Halaman

24 January 2013

Usia belasan tahun sudah jadi nelayan

Oleh: Nurul Aziela Saberi 

Sejak berusia 12 tahun Wan Mohd Napi Wan Mohamad telah bergelumang dengan laut dan sehingga kini beliau tegar mencari rezeki untuk menyara keluarganya dengan bergantung kepada hasil laut.

Beliau yang amat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang selama ini tidak pernah bosan memberi bantuan kepada warga nelayan sepertinya.

Bagaimanapun, Wan Mohd Napi tekad tidak mahu anak-anaknya nanti menjadi nelayan sepertinya dan dia bertekad mahu mengubah nasib keluarganya dengan memberikan mereka pendidikan tinggi.

Sungguhpun begitu, dia tidak pernah menyesal menjadi seorang warga nelayan, sebaliknya berbangga kerana mampu menyara keluarganya sehingga kini walaupun dalam keadaan sederhana.

“Kami warga nelayan yang hanya bergantung kepada hasil laut kebanyakannya menghadapi kesusahan menjelang musim tengkujuh kerana tidak dapat memungut sebarang hasil, namun dengan keprihatinan pihak kerajaan sedikit sebanyak dapat meringankan kami semua,” katanya yang mempunyai lima tanggungan.

Setiap bulan warga nelayan akan menerima bantuan RM200 yang diperuntukkan dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan bagi sesiapa yang mempunyai E-Nelayan akan menerima subsidi minyak.



Sekitar 240 warga nelayan Kijal menerima bantuan sebanyak RM100 dan keperluan dapur yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Dewan Nelayan, Kijal petang kelmarin.