Halaman

03 March 2013

MENJELANG PRU 13- JANGAN TERPENGARUH DENGAN TUDUHAN DAN FITNAH

Oleh: Pengarang Teganukita. 

Adalah sesuatu tuduhan yang tidak benar sama sekali terhadap kerajaan dan kepemimpinan negeri ‘baham balak’ seperti yang dilakukan oleh pihak yang mahu menghasut rakyat menjelang pilihan raya umum PRU ke 13.

Tiada suatu bukti dan asas terhadap tuduhan itu, melainkan syak wasangka semata-mata. Pengarah Jabatan Hutan Negeri Terengganu, Haji Azmi Nordin menafikan sama sekali perkara itu dan memberi tahu bahawa pengurusan kawasan hutan berjalan dengan baik dan telus.

Beliau menjelaskan Jabatan Hutan Terengganu sentiasa memantau apa-apa berkaitan dengan pengurusan hutan bagi pihak kerajaan.

Lembaga Hasil Hutan Negeri ada meluluskan kawasan balak kepada 12 syarikat yang mempunyai kilang papan di negeri ini.

“ Skim sawmill itu ada kebaikannya untuk tujuan menjaga kebajikan pekerja ‘sawmill’ berkenaan.

Ia telah diadakan sekian lama, sejak zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar lagi dan diteruskan oleh Dato’ Seri Ahmad,” jelasnya. Adun Batu Buruk, Dr.Syed Azman yang membuat aduan kepada SPRM kononnya berlaku kejadian ‘baham balak” berikutan kelulusan kerajaan di bawah skim tersebut.

Skim ini bertujuan untuk mempastikan sawmill dapat terus beroperasi dan pekerja terus mendapat kerja dan menanggung keluarga mereka.

Tiada sama sekali kerajaan atau pemimpin negeri atau Jabatan Perhutanan mensyaratkan sumbangkan duit terlebih dahulu kepada mana-mana sawmill untuk layak memperolehi skim tersebut.

Katanya,kelulusan diberikan kepada sawmill terbabit adalah berdasarkan beberapa kreteria yang diputuskan dalam mesyuarat rasmi Lembaga Hasil Hutan dipengerusikan Menteri Besar sejak dulu lagi dan beliau sebagai pegawai kerajaan ada sama di dalam mesyuarat itu.

Jelasnya Pejabat Hutan lagi, kawasan hutan yang hendak diberi pun terlebih dahulu diperiksa oleh Jabatan Hutan dan bukannya boleh diluluskan sewenang-wenangnya.

Oleh itu, orang ramai diminta berhati-hati dalam menerima maklumat yang tidak pasti dan perlu merujuk kepada pihak bertanggungjawab dalam urusan berkaitan hutan dan balak terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan.

 

Minggu Permotoran Terengganu jadi acara teras kalendar pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju menjadikan program Minggu Permotoran Terengganu sebagai acara teras dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai tuan rumah program tahunan itu, kerajaan negeri bersedia untuk menimbang sebarang bentuk bantuan termasuk penajaan bagi menjayakan penganjurannya di masa depan.

“Saya menyambut baik dan mengalu-alukan kedatangan para `bikers’ dari seluruh Malaysia yang datang sempena Terengganu Bike Week 2013, apalagi acara itu dilaksanakan pada Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Ini menggambarkan sebenarnya Terengganu amat menarik perhatian bikers untuk datang ke sini dan sebab itu saya memutuskan Terengganu Bike Week ini diadakan setiap tahun serta dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Terengganu di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Terengganu Bike Week 2013, di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Persatuan Permotoran Terengganu, Tengku Seri Temenggong Raja dan lebih 2,000 ahli persatuan permotoran seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Thailand.



Menteri Besar yang menyambut baik cadangan Tengku Seri Temenggong supaya menjadikan acara itu sebagai program tahunan berkata, langkah itu bertepatan sebagai usaha menarik lebih ramai pelawat dari luar Terengganu berkampung di negeri ini pada masa-masa akan datang sekaligus dapat meningkat jumlah kedatangan pelancong.

 “Mudah-mudahan kunjungan kali ini meninggalkan kenangan manis kepada semua bikers dan akan berkunjung lagi ke negeri ini pada masa depan,” katanya.

Program dua hari sejak 1 Mac lalu menyediakan pelbagai acara kepada ahli dan juga peminat permotoran seperti pertandingan motosikal cantik, konvoi bertemu anak yatim di Batu Rakit serta konvoi muhibah yang menjelajah dari Pantai Batu Buruk menuju ke Pantai Rhu Sepuluh, Penarik; Bandar Permaisuri dan Taman Tamandun Islam sebelum kembali ke Batu Buruk.





`Cuak’ dengan kenyataan Tian Chua-MB

Oleh: Suriati Ali 

Pelbagai pihak kesal dan `cuak’ kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang mendakwa pertempuran di Kampung Tandou, Lahad Datu, Sabah, sebagai konspirasi UMNO.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata berkata apa yang diperkatakan itu adalah satu fitnah yang serius dan sukar dimaafkan kerana kejadian yang mengakibatkan nyawa terkorban turut dipolitikkan.

“Perkara ini sudah melampau, pihak berkuasa disarankan membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin pembangkang itu,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Katanya, Tian Chua langsung tidak menghormati kesedihan kerajaan dan keluarga anggota keselamatan yang terbunuh dalam pertempuran dengan penceroboh di Lahad Datu itu yang sebenarnya antara wira negara mempertahankan tanah air.

 Beliau berkata, amat malang apabila Tian Chua mendakwa kejadian itu satu konspirasi UMNO. "Dalam saat kita (kerajaan) sedih di atas kematian anggota pasukan keselamatan, dia tuduh pula kita (UMNO) ada konspirasi dalam tragedi ini. Ini satu fitnah serius kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

"Saya kira Tian Chua ini gatal mulut membuat dakwaan yang tidak bertanggungjawab dan pihak keselamatan perlu mengambil tindakan sewajarnya kepada orang yang (membuat kenyataan) tidak bertanggungjawab ini," katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan laman berita rasmi PKR, Keadilan Daily memetik Tian Chua sebagai berkata, kejadian di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang UMNO mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

 

Rakyat Malaysia harus bersyukur

Oleh: Noraini Jusoh

Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman damai dan mempunyai kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap rakyat.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Haji Shamsuddin Sulong berkata, nikmat yang diperoleh rakyat Malaysia melalui Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak dapat dikecapi di tempat lain.

"Sebagai warganegara Malaysia, kita wajib mempertahankan kerajaan yang terbukti telah membawa banyak perubahan termasuk dari aspek pembangunan dan pendidikan rakyatnya.

"Malaysia sebuah negara Islam dimana kerajaan yang memerintah sekarang tidak pernah menghalang kita lakukan ibadah, namun harus diingat sekiranya sesebuah negara bertukar kerajaan maka yang menjadi mangsa adalah rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di depan kira-kira 250 peserta yang hadir ke Program Jati Diri Belia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, kerajaan BN dan Umno menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu meringankan beban rakyatnya dan sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan, rakyat seharusnya meyokong Kerajaan BN dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.

Menurut beliau, pembangkang cemburukan Kerajaan BN dan Umno kerana mereka terlalu ingin memerintah negara.

"Pembangkang hanya mahu menawan Putrajaya tetapi tidak tahu untuk mentadbir, hal ini telah terbukti apabila mereka hanya pandai menuduh apa yang kerajaan buat semua tidak betul, hanya mereka saja yang betul, tetapi tengok saja apa yang mereka lakukan untuk negeri di bawah pentadbirannya, tiada apa-apa dilakukan untuk rakyat,” katanya.

Katanya, untuk terus menikmati keamanan dan kemakmuran, rakyat seharusnya memberi sokongan padu dan mempertahankan Kerajaan BN dan Umno pada PRU-13 tidak lama lagi.

 

02 March 2013

Terengganu sedia jadi tuan rumah buat kali ketiga

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri bersedia menjadi tuan rumah peringkat akhir kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) buat kali ketiga tahun depan jika masih diberikan peluang itu.



 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, ia ekoran sambutan hangat yang diterima daripada penduduk sepanjang dua hari perlumbaan LTdL di negeri ini terutamanya ketika memasuki peringkat kelapan iaitu dari Pekan menuju ke Chukai, Kemaman.

 Menurutnya, beliau difahamkan sebaik saja pelumba memasuki Chukai ribuan rakyat Terengganu keluar memberi sokongan padu terutama apabila melibat kelibat pasukan TSG (Terengganu Cycling Team).

"Justeru, saya berharap tahun depan Terengganu akan diberi peluang sekali lagi menjadi tuan rumah dan kita juga bersedia untuk membuat penajaan.

 “Ini secara tidak langsung dapat memberi suntikan semangat kepada atlet pelapis lumba basikal di negeri ini untuk berusaha dengan lebih kuat seterusnya mampu menyertai acara berprestij ini,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penamat dan Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang Kejohanan ltDl di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari Ini.



 Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab; Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal serta Pengerusi Jawtankuasa Belia dan Sukan negeri, YB.

Rozi Mamat. Turut hadir Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa; Pengarah MSNT, Zainal Abidin Hussin serta Pengerusi Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail.

 Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad kerajaan negeri akan sedaya upaya membaiki kelemahan pasukan TSG pada kejohanan akan datang dan jika tiada aral Anuar Manan akan kembali beraksi dalam pasukan itu.







 

Suasana sedih diupacara pengkebumian Inspektor Zulkifli Mamat


Bacaan talkin untuk arwah Zulkifli Mamat

Oleh: Mohammad Ishak

Suasana pilu dan hiba menyelubungi sanubari orang ramai yang menyaksikan upacara pengkebumian Wira Negara, Allahyarham Zulkifli Mamat, 29, sebik sahaja arwah diturunkan ke liang lahat kira-kira jam 5 petang semalam.

Kira-kira 2,000 penduduk tempatan termasuk pemimpin kerajaan dan pegawai kanan polis menghadiri upacara ketika dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor, dekat sini.

Jenazah Inspektor Zulkifi tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, tepat jam 3 petang dengan pesawat khas tentera.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat di kompleks TUDM untuk memberi penghormatan terakhir sebaik jenazah tiba dari Kuala Lumpur.

Antara kenamaan yang menyambut jenazah ialah Ketua Polis Terengganu Datuk Jamsah Mustafa, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari pengkalan TUDM kira-kira jam 4 petang dan tiba di rumah ibunya, Khatijah Ismail di Kampung Kubang Ikan, Besut dua puluh minit kemudian..

Upacara solat jenazah diadakan di rumah ibunya dengan diimankan oleh Mohd Shabri Harun dari Pejabat Bahagian Agama Kontijen Kuala Terengganu manakala bacaan talkin dilakukan oleh Zulkifli Ahmad dari Ibu Pejabat Polis Daerah Besut,Kampung Raja.

Isteri arwah, Nor Aziah Nor,28 bersama dua anaknya yang menaiki pesawat bersama allahyarham ditemani oleh pegawai kanan polis kelihatan tidak bermaya sebaik tiba di pengkalan TUDM dan terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda ke kenderaan lain.

Bagaimanapun, Nor Aziah turut menyaksikan upacara pengkebumian dan penghormatan terakhir tanpa ditemani dua anaknya.

Kehadiran ramai penduduk tempatan dan kenamaan memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu membangkit semangat isteri arwah serta keluarga yang kehilangan orang tersayang.

 

KERAJAAN CAKNA RAKYAT, BERI PELBAGAI BANTUAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita 

Pelbagai usaha kerajaan untuk meringankan beban sara hidup rakyat, terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Di Terengganu bebagai bantuan seperti ini telah bermula sejak sekian lama, terutama bantuan persiapan setiap kali menyambut hari raya.

Bahkan bantuan dana remaja juga diwujudkan untuk golongan bujang atau belum berkahwin.

Lain-lain termasuklah bantuan perubatan, membaiki rumah, malah membuat rumah baru bagi golongan yang tidak berkemampuan, bantuan persiapan awal menyambung pelajaran dan sebagainya.

Pelbagai produk bantuan di Terengganu disediakan untuk rakyat hingga tidak tersenarai banyaknya; hatta pemberian percuma e-Book kepada pelajar, satu-satunya negeri yang berbuat demikian.

Nikmat bantuan itu bertambah lagi, apabila kerajaan pusat memperkenalkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau lebih dikenali sebagai BRIM yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

BR1M melibatkan bantuan RM500 bermula 15 Januari 2012 tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini 2013 dikenali sebagai BR1M 0.2. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya memperolehi bantuan itu.

Bantuan Rakyat Satu Malaysia adalah salah satu bantuan yang telah dijanji dan ditepati oleh Dato Sri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam bajet 2012 Ia adalah bantuan tunai, secara one-off, sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Bantuan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kenaikan kos sara hidup rakyat. Walau pun ada pihak tertentu mempersendakan pemberian ikhlas kerajaan untuk rakyat dengan penghinaan kepada penerima BR1M, disamakan menabur makanan kepada haiwan tetapi rakyat tetap bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang mengadakan bantuan seumpama itu.

“Terima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin kepada nasib kami di mana sebelum ini saya juga terima Bantuan Rakyat IMalaysia (BRIM) dan dana raya daripada kerajaan negeri,” kata seorang bekas tentera Encik Zakaria Ngah dari Seberang Takir sambil mengesat air mata.

Beliau juga memperolehi bantuan pesara sebanyak seribu ringgit. Seorang balu Puan Ramlah Mat Sat, 45 tahun juga bersyukur menerima bantuan itu. “Saya akan gunakan duit ini untuk persekolahan anak-anak,” kata wanita itu yang berasal dari kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Bagi Raja Mat Raja Muda, 62 tahun, yang berkhidmat dalam tentera selama 18 tahun amat berbesar hati dengan pemberian one-off ini kerana dapat meringankan beban keluarga.

Beliau yang berasal dari Kampung Pak Katak, Kuala Nerus berkata, usaha kerajaan ini memberi kelegaan golongan pesara yang tidak berpencen sepertinya.

Warga emas, Haji Mustafa Husin, 72 tahun turut menyokong apa yang disuarakan rakan-rakan lain.

“Pemberian ini amat bermakna bagi kami dan diharap ada lagi bantuan serupa ini pada masa akan datang bagi meringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, sewaktu berkunjung ke negeri Terengganu minggu lalu menjelaskan segala bentuk bantuan yang diberi kerajaan kepada rakyat, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), merupakan amanah yang dipikul oleh kerajaan kepada rakyat.

“Orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menolong anak yatim serta orang miskin melakukan dosa besar,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shanbandar baru lalu.

Perdana Menteri menegaskan Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuruh umat Islam supaya membantu anak yatim dan orang miskin kerana pahalanya amat besar.

Malah, katanya, membantu golongan miskin dan anak yatim menyamai pahala mereka yang berjuang Fisabilillah.

Beliau menyifatkan kenyataan pihak tertentu menyamakan BR1M seperti memberi makanan kepada haiwan, telah menghina mereka yang mendapat bantuan tersebut.

Kerajaan Pusat jelasnya, menyediakan 231 produk bantuan 1Malaysia bagi membantu golongan kurang bernasib baik di negara ini. Sehubungan itu, beliau meminta rakyat menolak golongan yang sengaja menimbulkan keburukan dan suasana yang kurang selesa dalam masyarakat.

Sungguhpun ada pihak yang mengina penerima (BR1M) tetapi hakikatnya, kerajaan dibawah kepimpinan Dato’Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di peringkat pusat dan Dato’ Seri Haji Ahmad Said di peringkat negeri sememangnya sangat prihatin terhadap permasalahan rakyat dengan pelbagai jenis bantuan yang telah diberikan bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Oleh demikian, segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan harus lah diteliti dan di fahami kerana setiap kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah sebagai satu rasa bertanggujawab terhadap golongan rakyat yang memerlukan.

Kita sebagai rakyat Malaysia harus peka dengan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban hidup rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan.

Peranan kita adalah untuk sama-sama menjayakan usaha bagi menuju negara maju menjelang wawasan 2020.

Untuk berita selanjutnya KLIK

 

MB kecewa pembangkang mempolitikan isu pencerobohan di Lahat Datu,Sabah



Ahmad terharu melihat foto yang ditunjukkan ibu Zulkifli Mamat










Oleh:  Mohammad Ishak

Menteri Besar,Dato;Seri Ahmad Said  kecewa dengan sikap pembangkang yang  mencetuskan polimik politik terhadap kejadian berkenaan pencerobahan warga asing di Lahat Datu, Sabah walaupun tiga anggota polis terkorban.

Katanya, apa guna pertempuran di Kampung Tandou,Lahat Datu,Sabah,kelmarin dirancang kerajaan khususnya Umno sedangkan keluarga mangsa terbabit kehilangan anak tersayang.

Menurutnya, pemimpin pembangkang sudah ketandusan isu sehingga sanggup mempolitikan pencerobohan yang dilakukan warga asing berkenaan.

Kerajaan negeri menyifatkan Inspektor Zulkifli Mamat, 29, anak watan dari Besut, sebagai “:Wira Negara” kerana sanggup mengadai nyawa bagi mempertahankan bumi Malaysia diceroboh warga asing.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh Allahyarham yang sangup berkorban dan dalam masa sama rasa sedih kerana kehilangan seorang wira.

Katanya, kerajaan negeri akan membuat keputusan pada mesyuarat Exco Rabu ini untuk menentukan bantuan yang perlu diberikan kepada keluarga, balu dan anak allahyarham

“Allahyarham sudah membuktikan kepada rakyat Malaysia yang sanggup mengadai nyawa demi mempertahankan negara,” katanya selepas melawat ibu keluarga allahyarham di Kampung Kubang Ikan hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Terengganu,Datuk Jamshah Mustafa, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, ADUN Kota Putera Muhamad Pehimi Yusof,ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, ADUN Jabi Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Ahmad berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri merakamkan takziah kepada balu, ibu dan keluarga allahyarham sambil berharap keluarga terbabit tabah menghadapi cabaran hidup.






PRU 13 peluang rakyat tolak Pas secara total

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) merupakan peluang terbaik kepada rakyat negeri ini untuk menolak Pas dan semua parti pembangkang secara total, bagi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, berkata banyak masalah ditimbulkan oleh Pas sejak parti itu ditubuhkan, termasuk Amanat Haji Hadi yang membawa kepada isu kafir mengkafir dan perpecahan di kalangan umat Islam dan masyarakat Melayu.

“Sekarang ini timbul pula isu kalimah Allah yang timbul disebabkan Pas telah bersengkokol dengan DAP yang sememangnya anti-Islam,” katanya.

Beliau berkata, pakatan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan menimbulkan lebih banyak masalah di masa depan jika ada antara masyarakat Melayu dan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

“Kita tidak ada cara lain untuk menghapuskan Pas atau Pakatan Rakyat, melainkan menolak semua calon mereka pada PRU 13,” katanya.

Di Terengganu Pas menang lapan daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu daripada lapan kerusi Parlimen pada PRU 12.

“Kita mahu rakyat Terengganu memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang di semua 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen pada PRU 13 nanti,” katanya.

Dato’ Haji Abdul Rahman berkata, tidak ada gunanya lagi rakyat negeri ini menyokong Pas atau PKR kerana parti-parti tersebut tidak mampu mengambil alih tugas yang telah dilakukan Umno dan BN.

“Oleh itu, pengundi di negeri ini perlu bulatkan hati dan tidak membuat pilihan lain melainkan calon-calon BN bagi semua kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini,” katanya.

 

Kilauan permata IQT

Oleh: Aida Abd Rahman

Al-Quran sebagai sebuah kitab petunjuk dan kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril. Mengungkap setiap hurufnya bermula dari Surah al-Fatihah hingga Surah an-Nas merupakan ibadat dan membuktikan kecintaan yang tiada tolok bandingannya terhadap Allah s.w.t dan relevan sepanjang zaman.

Para penghafaz al-Quran adalah orang yang istimewa di sisi Pencipta dan para Rasul. Menyedari hakikat itu, Kerajaan Terengganu berusaha menerajui pembentukan generasi al-Quran melalui pembudayaan ilmu dengan mewujudkan Institut al-Quran Terengganu (IQT).

Sebelum dinamakan sebagai IQT pada 2 Januari 2007, pusat pengajian yang berhasrat muncul sebagai tempat penyelidikan dan rujukan terkenal di rantau ini sebelum ini dikenali dengan sebagai Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu sudahpun melahirkan 721 pelajar sejak 25 tahun beroperasi.

Pelbagai kejayaan diraih pelajar IQT yang mengikuti Program Persijilan Syahadah dan Diploma Lepasan SPM serta Program Pengajian al-Furqaan selain mereka terbukti muncul sebagai para huffaz yang berjaya. Seorang pelajarnya, Ikhwan Amin Hidayat, 19, dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu antara pelajar pusat pengajian itu yang bakal menggalas tanggungjawab mewakili Terengganu di Majlis Hafazan Peringkat Kebangsaan di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 4 hingga 8 Mac ini.

Kelancaran dan ketepatan anak sulung daripada tiga beradik memperdengarkan bacaan hafazan al-Quran bagi tahap satu hingga 30 juzuk berjaya memikat juri untuk meraih markah tertinggi daripada semua peserta yang bertanding bagi tahap itu.

Ikhwan Amin mengumpul markah keseluruhan 99.38 peratus menewaskan peserta di tempat kedua, Mohd Izzat Mat Nor, 24, dari Institut Pengajian Islam Kuala Berang (99.08 peratus) dan ketiga, Ahmad Miqdad Mohd Abidin, 19, juga dari IQT (98.56 peratus).

Kemenangan cahayamata pasangan Hidayat Mustafa, 45, dengan Kamariah Abdullah, 47, yang lahir tanggal 17 Ogos 1994 membolehkan anak muda membawa pulang wang tunai RM7,000 dan sijil penyertaan. 

Menurut pelajar yang berhasrat menyambung pengajian di Universiti Jordan dalam bidang Syariah itu, dia memperuntukkan masa antara dua hingga empat jam sehari bagi mengasah minda dan ingatan, selain sentiasa menunaikan solat hajat bagi memberinya keyakinan terutama dalam majlis hafazan yang disertainya.

Bekas johan hafazan peringkat negeri bagi tahap satu hingga 20 juzuk tahun lalu itu sentiasa mengelak daripada memakan makanan yang boleh melemahkan daya ingatan terutama organ dalaman binatang, makanan ringan, minuman bergas dan kafein.

“Alhamdulillah bersyukur dengan kejayaan ini. Saya akan sentiasa mengasah ingatan dan memperbetulkan bacaan saya bagi mempersiapkan diri menjelang pertandingan peringkat kebangsaan nanti.

“Saya jadikan guru tasmi’ al-Quran, Ustaz Hazwan Abdul Rahman sebagai sumber inspirasi saya untuk melakukan yang terbaik di pertandingan itu kelak. Selain itu, kedua ibu bapa juga penguat semangat saya untuk mencipta kecemerlangan dalam bidang ini,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin yang memperolehi 7A 1B dan 1C pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2009 berhasrat untuk terus bergelar huffaz terbaik dan mampu menurunkan ilmu al-Quran itu kepada sahabat yang lain, selain dipraktikkan dalam amalan seharian.

Sementara itu, ibu Ikhwan, Kamariah turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan puteranya yang cenderung memilih bidang agama walaupun dia dan suami tidak mempunyai latar belakang dan profesionalisme di bidang itu.

“Alhamdulilah bersyukur ke hadrat Allah s.w.t, kerana anak saya memupuk minat dan mencintai ilmu al-Quran tanpa paksaan sesiapa. Ia dari kerelaan dan kehendak sendiri. Saya hanya menyokong usahanya dan terbukti dia mampu berjaya walaupun kami tidak mempunyai latar belakang bidang itu,” kata pembantu jurujual kedai di bandar Kuala Terengganu itu lagi.