Halaman

03 March 2013

Dakwaan Tian Chua keterlaluan

Oleh: Suriati Ali 

Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua amat tidak bertanggungjawab.

 Katanya, sebaliknya, tidak mustahil apa yang diperkatakan itu cuba melindungi fakta sebenar, termasuk kemungkinan pembabitan pemimpin pembangkang yang berkaitan insiden di Lahad Datu, Semporna, Sabah.

“ Tian Chua perlu sedar kejadian di Lahad Datu itu membabitkan kematian anggota pasukan keselamatan serta ramai yang cedera.

"Jadi, kenyataan Tian Chua dengan mendakwa konspirasi UMNO amat tidak bertanggungajawab. Ini membabitkan kematian, bukan mati main-main dan amatlah bodoh jika anggap kejadian itu satu sandiwara,” katanya.

 Ditanya jika ada membabitkan pemimpin politik pembangkang tempatan terbabit dalam insiden di Lahad Datu apakah pendedahan perlu dibuat supaya rakyat tahu siapa mereka, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, kerajaan meminta semua pihak tampil mendedahkan bukti yang lebih jelas. Katanya, kerajaan juga tidak mahu negara terus terdedah kepada ancaman keganasan.

 "Kita tidak mahu ada orang merasakan melalui pilihan raya dia tak boleh menang, jadi mereka nak cari jalan yang boleh menimbulkan kacau bilau dan apabila keadaan itu berlaku, dunia melihat kita tidak aman tidak stabil, pelaburan kurang dan itulah cara untuk melemahkan kerajaan," katanya.