Kerajaan negeri bersetuju menjadikan program Minggu Permotoran Terengganu sebagai acara teras dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun depan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai tuan rumah program tahunan itu, kerajaan negeri bersedia untuk menimbang sebarang bentuk bantuan termasuk penajaan bagi menjayakan penganjurannya di masa depan.
“Saya menyambut baik dan mengalu-alukan kedatangan para `bikers’ dari seluruh Malaysia yang datang sempena Terengganu Bike Week 2013, apalagi acara itu dilaksanakan pada Tahun Melawat Terengganu 2013.
“Ini menggambarkan sebenarnya Terengganu amat menarik perhatian bikers untuk datang ke sini dan sebab itu saya memutuskan Terengganu Bike Week ini diadakan setiap tahun serta dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Terengganu di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Terengganu Bike Week 2013, di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi.
Hadir sama, Presiden Persatuan Permotoran Terengganu, Tengku Seri Temenggong Raja dan lebih 2,000 ahli persatuan permotoran seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Thailand.
Menteri Besar yang menyambut baik cadangan Tengku Seri Temenggong supaya menjadikan acara itu sebagai program tahunan berkata, langkah itu bertepatan sebagai usaha menarik lebih ramai pelawat dari luar Terengganu berkampung di negeri ini pada masa-masa akan datang sekaligus dapat meningkat jumlah kedatangan pelancong.
“Mudah-mudahan kunjungan kali ini meninggalkan kenangan manis kepada semua bikers dan akan berkunjung lagi ke negeri ini pada masa depan,” katanya.
Program dua hari sejak 1 Mac lalu menyediakan pelbagai acara kepada ahli dan juga peminat permotoran seperti pertandingan motosikal cantik, konvoi bertemu anak yatim di Batu Rakit serta konvoi muhibah yang menjelajah dari Pantai Batu Buruk menuju ke Pantai Rhu Sepuluh, Penarik; Bandar Permaisuri dan Taman Tamandun Islam sebelum kembali ke Batu Buruk.