Halaman

21 January 2013

Acara sampingan bantu sasar empat juta pelancong

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menerima sambutan menggalakkan daripada penggiat pelancongan untuk mengatur dan melaksanakan pelbagai acara sampingan bagi membantu menarik kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata selain 34 acara teras, pelbagai acara sampingan juga bakal dilaksanakan bagi menyokong kepada acara utama berkenaan sekali gus dapat mencapai sasaran empat juta pelancong tahun ini.

“Kita akan pastikan 34 program dapat berjalan lancar, selain menjangkakan lebih banyak lagi acara sampingan turut dikemukakan kepada kita.

 “ Nampaknya TMT sudah mula terasa bahangnya apabila ramai (penggiat pelancongan) mengemukakan proposal untuk menyertai promosi dan pengisian Tahun Melawat Terengganu,” katanya baru-baru ini.

 Datuk Abdul Rahin berkata, antara pihak terlibat adalah Muzium Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu , agensi pelancongan dan pengusaha hotel serta resort.

Katanya, pihaknya menyenaraikan 34 acara utama yang terbaik serta acara sampingan lain bagi menjenama, memperkasa dan memperkenalkan produk serta destinasi pelancongan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, kesemua acara berasaskan sukan, rekreasi air, kebudayaan dan warisan bakal dilaksanakan di seluruh daerah berdasarkan kepada kesesuaian penganjuran acara di sesebuah destinasi yang bertaraf antarabangsa, selain berjaya menjenama serta memperkenalkan produk mahu pun destinasi pelancongan itu.

“Kalendar aktiviti pelancongan yang menyenaraikan semua acara teras berkenaan sudah dicetak dan diedar kepada orang ramai khususnya kepada jabatan kerajaan, premis perniagaan dan hotel serta semua penggiat pelancongan dalam dan luar Terengganu sebagai usaha promosi dan pemasaran pakej acara-acara agar menjadi lebih efektif serta terancang.

 “Ia juga bagi memudahkan perancangan serta pelaksanaan acara-acara oleh penganjur acara serta membantu pelancong merancang percutian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan setiap acara yang dilaksanakan berkesan dari aspek pencapaian, relevan dan spesifik bagi memberi impak kepada industri pelancongan.