Halaman

22 January 2013

Seramai 678,642 penduduk Terengganu layak mengundi

Oleh: Suriati Ali

 Seramai 678,642 penduduk di Terengganu yang telah mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

 Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof,berkata berdasarkan bilangan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Disember tahun lalu, seramai 678,642 orang daripada keseluruhan 718,999 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.

 “Hanya 40,357 atau 6.0 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu majlis di Terengganu baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan SPR penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.

 Katanya, ini bermakna bilangan penduduk di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah yang terendah di negara ini, berbanding negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Putrajaya (34.0 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (33.1 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (29.3 peratus), Sarawak (29.3 peratus) dan Selangor (16.0 peratus).

Mengikut statistik SPR, kira-kira 3.3 juta penduduk di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pemilih atau 20.3 peratus daripada keseluruhan 16.45 juta rakyat yang layak.

 Sehubungan itu, SPR meminta penduduk di negeri ini yang berusia 21 tahun dan ke atas tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih, supaya berbuat demikian secepat mungkin.

 “Pihak kami menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga negara menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih, termasuk memperkenalkan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Musim.

 “Melalui sistem ini, orang ramai boleh mendaftar sebagai pemilih sama ada di pejabat SPR atau semua pejabat pos di seluruh negeri bila-bila masa pada waktu pejabat,” ujar beliau.