Halaman

22 January 2013

710 murid SK Gelugur Kedai terima bantuan

Oleh :Amirullah Othman 

Riak kegembiraan terpancar di wajah ibu bapa dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Gelugur Kedai, pagi semalam, apabila mereka menerima bantuan khas awal persekolahan seperti yang dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Bantuan tersebut disampaikan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, di dewan sekolah berkenaan.

Seramai 710 pelajar mendapat bantuan berkenaan sebanyak RM100 seorang di mana ia bakal digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan mereka.

Dato’ Haji Abdul Rahman dalam ucapannya menyeru kepada para ibu bapa supaya menggunakan bantuan tersebut bagi kegunaan anak masing-masing.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberi rahmat kepada negara kita Malaysia dan Negeri Terengganu serta pemerintah seperti Kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk negara.

“Oleh yang demikian wajarlah untuk kita berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah dengan memberikan undi kepada Barisan Nasional dalam PRU 13 nanti,” katanya.

Katanya, Kerajaan BN memang menitikberatkan pelajaran anak-anak apabila sentiasa mengeluarkan peruntukan yang besar untuk pelajaran dan sistem pembelajaran yang terbaik di negara kita di mana banyak sekolah baru dibina pada setiap tahun bagi menempatkan pelajar di seluruh negara.