Halaman

26 January 2013

Terengganu kaya dengan khazanah warisan

Oleh: Suriati Ali

 `Tema Negeri Cantik, Budaya Menarik’ terjemahan tepat yang boleh diungkap kepada negeri Terengganu yang sememangnya kaya dengan kepelbagaian warisan, hasil kraftangan, seni, budaya dan khazanah alam semulajadi.

 Negeri yang cukup tersohor dengan nasi dagang, keropok lekor, songket, sutera, tembaga dan batik pasti menjadi bualan dan buah tangan pelancong setiap kali mengunjungi Terengganu.

 Permandangan semulajadi dan lokasi indah yang dimiliki Terengganu termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir kini semakin menjadi rebutan beberapa syarikat filem tempatan dan luar negara sebagai lokasi pengambaran.

Keindahan pulau, pantai dan air terjun yang masing-masing berada di tujuh daerah di Terengganu pasti menjadi buruan pelancongan untuk diabadikan sebagai kenangan terindah bersama teman atau keluarga.

Langkah kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan memperkenalkan puluhan program dan destinasi terkenal dijangka mampu memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat dan negeri.

Jika 3.8 juta pelancong mengunjungi Terengganu tahun lalu, manakala sasaran 3.9 juta pelancong pada tahun ini, pastinya berjaya jika semua semua pihak khususnya penggiat pelancongan berganding bahu menjayakan misi dan visi yang dikehendaki.