Halaman

06 March 2013

BELASUNGKAWA: SUPT IBRAHIM LEBAR BERJIWA PATRIOTIK SEJAK REMAJA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita 

HAMPIR 30 tahun lalu (1983) kami sama sama tinggal serumah.

Waktu itu saya masih belajar di sebuah sekolah swasta di bandar Kuala Terengganu.

Ibrahim yang lebih mesra dipanggil Dinsmia ringkasnya Dins, baru habis belajar di sebuah sekolah menengah di Besut dan tinggal bersama kami untuk hidup berdikari tanpa mahu menyusahkan keluarganya di Jabi, lalu mengintai peluang peluang pekerjaan di bandar Kuala Terengganu.
Allahyarham bertopi, manakala penulis berbaju biru di depannya.
Kami serumah semua 6 orang, 4 darinya semua dari Jabi Besut iaitu Aziz serta adiknya Din juga namanya , Hadi Yaacob termasuk Allahyarham dan saya dari Mengabang Telipot.

Seorang lagi juga bernama Din berasal dari Kuala Brang. Jadi ada tiga Din dalam rumah sewa kami itu.

Saya, Hadi dan Din Kuala Brang sama-sama di sekelas di tingkatan enam atas di sebuah sekolah swasta yang sifat pengajarannya cenderung kepada politik pembangkang. Aziz@ Abdullah dan adiknya Din telah bekerja (Aziz bekerja di Telekom), jadi kami tinggal serumah di sebuah pondok usang yang sewanya hanya RM70 sahaja dan kami berkongsi bayar belas-belas riggit sahaja sebulan.

Rumah sewa kami waktu itu sudah buruk dan senget keadaannya, sebab itu sewanya murah terletak di Jalan Panji Alam, bersebelahan dengan rumah Ustaz Embat seorang pakar khat tulisan jawi.

Sekarang telah dirobohkan diganti bangunan baru. Ibrahim atau Dins seorang yang pendiam, sentiasa terukir senyuman dan mudah mesra.

Kalau perempuan melihatnya pasti akan cepat jatuh cinta.

Walau pun saya mulanya tidak mengenali dia dan datang menumpang di situ kerana ajakan kawan sekelas, Hadi dan Din Kuala Brang, tetapi mereka (Aziz dan adiknya dan Allahyarham) yang sama-sama sekampung dari Jabi itu tetap menerima saya dengan baik untuk tinggal bersama di rumah itu.

Kalau tidak silap Allahyarham lebih senior dua tahun sahaja dari saya, waktu itu umurnya 22 tahun (1983) dan saya awal 20.

Oleh itu mungkin Allahyarham terkorban semalam pada usia 52 tahun. Allahyarham Ibrahim (Dins) begitu amat rapat dengan saya kerana kebetulan hobi saya mengarang waktu itu, terutama puisi dan bingkisan rasa, sering disiarkan di radio Terengganu dan beliau selalu bekongsi ayat-ayat cinta atau ayat-ayat indah dengan saya.

Allahyarham Ibrahim menjalinkan cinta dengan seorang anak ahli politik yang berketurunan Tengku, yang tinggal di Gong Kapas tidak jauh dari rumah sewa kami. Tapi sayang, cinta mereka tidak kesampaian oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Lantaran itu hubungan persahabatan kami menjadi akrab kerana kebersamaan jiwa sentimental kami waktu itu.

Kami selalu berbincang tentang percintaan, perkahwinan dan masa depan, walaupun saya masih belajar.

Tahun berkenaan merupakan tahun kereta nasional diperkenalkan dan rakyat Malaysia diminta mencadangkan nama-nama bagi kereta itu.

Dins adalah antara yang banyak mengemukakan cadangan.

Kami juga selalu berbincang tentang politik, tetapi Allahyarham seorang yang amat taat kepada kerajaan yang memerintah, walaupun saya dan rakan-rakan di sekolah itu agak berjiwa penentang kerana diasuh dengan aliran politik pembangkang.

Allahyarham banyak menasihat kami supaya tumpu pada pelajaran dahulu dan jangan bersikap anti kerajaan.

Maknanya jiwa patriotik Allahyarham sudah tinggi waktu itu. Selepas akhir tahun 1983, saya telah selesai peperiksaan STPM- tahun tersebut cukup bersejarah kerana kami terpaksa menghadapi dua kali peperiksaan kerana kerajaan memutuskan peperiksaan pertama batal kerana kebocoran soalan.

Semasa peperiksaan pertama kami selalu dipanggil polis untuk siasatan kerana soalan-soalan spot yang kami miliki kebetulan tepat- sebab itu kami jadi mangsa soal-siasat.

Sebagai pelajar memanglah perasaan takut kepada pihak polis amatlah tinggi, walaupun tidak bersalah kerana soalan itu kami perolehi dari kawan-kawan yang tidak diketahui sumber asalnya.

Namun begitu Allahyarham yang sentiasa memberi semangat kepada kami supaya jangan takut pergi ke balai polis bila dipanggil untuk sesi soa-siasat.

Tanpa saya duga rupanya selepas itu, Allahyarham menyertai pasukan polis sebab pada tahun 1984 saya ke Taman Tun Dr.Ismail, Kuala Lumpur melibatkan diri sebagai wartawan kadet di syarikat Karangkraf (Bacaria).

Sehinggalah dua hari lepas saya terbaca dalam blog dan FB mengenai polis yang terkorban di Semporna itu adalah salah seorangnya pegawai kanan polis, Supt Ibrahim Lebar dari Besut.

Sesungguhnya pemergianmu menemui-Nya cukup dirasai oleh kami semua, walaupun keluarga Allahyarham sendiri tidak mengenali kami. Kaulah sahabatku- Wira Negara. Alfatihah.