Halaman

29 January 2013

Umno Terengganu yakin mampu menang PRU-13

Oleh: Noraini Jusoh

Umno Terengganu sedia hadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) pada bila-bila masa sahaja walaupun diadakan esok, kata Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Menurut beliau, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said juga berpuas hati dengan segala persiapan di setiap peringkat jentera Umno yang telah siap siaga untuk menghadapi PRU-13.

"Semua jentera kita telah bersedia dari awal lagi dan tidak ada masalah sekiranya PRU-13 diadakan dalam masa terdekat.

"Saya yakin, dengan segala persiapan rapi yang dilakukan dan dengan sokongan berterusan dari rakyat negeri ini menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno, kemenangan pasti berpihak kepada kerajaan yang memerintah Terengganu pada hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui pada majlis penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.

Jelasnya, dapat dikatakan Umno Terengganu telah bersedia seratus peratus bagi menghadapi PRU-13 yang semakin hampir.

 

Bantuan persekolahan ringan beban

Oleh: Noraini Jusoh

Bantuan Khas Awal Persekolahan yang bernilai RM100 mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, tetapi jumlah tersebut cukup besar dan sangat bermakna bagi mereka yang memerlukan.

Bagi ibu bapa terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan, bantuan tersebut sangat bernilai buat mereka kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menampung kos perbelanjaan bagi menguruskan persekolahan anak masing-masing.

Seorang suri rumah, Sarimah Awi, 46, berkata, dia bersyukur dengan keprihatinan kerajaan memperkenalkan Bantuan Khas Awal Persekolahan dan sangat gembira menerima bantuan tersebut.

"Syukur sangat dengan bantuan ini dan saya akan gunakan duit RM100 yang diberikan kerajan dengan sebaik mungkin.

"Anak saya Mohd Amirul Fahmi Ibrahim, 12, akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, oleh itu, saya akan gunakan duit ini untuk membeli kelengkapan persekolahannya seperti buku rujukan dan alat tulis supaya dia lebih bersemangat untuk belajar,” katanya kepada Teganukita selepas majlis penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.

Seramai 411 murid sekolah terbabit menerima wang tunai RM100 yang diserahkan kepada ibu bapa masing-masing pada majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir dalam ucapannya berkata, sekiranya rakyat memberikan sokongan yang padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno, tidak mustahil bantuan tersebut akan terus dinikmati oleh mereka pada masa akan datang.

 

Murid SK Pulau Perhentian turut terima bantuan persekolahan


YB Dr A Rahman Mokhtar bersama murid SK Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak 

Bantuan Awal Persekolahan yang diperkenalkan kerajaan tidak terbatas kepada pelajar di bandar dan kawasan pedalaman malah mereka yang tinggal di pulau juga turut mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan.

Murid Sekolah Kebangsaan Pulau Parhentian, dekat Besut, adalah antara anak nelayan yang turut merasai bantuan awal persekolahan yang mula diperkenalkan tahun ini.

Seramai 158 murid sekolah berkenaan semalam menerima bantuan berkenaan yang disampaikan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A \Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut.

Majlis yang berlangsung di dewan sekolah itu turut dihadiri Pengarah Pelajaran Terengganu,Zakaria Hussin dan Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Abdul Halim Hassan serta ibu bapa murid terbabit.

Dr A Rahman berkata, pengagihan bantuan kepada murid sekolah berkenaan lewat dilaksanakan kerana kesukaran untuk pergi pulau pelancongan itu disebabkan musim tengkujuh yang baru berakhir di negeri ini.

Katanya, penduduk pulau yang sebahagian besar bekerja nelayan tidak pernah diabaikan kerajaan sebaliknya mereka menndapat nikmat dan peluang sama seperti mereka yang tinggal di tanah besar.

Beliau berkata, bantuan persekolahan itu diharap dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam mengurus persekolahan anak-anak.

Mengenai pembangunan pulau pelancongan itu, Dr A Rahman berkata, pelbagai projek sudah dan sedang dilakaksanakn untuk faedah penduduk di pulau peranginan tersohor itu.

28 January 2013

112 Pelajar Universiti Malaya (UM) berkampung di Kayu Kelat


A Rahim tengah bersama palajar UM

Oleh: Mohammad Ishak 

Perkampungan tradisional Kayu Kelat yang dikelilingi sawah padi menghijau dan pemandangan indah menarik perhatian pelajar Universiti Malaya (UM) memilihnya untuk dijadikan Program Khidmat Bakti Siswa tahun ini.

Program selama tiga hari itu disertai 112 pelajar dari UM yang akan mengadakan khidmat bakti menerusi konsep keluarga angkat.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Universiti Malaya itu bertujuan mendedahkan pelajar dengan kehidupan penduduk yang sebahagian besarnya petani.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh merasmikan program berkenaan serta melakukan penyerahan pelajar sebagai anak angkat kepada penduduk kampung itu.

Sempena program tiga hari itu pelbagai acara menarik diadakan termasuk sukaneka,gotong royonng membersih tanah perkuburan dan aktiviiti pendidikan.

A Rahim ketika merasmikan program itu memuji usaha penganjur memilih kampong itu kerana ia dapat merapatkan hubungan kekeluargaan selain mendedahkan pelajar dengan budaya hidup orang kampung.

Lebih menarik,katanya program itu turut disertai pelajar keturunan Cina,India dan dari Sabah dan Sarawak.

Beliau berharap, pelajar dan ibu bapa angkat dapat berinteraksi dan berupaya menjalin semangat kekeluargaan walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi kita semua adalah rakyat Malaysia.

PAS Takut Saringan SPRM

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menegaskan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak takut untuk berdepan saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Menurutnya yang juga Pengerusi BN negeri, langkah berkenaan membuktikan parti itu bersikap jujur kepada rakyat dan pengundi. Jelas beliau, BN bukan sahaja akan menawarkan ‘winnable candidate’ kepada pengundi, malah calon berkenaan mestilah bersih.

 “Dalam hal ini pun rakyat boleh lihat parti mana yang ikhlas samada PAS atau BN. BN tidak takut pada tapisan (saringan). Kita akur untuk pastikan calon kita (BN) bersih,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Khas Persekolahan di Sek. Men. Keb. Seri Bandi, Kemaman hari ini. 

 Pendirian PAS yang menolak untuk melakukan saringan dengan SPRM, Dato’ Seri Ahmad berkata, rakyat melihat parti itu ‘kalah awal sebelum masuk gelanggan’ kerana ia menggambarkan pemimpin PAS takut berdepan SPRM.

 Ulas beliau, PAS menggunakan SPRM untuk membuat pelbagai laporan dan aduan kononnya wujud penyelewengan serta amalan rasuah yang teruk dalam pentadbiran Kerajaan BN.

 Sekiranya PAS jujur kata ADUN Kijal itu, parti itu sepatutnya mendahului BN dalam perkara itu dan tidak hanya bergantung kepada saringan dalaman.

 “Mungkin PAS ada kelebihan kerana penyokong mereka sudah ditarbiah bahawa semua pemimpin mereka betul. Buat apa pun semuanya betul. “Penyokong mereka ramai yang taksub kepada pemimpin, kepada tok guru,” jelas beliau.










LPP peruntukan RM1.9 juta laksana projek pengeluaran makanan

Oleh; Esah Abdullah

 Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (LPPNT) memperuntukan RM1.9 juta untuk melaksana projek baru pengeluaran makanan tahun ini.

Pengarahnya, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, projek tanaman vitato menerima peruntukan RM300,000 yang akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT).

“Diikuti projek fertigasi sayuran mendapat peruntukan RM200,000 yang akan dilaksanakan di Jerangau (RM100,000) dan Bukit Diman Hulu Terengganu (RM100,000).

 “Projek tanaman tembikai pula dilaksanakan di Gerai dan Maras/Batu Rakit yang masing-masing menerima peruntukan RM80,000,” katanya kepada Teganukita.

Sementara itu katanya, terdapat 20 orang usahawan peladang yang menjalankan pelbagai projek menerima peruntukan RM920,000 dan di bawah projek Azam tani mendapat RM500,000 manakala ternakan ikan dalam sangkar di Kuala Berang sebanyak RM250,000.

Katanya, LPP negeri juga bersetuju untuk melaksanakan dua projek di bawah pembiayaan kerajaan negeri iaitu Pembangunan Kawasan Agro Makanan (PKAM) dan Dana Usaha Tani (DUTA).

“Beberapa kawasan projek yang sesuai di tanah milik kerajaan negeri akan dikenalpasti kini dalam proses mencari peserta bagi melaksanakan projek,” katanya.

Katanya, kertas kerja mengenai projek berkenaan akan di serahkan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan yang dijanjikan.

 

YPU unjur pendapatan RM30 juta setahun di KUT

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) mensasarkan unjuran pendapatan RM25 juta hingga RM30 juta setahun menerusi aktiviti jualan di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) apabila premis perniagaan itu beroperasi sepenuhnya bermula awal tahun depan.

Bangunan tiga tingkat bernilai RM21 juta di Kubang Jela, Manir bakal menempatkan 70 usahawan tempatan khususnya dalam industri kraf seperti batik dan songket serta produk berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Selain ruang niaga, KUT yang merangkumi dua bangunan juga dilengkapi hotel tiga bintang serta bakal   dibangunkan dengan pusat rekreasi keluarga yang dijangka siap menjelang 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, berkata bangunan utama yang menempatkan Pasar ICT dan Kota Batik sudah siap sepenuhnya dengan beberapa ruang perniagaan sudah beroperasi, selain sebahagian besar lagi akan memulakan perniagaan bulan depan.

“Daripada 70 ruang niaga berkenaan, 48 ruang sudah diisi oleh usahawan ICT, manakala 18 lagi pengusaha batik tempatan yang sudah mempunyai nama di mana mereka diketuai oleh STR Batik.

"Selain STR Batik, Khamis Batik, perniagaan lain termasuklah I Rich Supply dan Al Bakry T' Cafe yang menawarkan hidangan nasi Arab. T’Cafee berkenaan mampu meraih pendapatan cukup lumayan, iaitu RM1,000 sehari,” katanya selepas membuat lawatan di Rumah Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat. Haji Azmi berkata, YPU juga merancang untuk menyediakan kios bagi memberi peluang kepada usahawan kecil yang berminat untuk turut sama memanfaatkan pembinaan kompleks berkenaan.

Katanya, berdasarkan prestasi jualan Al Bakry T'Cafe, pihaknya yakin usahawan di KUT mampu menjana pendapatan yang lebih baik, apatah lagi disokong dengan pembinaan pelbagai kemudahan prasarana lain khususnya kemudahan penginapan dan pusat rekreasi keluarga.

"Malah kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran lebuh raya baru akan menarik lebih ramai pengunjung, selain terdapat dua pusat pengajian tinggi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhampirannya akan menjana keuntungan yang lebih baik," katanya.

Haji Azmi berkata pembinaan hotel itu sudah memasuki fasa akhir iaitu kerja dokumentasi, manakala pusat rekreasi keluarga bernilai RM20 juta yang menempatkan pawagam, pusat boling dan gelanggang futsal.

 

Manfaat bantuan persekolahan untuk anak-anak

Oleh: Noraini Jusoh

Kebajikan rakyat di setiap peringkat menjadi perhatian utama kerajaan termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata kerajaan sentiasa cakna dengan kebajikan rakyat terutama yang berkaitan dengan bidang pendidikan.

"Pelbagai bantuan disalurkan untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

"Diharap Bantuan Khas Awal Persekolahan yang diberikan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng, hari ini.

Seramai 479 murid sekolah tersebut menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 yang diserahkan kepada ibu atau bapa masing-masing.

Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng merupakan sekolah yang keenam menerima kehadiran Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir bagi menyempurnakan majlis penyerahan bantuan terbabit bagi DUN Seberang Takir.

Sebelum ini, beliau telah menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Awal Khas Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Kebangsaaan Kompleks Seberang Takir.

 

Jangan percaya temberang Pas-MB

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said melihat ruang tamu Projek Perumahan Rakyat Padang Hiliran Chabang Tiga yang lebih selesa.
Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta rakyat di negeri ini agar jangan percaya ‘temberang’ pemimpin pembangkang yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) halau orang Melayu daripada menghuni kawasan bandar.

 “Rata-rata mereka yang sudah berpindah ke rumah baru bersyukur kerana dapat kediaman yang lebih selesa daripada dulu, hanya pemimpin Pas yang kata tidak bagus sebab mereka tidak tinggal di situ,”.


“Kerajaan bina rumah Ladang Gemilang dengan kos RM150,650 tetapi dijual dengan harga RM75,000 sahaja seunit kerana ingin memastikan semua golongan mampu memiliki rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran Chabang Tiga Kuala Terengganu semalam.

Katanya, kerajaan sudah beri subsidi lebih separuh kerana faham beban rakyat yang kebanyakkannya bekerja sendiri malah ada yang menduduki tanah haram namun mereka tidak dipinggirkan kerajaan.

 “Saya tidak hairan pemimpin Pas memang tidak pernah mahu mengakui kebaikan kita, mereka sentiasa berusaha meracuni pemikiran rakyat supaya benci kerajaan BN,” katanya.

Katanya, pembinaan projek perumahan 31 tingkat di kawasan Tanjung dan Ladang Tok Pelam merupakan kejayaan besar kerajaan BN mengekalkan kawasan kependudukan orang Melayu dalam kawasan bandar serta menaikkan taraf kehidupan mereka.

Katanya, rakyat sekarang sudah bijak menilai siapa sebenarnya yang menjaga kebajikan mereka yang ambil cakna susah senang keluarga kalau bukan kerajaan BN.

 

MB guna perkhidmatan ‘river cruise’

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa kira-kira sejam menggunakan perkhidmatan ‘river cruise’ menyusuri Sungai Terengganu, petang semalam bagi mengalami sendiri pengalaman menyeronokkan itu.



Beliau dan rombongan terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan wakil media massa menaiki bot milik Taman Tamadun Islam (TTI) di Jeti Shahbandar dan mengelilingi Pulau Duyong serta kawasan sekitar TTI.


Kegembiraan terpancar di wajah beliau yang ternyata amat gembira menempuhi pengalaman menyeronokkan itu sambil melupakan seketika tugas-tugas rutin harian.

“Memang seronok naik bot sambil menyusuri Sungai Terengganu dan melihat keindahan bandar Kuala Terengganu serta kawasan sekitar seperti Seberang Takir dan perkampungan tradisional lain,” katanya selepas berakhir program berkenaan.

Beliau dan rombongan kemudiannya menikmati minum petang yang menhidangkan makanan tradisional di Riyaz Heritage.

Program anjuran Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 dengan kerjasama TTI, Riyaz Heritage dan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu itu bertujuan mempromosikan perkhidmatan ‘river cruise’ yang dimulakan sejak lebih setahun lalu.

Menteri Besar berkata, perkhidmatan tersebut mendapat sambutan menggalakkan dan pihak pengurusan TTI akan menambah dua bot lagi bagi menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Pihak TTI turut menyediakan pakej untuk pelancong menjamu selera di atas bot sambil menikmati keindahan panorama sepanjang Sungai Terengganu,” katanya.



Pakej yang ditawarkan itu ialah RM25 seorang untuk sarapan (termasuk tambang bot) dan RM38 untuk hidangan makan malam.