Halaman

21 January 2013

Kesesakan parkir kereta HSNZ selesai April

Oleh; Esah Abdullah

Kesesakan kawasan parkir kereta di Hospital Sulanah Nur Zahirah (HSNZ) dijangka dapat di atasi apabila parkir bertingkat di Kompleks Pakar Materniti siap pada April depan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dr. Anwa Sulaiman berkata, Kompleks Pakar Materniti yang menempatkan wad bersalin itu mempunyai blok bangunan setinggi 6 tingkat.

“Kompleks ini turut menempatkan lebih 300 petak parkir kereta yang mampu menyelesaikan masalah orang awam yang datang mendapatkan rawatan atau melawat pesakit di wad di HSNZ,” katanya dalam sidang media di majlis Pelancaran Kempen Amalan 3S (senyum, salam, sapa) di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu semalam.

Pelancaran majlis itu telah dilakukan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Mohd Azhar Yahaya. Hadir sama Timbalan Pengarah JKNT Dr. Mohamad Omar.

Selain itu katanya, sebagai langkah segera pihaknya juga telah menyediakan lebih 200 parkir sementara di kawasan tapak projek berdekatan bagi menempatkan kenderaan awam yang berurusan di HSNZ.

“Kedua-dua tempat ini dijangka dapat mengatasi masalah parkir yang dihadapi kakitangan HSNZ serta orang awam yang berkunjung ke hospital ini,” katanya.

Dr. Anwa berkata pihaknya paling banyak menerima aduan daripada orang awam mengenai masalah parkir berbanding masalah kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan.