Halaman

23 January 2013

Penjawat awam Terengganu hayati amanat KSU secara 'live streaming'

Penjawat awam sedang mendengar amanat KSN, Dato' Sri Dr. Ali Hamsa secara 'live streaming' di Dewan Besar Wisma Darul Iman.
Oleh; Esah Abdullah

Lebih 1,000 penjawat awam kerajaan negeri dan Persekutuan memenuhi Dewan Besar Wisma Darul Iman untuk mendengar amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa yang dilaksana secara ‘live streaming’ ke seluruh negara petang semalam.

 Hadir sama Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.


Program Amanat KSN bersama Penjawat Awam 2013 itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dapat diikuti di negeri-negeri seluruh negara termasuk Terengganu.

Pengumuman KSN yang akan melaksanakan kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus kepada penjawat awam yang mencapai tangga gaji maksimun yang dijangka diumumkan bulan depan itu menerima tepukan gemuruh penjawat awam.


“Kenaikan gaji itu hanya membabitkan kakitangan yang mempunyai prestasi perkhidmatan cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan,” katanya.

Oleh itu katanya, penjawat awam perlu meningkatkan produktiviti kerja supaya lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

 

Guru terharu terima anugerah dari Exxonmobil

Oleh: Suriati Ali

Langkah Syarikat cari gali minyak dan gas terkemuka, Exxonmobil mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan guru di Terengganu wajar dicontohi.

 Sebanyak RM45,000 diagihkan 30 guru pelbagai sekolah rendah dan menengah sempena Majlis Anugerah Guru Unggul 2012 dan Makan Malam syarikat korporat itu, di Hotel Primula Beach, malam tadi.

Dato' Seri Haji Ahmad  Bin Said  berbual mesra dengan para guru yang dianugerahkan  dengan Anugerah Guru Unggul 2012
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah wang tunai RM1,500 sijil dan plak kepada setiap pemenang.

 Seorang penerima yang juga guru pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir, Kuala Terengganu, Puan Kamariah Jusoh, berkata dia cukup terharu dan berterima kasih kepada Exxonmobil kerana turut mengiktiraf jasa dan ketrampilan guru dalam meningkatkan martabat pendidikan di Terengganu.

“Anugerah ini mampu memberi suntikan semangat untuk saya dan pendidik lain terus memberi perkhidmatan terbaik kepada anak didik sama ada dalam akademik ataupun bidang kokurikulu,” katanya.

 Seorang lagi penerima anugerah, Encik Mohammad Yusof Endur dari Sekolah Menengah Sains Dungun, menganggap anugerah itu sebagai hadiah berganda selepas beberapa anugerah pernah diperolehi sebelum ini di peringkat daerah dan negeri.

 “Sejak di awal kerjaya lagi, dia seakan tidak puas dengan ilmu yang diteroka dan menganggap apa yang diperoleh ini sebagai mendorong untuk terus berjaya.

 Pengerusi Subsidiari ExxonMobil, Mr J Hunter Farris, berkata syarikatnya sentiasa mencari insiatif untuk membangunkan modal insan dan menyumbang untuk faedah jangka panjang kepada masyarakat setempat.

 Katanya, pihaknya amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memajukan sektor pendidikan dan menyokong program pelajaran di Terengganu dengan harapan ianya mampu menyumbang kepada pembangunan serta menghasilkan tenaga kerja pakar.

 Dalam pada itu, beliau juga berharap Anugerah Guru Unggul yang dipilih berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan guru dalam memajukan akademik dan kokurikulum pelajar itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada guru menghasilkan budaya kerja yang lebih cemerlang selain melahirkan generasi pelapis yang mampu memimpin negara pada masa depan.

 





Terengganu belanja besar untuk pendidikan

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri memperuntukkan pelaburan yang besar pada setiap tahun semata-mata mahu melihat bidang pendidikan di Terengganu terus unggul mencapai kecemerlangan dan seterusnya mencapai matlamat `program 201052’.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa sama, pelbagai program dan insentif tertentu turut disediakan sebagai galakan serta ganjaran buat pelajar dan guru.

 Antara program yang dilaksanakan melalui Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) termasuk Program Pelajar Terengganu Terbilang, Program Bimbingan Sekolah, Program Akademi, Program Tutorial, Insentif Pelajar Cemerlang dan Anugerah Guru Terbilang.

“Pelbagai saluran bantuan disediakan untuk memastikan tidak ada anak negeri ini tercicir daripada mendapat pendidikan terbaik.

 “Terengganu juga menjadi pelopor pendidikan maya, pemberian e-Book secara percuma kepada pelajar-pelajar Tahun Empat dan Lima, sebagai persediaan awal bagi anak-anak Terengganu menyahut cabaran pendidikan universal yang semakin canggih.

 “E-Book merupakan antara komponen penting dalam memperkasakan pendidikan negeri serta menjadi titik tolak yang terpenting dalam persediaan menterjemahkan wawasan untuk menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Guru Unggul Exxomobil, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Zubir Embong.

Seramai 30 guru dari pelbagai sekolah di sekolah seluruh Terengganu dijemput bagi menerima Anugerah Guru Unggul Exxonmobil 2012.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kecemerlangan pendidikan di Terengganu terbukti dengan pencapaian demi pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan utama negara.

 “Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memastikan kecemerlangan itu berterusan dengan memperkenalkan `program 201052’,” katanya.

 

Kunjungan ke Gaza bukti kehebatan PM

Analisis Berita oleh: Kamarudin Mat Akib

 Selepas melakukan pelbagai transformasi dalam pentadbiran negara dan memperkenalkan pelbagai program kebajikan untuk rakyat Malaysia, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melakukan satu lagi tindakan hebat yang mencatatkan sejarah negara – kunjungan ke bumi Palestin.



 Pada jam 10.40 pagi (waktu tempatan) semalam, atau kira-kira jam 4.40 petang waktu Malaysia, beliau tiba di kawasan sempadan Rafah di Wilayah Palestin, sekaligus mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama melawat Palestin.

“Saya mengikut gerak hati apabila mengambil keputusan untuk melakukan lawatan ke sini (Gaza) kerana ingin melihat sendiri penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin,” katanya kepada wartawan yang mengikuti rombongan kemanusiaan ke bumi Palestin.

 Begitu hebat sekali Perdana Menteri kita yang sanggup mengetepikan segala kesukaran dan kepayahan, semata-mata untuk menjejakkan kaki ke bumi yang bergolak itu bagi membantu nasib umat Islam di sana.

Perdana Menteri kita masih belum puas dengan segala bantuan yang dihulurkan kepada rakyat Palestin sebelum ini, selagi beliau sendiri belum melihat sendiri penderitaan mereka di bumi berkenaan.

 Bagaimana agaknya reaksi pemimpin dan pengikut Pas setelah menyaksikan di kaca televisyen kegigihan Dato’ Seri Mohd Najib menjejakkan kaki ke bumi Gaza dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Hamas, termasuk Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh.

 Adakah selepas ini mereka sanggup meneruskan tuduhan bahawa pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Perdana Menteri, bukan memperjuangkan Islam dan Malaysia bukan negara Islam.

Bukti bagaimanakah yang diperlukan oleh pemimpin dan ahli-ahli Pas untuk memadamkan dakwaan mereka bahawa pemimpin Umno bukan berjuang untuk islam?.

Sudah tentu semua pihak amat mengharapkan kunjungan Perdana Menteri ke bumi Gaza akan membuka mata pemimpin dan ahli Pas yang selama ini memperlekehkan usaha pemimpin Umno dalam meningkatkan syiar islam di negara ini.

Tentunya kita mengharapkan pada kempen Pilihan Raya Umum (kali ini tidak ada lagi kata-kata Umno bukan islam dan Malaysia bukan negara islam disebut dalam ceramah-ceramah Pas di seluruh negara.





Bapa perlu cakna pelajaran anak-anak

Oleh: Noraini Jusoh

Golongan bapa khususnya perlu cakna terhadap pendidikan anak-anak agar mereka lebih fokus dalam menumpukan perhatian terhadap bidang pelajaran, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir berkata, kebiasaannya golongan ibu yang lebih peka terhadap pelajaran anak-anak dimana apabila sesuatu majlis yang melibatkan ibu bapa pelajar, sebahagian besar golongan ibu yang akan hadir ke sekolah.

"Justeru, saya sangat berbesar hati sekiranya golongan bapa dapat meluangkan masa untuk duduk berbincang dengan pihak sekolah mengenai perkembangan pelajaran anak masing-masing.

"Kebiasaannya, saya dapati tidak ramai golongan bapa hadir ke sekolah apabila sesuatu majlis diadakan, justeru saya mengharapkan selepas ini lebih ramai golongan bapa hadir apabila dijemput pihak sekolah demi kecemerlangan anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (KOMSTAR), semalam.

Seramai 823 pelajar sekolah tersebut menerima wang tunai RM100 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM82,300.

KOMSTAR merupakan sekolah keempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang menerima keistimewaan tersebut selepas Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri dimana majlis penyerahan bantuan di semua sekolah terbabit turut disempurnakan Dato’ Haji Ahmad Razif.

 

22 January 2013

KVKT sasar lahirkan 70 peratus tenaga kerja terlatih

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Vokasional Kuala Terengganu (KVKT) menyasarkan 70 peratus daripada pelajar kolej tersebut menjadi tenaga kerja terlatih yang berkemahiran dalam bidang masing-masing apabila menamatkan pengajian nanti.
Pengarahnya, Tuan Haji Hussin Yusof berkata, matlamat KVKT adalah untuk melonjakkan kedudukan aliran vokasional dalam sistem pendidikan negara dan membantu dalam melahirkan tenaga kerja yang berkualiti.

Katanya, bidang vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang berpencapaian sederhana dalam akademik dan berminat mempelajari kemahiran tertentu dimana dengan kemahiran yang dimiliki mereka mampu mendapat pekerjaan yang bersesuaian khususnya dalam sektor perindustrian.

"Sasaran KVKT adalah untuk melahirkan 70 peratus pelajar menceburi bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan mereka selepas menamatkan pengajian , 20 peratus melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta sepuluh peratus lagi mampu menjadi usahawan.

"Sistem pengajaran dan pembelajaran di KVKT pula meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Minggu Silaturahim Pelajar Baru, di KVKT, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, En. Hashim Mohd Zain serta YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KVKT, Tuan Haji Abdullah A. Rahman.

Katanya, KVKT merupakan salah sebuah institusi terbaik antara 15 buah Kolej Vokasional (KV) rintis di Malaysia.

"Setakat ini, KVKT menawarkan sembilan kursus pengajian diploma iaitu dalam bidang Teknologi Automotif, Teknologi Binaan, Teknologi Elektrik, Teknologi Elektronik, Perakauan, Kesetiausahaan Pentadbiran, Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan dan Teknologi Penyejukan.

"Manakala lima kursus di peringkat sijil pula ialah Furniture Marker, Jurukimpal Arka Logam Berperisai, Juruteknik Elektrik Rendah, Juruteknik Rendah Elektorik Industri dan Mekanik Kenderaan Bermotor,” ujarnya.

Katanya, lepasan diploma dan sijil dimana masing-masing mengikuti pengajian selamat empat dan dua tahun akan dianugerahkan Diploma Vokasional Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Menurut beliau, seramai 360 pelajar lepasan tingkatan tiga berdaftar di KVKT semalam, untuk mengikut kursus kemahiran yang mereka minati.

 

Seramai 678,642 penduduk Terengganu layak mengundi

Oleh: Suriati Ali

 Seramai 678,642 penduduk di Terengganu yang telah mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

 Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof,berkata berdasarkan bilangan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Disember tahun lalu, seramai 678,642 orang daripada keseluruhan 718,999 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.

 “Hanya 40,357 atau 6.0 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu majlis di Terengganu baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan SPR penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.

 Katanya, ini bermakna bilangan penduduk di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah yang terendah di negara ini, berbanding negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Putrajaya (34.0 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (33.1 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (29.3 peratus), Sarawak (29.3 peratus) dan Selangor (16.0 peratus).

Mengikut statistik SPR, kira-kira 3.3 juta penduduk di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pemilih atau 20.3 peratus daripada keseluruhan 16.45 juta rakyat yang layak.

 Sehubungan itu, SPR meminta penduduk di negeri ini yang berusia 21 tahun dan ke atas tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih, supaya berbuat demikian secepat mungkin.

 “Pihak kami menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga negara menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih, termasuk memperkenalkan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Musim.

 “Melalui sistem ini, orang ramai boleh mendaftar sebagai pemilih sama ada di pejabat SPR atau semua pejabat pos di seluruh negeri bila-bila masa pada waktu pejabat,” ujar beliau.

 

Peruntukan RM20j untuk aktiviti, promosi TMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan aktiviti, galakan dan promosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) menerusi Sekretariat TMT 2013.

 Daripada jumlah itu, sebanyak RM8 juta dibelanjakan bagi mempromosi pelancongan di Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata sebanyak RM44.4 juta pula diperuntukkan bagi projek infra seperti membangunkan dan menambahbaik kemudahan awam di pulau-pulau peranginan termasuk Pulau Bebas Cukai Tasik Kenyir.

“Menerusi peruntukan tambahan itu, selain melaksanakan projek infra dan penambahbaikan di Pulau Bebas Cukai Tasik kenyir, kita juga membelanjakan bagi tujuan perlindungan dan pemuliharaan sungai, penyelenggaraan dan perkhidmatan pengurusan sampah-sarap di pulau peranginan yang terdapat di seluruh negeri.

“Banyak jeti yang mengalami kerosakan akibat kesesakan bot yang berlabuh pada musim tengkujuh lalu. Antara jeti berkenaan adalah Pulau Redang yang sedang diselanggara oleh Jabatan Kerja raya dan jeti Pulau Bidong akan diperbaiki tidak lama lagi,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Datuk Abdul Rahin berkata dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Pulau Bidong yang dipengerusikan oleh beliau bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah minggu lalu memutuskan supaya penjagaan dan pemuliharaan pulau itu diketuai Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu dan Coral Malaysia.

Katanya, pihaknya juga mahu pulau yang pernah menjadi kem pelarian Vietnam itu hanya dibuka kepada pengunjung secara lawatan harian bagi mengekal dan memulihara alam semula jadi dan artifak sejarah di kawasan berkenaan daripada pencemaran serta dan kemusnahan.

“Selain meluluskan kerja pembersihan yang sedang berjalan sekarang, jawatankuasa juga bersetuju unutk membangunkan pusat maklumat pelancong di pulau itu pada tahun ini.

“Kita akan memastikan Pulau Bidong terjaga dari segi alam semula jadinya dan dibangunkan mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, perbelanjaan bagi membangunkan pulau itu tidak termasuk dalam peruntukan RM10 juta bagi membangun dan menguruskan pulau-pulau peranginan seperti Redang, Perhentian dan Lang Tengah menerusi Wilayah Ekonomi Wilayah Timur (ECER).

Katanya, Pulau Bidong diurus dan dibangunkan menggunaan sumber kewangan dalaman kerajan negeri.


MB agih Bantuan Khas Awal Persekolahan

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga ADUN Kijal telah meluangkan masanya selama tiga hari berturut-turut untuk mengagihkan sendiri Bantuan Khas Awal Persekolahan di sekitar DUN Kijal.



Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Kijal melibatkan seramai 838 murid, Sekolah Menengah Kijal (1,024 murid), Sekolah Kebangsaan Meraga Beris (345 murid), Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong (249 murid), Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang (1,080 pelajar) dan Sekolah Menengah Bukit Kuang (550 pelajar).



Keseluruhan penerima Bantuan Khas Awal Persekolahan di Kemaman seramai 40,000 iaitu 16,797 penerima dari sekolah menengah manakala selebihnya 23,203 murid sekolah rendah.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, Kerajaan Pusat sama sekali tidak pernah berbohong dengan rakyat sepertimana yang selalu didakwa pihak pembangkang.

“Sekarang rakyat boleh menilai sendiri betapa prihatin Perdana Menteri kita dengan pemasalahan rakyat terutama bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan menjelang awal persekolahan,” katanya.

Tambah beliau lagi dengan adanya sokongan yang kuat daripada rakyat dan setia memilih kerajaan sekarang untuk terus menerajui negara kita, tidak mustahil masa depan anak-anak kita akan terus cerah dan terbela sepertimana sekarang.





PPAT anjur Program Pasca Bahasa Inggeris

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) melalui Pusat Bahasa Terengganu akan menganjurkan Program Pasca Bahasa Inggeris sebagai langkah memantapkan penggunaan bahasa itu kepada masyarakat umum, terutama pelajar.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program itu mempunyai dua sesi pembelajaran di mana sesi pertama pada 13 Januari hingga 28 Februari dan kedua bermula 10 Mac hingga 18 April.

 Manakala kelas yang ditawarkan pula mempunyai empat kategori iaitu pendedahan `Malaysian University English Test’ (Muet); English Communication Skill (ECS); Program Bahasa Inggeris Cuti Sekolah dan Bahasa Inggeris Intensif Pasca SPM.

“Apa yang ditawarkan itu bukan saya mempunyai kelebihan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah malah memberi maklumat berguna kepada masyarakat umum, termasuk suri rumah, golongan bekerja dan penuntut universiti.

“Apa yang penting, mereka mahu belajar, selain mempunyai minat untuk membaiki kelemahan penulisan dan penggunaan bahasa itu.

“Semua kategori kelas ditawarkan dikenakan yuran yang berpatutan iaitu semurah RM140 hingga RM450 bagi tempoh pembelajaran selama 40 jam,” katanya.

Katanya, apa yang istimewanya, yuran yang dikenakan itu, termasuk makan tengahari, sarapan pagi serta nota. Kelas bermula antara jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

“Penyertaan masih dibuka, setakat ini, kita membuka hanya satu kelas bagi tiap-tiap ketegori, namun jika mendapat sambutan kita bersedia untuk tambah kelas. Setiap kelas hanya dihadkan kepada 20 orang murid kerana lebih praktikal.

“Tenaga pengajar adalah pensyarah jemputan berpengalaman dan juga pernah bekerjasama dengan kita sebelum ini,” katanya.

 PPAT meminta orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti kelas yang tawarkan itu kerana terbukti memberi kesan positif berdasarkan pengalaman dan maklum balas daripada peserta terdahulu. Jika berminat sila hubungi 09-625 4452