Halaman

24 January 2013

Umat Islam perlu bersatu

Oleh: Suriati Ali

‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ bukan bermaksud sama rata, tetapi adalah pendekatan kasih sayang, kesejahteraan dan perpaduan yang dikongsi bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama.



 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata ia juga bukan berada ditengah-tengah tanpa pendirian, tetapi bertujuan mengutamakan dan menjaga perkara-perkara dasar.

 Katanya, oleh itu, nikmat yang dikurniakan kepada kita hendaklah disyukuri, malah kita sepatutnya membuka mata dan melihat bagaimana negara-negara lain kecundang di sebalik kemenangan.

“Sesungguhnya cabaran bagi umat Islam amatlah besar, perpecahan merupakan satu cabaran utama umat Islam hari ini.

 “Semua umat Islam perlu bertanggungjawab dalam memainkan peranan ke arah menyatukan umat,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Ambang Maulidur Rasul di Masjid Bukit Chempaka, Batu Rakit Kuala Terengganu, petang semalam.



Kira-kira 400 jemaah hadir untuk bersama-sama Dato’ Seri Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan penolong Pesuruhjaya (Imam Besar), Encik Aizi Saidi solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah.

Penceramah bebas yang sering muncul di kaca televesyen, Ustaz Badli Shah Alauddin, turut menyampaikan ceramah berkaitan bagaimana menjadi umat Islam sejati, sebagaimana yang diamalkan Rasulullah.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, perkembangan semasa hari ini menuntut umat Islam bersatu demi menjamin masa depan umat dan generasi akan dating. Tiada kerugian jika umat Islam bersatu.

“Melalui kesatuan ummah, Allah akan memberi rahmat. Sebaliknya perpecahan akan mengundang petaka dan penderitaan,” katanya.