Kerajaan negeri optimis membantu anak muda negeri ini terutamanya ‘mat motor’ dengan menggalakkan mereka mengusahakan bengkel motosikal.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, selaras dengan hasrat tersebut program T-Bikers Shop dilancarkan sebagai memenuhi janji dan tanggungjawab kerajaan negeri kepada anak muda.
"Program T-Bikers Shop adalah satu program transformasi yang merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Koperasi Belia 1Malaysia Berhad (KOB1M).
"Ia akan menaik taraf dan menjenama semula bengkel motosikal yang menyertai program ini,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan kedai T-Bikers Shop di Lan Jawa Motor, semalam.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato' Wan Hisham Wan Salleh; Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki serta Jaguh Moto GP Negara, Zulfahmi Khairudin.
Menurut YB Rozi, bengkel Lan Jawa Motor milik pemuda yang bernama Azlan Abdul Rahman, 37, merupakan bengkel pertama yang menjadi perintis kepada program ini di Terengganu.
"Kita berhasrat untuk membuka T-Bikers Shop di setiap daerah dan usaha ke arah itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
"Sebagai usaha membantu anak muda menceburi bidang ini dan mengembangkan perniagaan mereka, kerajaan pusat melalui KOB1M memperuntukkan RM100,000 dan kerajaan negeri sebanyak RM50,000 untuk memberi bantuan kepada setiap bengkel yang menyertai program ini,” katanya.
Katanya, apabila menyertai program T-Bikers Shop pemilik bengkel akan mendapat banyak faedah antaranya dapat mempelajari kaedah pengurusan perniagaan terkini, memperoleh kemahiran baru, serta cara mengembangkan perniagaan dengan di bantu oleh pakar-pakar terlatih.