Halaman

25 January 2013

Magis dua Syuhada

Oleh: Aida Abd Rahman

Kekurangan pada diri sejak dilahirkan kadangkala menjadi penghalang bagi kebanyakan individu untuk mengecap rutin hidup yang sempurna, apatah lagi meraih sesuatu kejayaan sebagaimana insan normal yang lain.

Tidak bagi dua sahabat baik, Alia Syuhada Aziz dan Nur Syuhada Izani, masing-masing 15 tahun dari Sekolah Menengah Tengku Mizan, Kuala Terengganu apabila mencipta magis tersendiri sebagai pelajar biarpun kedua-dua mereka dilahirkan dengan mengalami masalah pendengaran dan juga pertuturan.

Berbekalkan keyakinan dan semangat yang kental, Alia yang mengalami cacat pendengaran sejak lahir berjaya mengatasi keupayaan pelajar normal apabila muncul satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di negeri ini yang memperolehi 8A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), baru-baru ini.

Anak kedua daripada lima beradik, pasangan suami isteri Aziz Ismail, 45 dan Zalina Mat Lazim, 44, jika dilihat pada mata kasar adalah seorang yang normal, namun realiti sebenar, dia berdepan masalah pendengaran.

Bercerita lanjut mengenai kekurangan diri yang juga dikategorikan sebagai orang kurang upaya selain dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan berikutan pekerjaan bapa sebagai buruh di kilang batu-bata dengan hanya berpendapatan sekitar RM800 sebulan, Alia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pendengaran sejak berusia 12 tahun lagi.

 “Saya mula menggunakan alat (bantuan pendengaran) semasa Tahun Enam, memandangkan ketika itu mahu mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Alhamdulillah, walaupun begitu, saya tetap memperolehi keputusan 5A dalam peperiksaan itu.

“Dalam kelas, saya perlu berada di kedudukan paling depan bagi memastikan apa yang guru ajar dapat didengar dan difahami dengan baik. Bagaimanapun, dengan kekurangan saya ini, saya lebih rapat dengan buku berbanding dengan guru kerana saya lebih memahami setiap apa yang diajar menerusi pembacaan dan juga bahan rujukan,” katanya.

Pelajar yang lahir tanggal 11 November 1997 itu tidak mengamalkan kaedah khusus untuk mentelaah pelajaran, sebaliknya mempraktikkan cara yang sama sahaja sebagaimana dilakukan rakan yang lain.

Dia yang berulang-alik dengan berbasikal sejauh tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Padang Kemunting untuk ke sekolah hanya memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran ketika di kelas, selain menggandakan doa dan solat tahajud serta hajat bagi memohon keberkatan dari Allah s.w.t.

 Alia merupakan antara 124 CBK yang menduduki PMR di 39 pusat peperiksaan seluruh Terengganu, mendapat mendapat 6A 2B ketika peperiksaan percubaan PMR, berhasrat meneruskan kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lagi serta menyambung pengajian ke peringkat tertinggi bagi menggapai impian menjadi doktor.

Bagi Nur Syuhada yang mengalami sumbing sejak lahir, bagaimanapun dia tidak dikategorikan sebagai CBK, kekurangan pada dirinya hanyalah pada fizikal dan wajah semata-mata , malah tidak menjejaskan moralnya untuk bersaing dengan rakan normal yang lain.

Menurut pelajar yang tinggal di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, dia nekad belajar dengah gigih serta tidak mempedulikan tanggapan dan pandangan serong orang lain terhadapnya.

Walaupun kecacatan anak kedua daripada lima beradik itu sedikit menjejaskan pertuturan yang mana pada satu-satu ketika ia sukar difahami, Syuhada tetap menganggap ada hikmah yang tersembunyi dan memberinya lebih motivasi bagi mencipta lebih banyak kejayaan. “Saya berhasrat menjadi arkitek satu masa nanti dan mahu mengubah nasib keluarga. Saya nekad mahu membahagiakan ibu bapa, Fatimah Abd Aziz, 40 dan Izani Abdullah, 42, yang selama ini sudah banyak berkorban untuk kami.

 “Sekurang-kurangnya kesusahan ayah mencari rezeki sebagai peniaga ikan dengan pendapatan yang tidak menentu selama ini terbayar dengan kejayaan kami anak-anak dalam pelajaran dan juga kerjaya masing-masing kelak,” katanya.

 Sementara itu, guru kelasnya, Encik Akla Su, 45, turut berbangga dengan potensi dan pencapaian kedua-dua pelajar bernama Syuhada itu, malah menyifatkan pencapaian luar biasa kedua-dua pelajar yang berkarektor pendiam itu mampu menjadi perangsang pelajar normal lain supaya dapat mencapai kejayaan yang sama.

 “Disebabkan dia (Alia) OKU (cacat pendengaran), dia minta supaya ditempatkan di barisan paling depan dalam kelas bagi memastikan setiap apa yang guru ajar lebih jelas didengar.

 “Sebagai guru kelas dan turut mengajar subjek Kemahiran Hidup, saya tidak meminggirkan dia, malah memberi tumpuan sama rata sebagaimana juga pelajar saya yang lain,” katanya.