Halaman

06 March 2013

Polis Terengganu hantar lima anggota ke Sabah

Oleh: Suriati Ali 

Polis Terengganu menghantar lima anggota, termasuk seorang pegawai berpangkat Asisten Superitendan (ASP) bagi membantu penyiasatan kejadian pertempuran di Sabah.

Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Dato' Jamsah Mustapa, berkata semua anggota dari Unit Penyiasatan Cawangan Penjenayah itu dihantar bertugas di negeri itu bermula semalam.

“Sekiranya masih ada permintaan dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, (PDRM) kita akan terus menghantarnya secara berperingkat-peringkat.

“Setakai ini, mereka yang diarahkan itu tidak akan terlibat dengan operasi, sebaliknya hanya bertindak menyiasat bersama pasukan keselamatan lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Solat Hajat dan Bacaan Yasin, di Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, majlis yang diadakan itu bertujuan memohon kepada Allah S.W.T supaya keadaan pertempuran di Sabah beransur pulih, di samping mengharapkan kemenangan berpihak kepada anggota keselamatan Malaysia.

“Kita berharap apa yang terjadi ini tidak akan berlaku lagi pertumpahan darah di kalangan anggota polis dan tentera pada masa akan datang.

“Kepada anggota yang telah kembali ke ramahtullah Supritendan Ibrahim Lebar dan Inspektor Zukifli Mamat, moga-moga rohnya ditempatkan bersama umat Islam yang soleh,” katanya.

Katanya, Polis Kontinjen Terengganu menyokong setiap apa tindakan dan rancangan pihak kerajaan untuk mengatasi pencerobohan penjenayah dan bagi menjaga keselamatan negara.

“Kami sebagai sebahagian anggota keselamatan negara akan terus berjuang walaupun pelbagai speklulasi dan fitnah ditimbulkan masyarakat,” katanya.