Halaman

07 March 2013

PMINT Square ubah lanskap pembangunan Kuala Terengganu

Dato' Osman Muda (kanan) menerangkan sesuatu kepada Dato' Haji Ahmad Said mengenai PB Sentral yang bakal didirikan di bandar Kuala Terengganu. Turut hadir Dato' Haji Mazlan Ngah.

Oleh: Aida Abd Rahman

Bandar Raya Kuala Terengganu akan berubah wajah dalam tempoh lima tahun lagi apabila PMINT Square, yang melibatkan enam komponen bangunan pusat komersial, ruang pejabat serta hotel, bakal dibangunkan di kawasan Paya Bunga, tidak lama lagi.

Komponen bangunan seperti Menara PMINT, Wisma PMINT, PB Sentral, Plaza Paya Bunga dan PB Square yang dihubungkan menggunakan jejantas pejalan kaki bakal menjadi mercu tanda baru Terengganu yang merubah lanskap pembangunan Kuala Terengganu khasnya dan Terengganu, amnya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata PB Sentral merupakan satu komponen yang terdapat dalam PMINT Square yang mula dibangunkan sejak bulan lalu dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

 “Enam komponen bangunan itu termasuk PB Square yang melibatkan hotel dan ruang pejabat (sedang dibangunkan), selain PB Sentral dan satu lagi projek baru akan dibangunkan di tapak stesen bas lama dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Semua kawasan pembangunan ini dinamakan sebagai PMINT Square dan komponen bangunan berkenaan bakal dihubungkan dengan jejantas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah PB Sentral, di Jalan Engku Embong Fatimah, hari ini.

 Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Osman Muda.

 PB Sentral sempena nama kawasan `Paya Bunga’ sebagai kesinambungan pembangunan projek PB Square (bersebelahan PB Sentral) yang sudah 82 peratus siap dan Plaza Paya Bunga yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya Jun ini, selepas terbengkalai agak lama.

Menteri Besar berkata, PB Sentral yang bernilai RM90 juta setinggi sembilan tingkat akan dilengkapi 679 lot parkir (tingkat satu hingga enam), 10 panggung cineplex (tingkat tujuh hingga lapan) serta pusat boling (36 lorong) di tingkat sembilan.

 “Kita berharap dalam tempoh lima tahun akan datang Terengganu akan berubah wajah kerana selain Menara PMINT di tapak stesen bas lama, satu syarikat swasta juga akan bangunkan hotel 23 tingkat di tapak Panggung Rex (bersebelahan Hentian Bas MBKT).

 “Manakala di Ladang Tok Pelam kita sedang bangunkan premis 31 tingkat, di mana sekarang sudah siap hampir 19 tingkat dan dua tiga bulan lagi akan siap lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga merancang membangunkan pusat perniagaan baru dikenali sebagai `Life Style Mega Mall’ di kawasan seluas satu juta kaki persegi di Kampung Tanjung yang dilengkapi dengan kompleks membeli-belah, panggung wayang, pusat boling dan juga apartment.

Selain itu, tender pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu setinggi 23 tingkat bernilai RM80 juta di Kampung Tanjung juga sudah ditutup dan kerja pembinaan akan dilaksanakan tidak lama lagi.

 "Kita merancang pada masa depan untuk membina satu lagi apartment 31 tingkat di Kampung Tanjung sama seperti reka bentuk apartment di Ladang Tok Pelam, bagi mengekalkan penduduk yang terlibat dengan kawasan pengambilan balik tanah di situ.

"Di samping itu, kita juga akan membina pasar baru Pasar Kedai Payang setinggi empat tingkat yang lebih moden, ada penghawa dingin, eskalotor dan jejambat yang menghubungkan Bazaar Warisan, selain hotel lima bintang 23 tingkat dan apartment 30 tingkat,” katanya.

 Katanya, Menara bangunan Yayasan Islam Terengganu juga akan dibangunkan membabitkan kos RM20 juta bersebalahan bangunan Wisma Darul Iman yang kini sedang dalam peringkat kerja membersih tapak bangunan.