Halaman

06 March 2013

Wanita Terengganu kutuk Tian Chua

Pergerakan Wanita UMNO dari Kuala Terengganu dan Kuala Nerus membuat laporan polis berhubung kebiadaban Tian Chua yang menuduh konspirasi kerajaan dan UMNO mengenai pencerobohan di Lahat Datu, Sabah.
Oleh; Esah Abdullah

Keceluparan dan kebiadaban Naib Presiden PKR,Tian Chua yang menuduh pertempuran anggota pasukan keselamatan dengan penceroboh di Lahat Datu,Sabah sebagai konspirasi kerajaan dan UMNO tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, kenyataan itu sangat menguris hati semua pihak termasuk keluarga anggota keselamatan kita yang terkorban dalam pertempuran itu.

Sehubungan itu, Pergerakan Wanita dari lapan bahagian seperti Besut, Setiu, Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Marang telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis di daerah masing-masing semalam.

Manakala Wanita dari bahagian Kuala Terengganu dan Kuala Nerus membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pagi ini.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat Naib Presiden PKR itu dan berharap tindakan tegas diambil terhadap Tian Chua yang bukan sahaja telah menghina UMNO malahan pihak polis yang berkhidmat untuk negara dan keluarga mangsa,” katanya.

Menurutnya, serentak dengan laporan polis, Wanita turut mengadakan mengadakan solat sunat hajat memohon perlindungan Allah SWT terhadap anggota keselamatan yang sedang berdepan penceroboh di Sabah.

“Wanita juga mengadakan majlis tahlil di masjid-masjid di lapan Parlimen seluruh negeri untuk anggota keselamatan kita yang terkorban,” katanya.