Halaman

22 January 2013

Tesdec tawar kursus juruteknik perlombongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) bakal menawarkan kursus juruteknik perlombongan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Terengganu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bagi pengambilan pertama yang dijangka bermula Mac hingga April ini, seramai 40 pelajar akan menjalani latihan kemahiran yang memakan masa dua hingga  tiga bulan.

“Tesdec mendapat tawaran daripada Eastern Steel Sdn Bhd supaya melatih pelajar dalam bidang perlombongan itu untuk diserapkan bekerja di syarikat berkenaan sebaik menamatkan latihan mereka.

“Kebolehpasaran kerja di bidang perlombongan amat tinggi dan perkembangan itu menyebabkan kita mahu pelajar mengambil peluang memanfaatkan kursus yang disediakan oleh Tesdec kelak," katanya

Dato' Ahmad Razif berkata, Syarikat Eastern Stell membuka peluang pekerjaan kepada 2,000 orang untuk bekerja di syarikat mereka..

Dato’ Ahmad Razif berkata, kursus juruteknik berkenaan lanjutan daripada program yang dilaksanakan di Kolej Universiti TATI (TATiUC) yang melatih 40 jurutera melalui kerjasama dengan syarikat perlombongan yang berpangkalan di China.