesuatu majlis diadakan, justeru saya mengharapkan selepas ini lebih ramai golongan bapa hadir apabila dijemput pihak sekolah demi kecemerlangan anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (KOMSTAR), semalam.

Seramai 823 pelajar sekolah tersebut menerima wang tunai RM100 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM82,300.

KOMSTAR merupakan sekolah keempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang menerima keistimewaan tersebut selepas Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri dimana majlis penyerahan bantuan di semua sekolah terbabit turut disempurnakan Dato’ Haji Ahmad Razif.