Cuti persekolahan yang lebih panjang bersempena sambutan Maulidur Rasul pada Khamis lalu, diikuti dengan cuti hujung minggu pada dua hari berikutnya memberi peluang ramai ibu bapa meluangkan masa bercuti bersama anak-anak, sambil tidak kurang juga yang memilih perjalanan jauh bagi memenuhi undangan pelbagai majlis keraian dan kenduri perkahwinan saudara mahu pun rakan.
Pada musim begini juga menyebabkan premis perniagaan turut menjadi tumpuan, khususnya gerai yang menjual pelbagai makanan laut yang dibangunkan di sepanjang pantai Terengganu.
Warung Pok Nong yang diusahakan Mohd Noor Nawang, 54, di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, Kuala Terengganu umpamanya adalah antara gerai menjual ikan, sotong dan udang celup tepung yang sudah tersohor, malah menjadi tarikan ramai terutama pada musim cuti umum.
Menurut isteri pengusaha warung berkenaan, Raziah Omar, 50, jika pada hari biasa, mereka hanya menyediakan kira-kira 50 kilogram (kg) sotong, 30 kg ikan dan 10 kg udang, namun pada hari cuti umum dan hujung minggu, bekalan bahan mentah berkenaan akan meningkat sekali ganda.
“Alhamdulillah, jualan amat baik dan menguntungkan. Macam hari ini semua bahan mentah yang dibeli dari pasar sekitar Kuala Terengganu ini perlu disediakan lebih sekali ganda berbanding hari-hari biasa dan sotong paling mendapat permintaan luar biasa.
“Memang tidak cukup tangan, pelanggan tidak putus-putus datang dan menunggu hidangan sejak gerai dibuka dari 3.30 hingga lewat petang. Kemuncaknya sekitar jam 4 hingga 6.30 petang. Bukan sahaja orang tempatan, malah orang luar Terengganu pun ramai ke gerai kami,” katanya kepada Teganukita, semalam.
Menurutnya, situasi biasa di gerainya itu apabila belum sempat semua makanan laut yang digoreng itu, ditos minyak dan diletakkan ke dalam dulang di kaunter jualan, kesemuanya sepantas kilat `dilarikan' pelanggan yang menunggu untuk menjamu selera di meja masing-masing.
Raziah berkata, perniagaan mula dahulunya dilakukan secara kecil-kecilan kini menjadi sumber rezeki utama mereka sekeluarga, selain turut memberi pendapatan kepada 10 orang pekerja mereka yang terdiri daripada anak-anak, saudara dan jiran terdekat.
Katanya, berada di lokasi yang strategik menghadap Laut China Selatan, selain harga yang ditawarkan juga berpatutan menjadikan gerainya terus dilimpahi pelanggan sejak 20 tahun lalu.