Halaman

07 March 2013

90 mangsa banjir Kampung La dapat bantuan Ahli Parlimen Besut


Datuk Seri Dr Abdullah menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir Kampung La.

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 90 penduduk Kampung La, Hulu Besut yang terbabit dalam kejadian banjir gelombang ketiga menerima bantuan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Besut semalam.

Majlis penyampaian bantuan berupa makanan dan wang tunai yang diadakan di Masjid Kampung La, dekat sini disampaikan Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri.

Penduduk Kampung La adalah yang terjejas teruk dalam kejadian banjir gelombang ketiga akhir Februari lalu menyebabkan tiga rumah milik penduduk musnah dihanyutkan bajir.

Abdullah berkata, pihaknya sedang berusaha dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk kampung itu kerana terpaksa berpindah tiga kali dalam tempoh dua bulan akibat banjir.

Sementara itu, Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad yang hadir sama pada majlis itu berkata, kerajaan negeri mengenal pasti satu kawasan baru bagi penempatan penduduk Kampung La yang sering dilanda banjir.

Katanya, sebelum ini ramai penduduk kampung itu sudah mendapat rumah di bawah projek rumah mesra rakyat untuk dijadikan tempat pemindahan banjir.

Menurutnya, semua penduduk kampung itu yang tidak mempunyai tanah dan terbabit dalam banjir akan diberikan tapak perumahan di satu kawasan tidak jauh dari kampung berkenaan.

Mengenai bantuan kepada tiga mangsa yang kehilangan rumah selepas dihanyutkan banjir Nawi berkata, mereka akan diberi bantuan RM`10,000 bagi membaiki rumah yang rosak.

Nawi berkata, beliau akan menggunakan sebahagian daripada RM1 juta yang diperuntukan kerajaan negeri kepada ADUN negeri ini untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah di kampung itu.