Halaman

07 March 2013

Kerajaan tubuh Biasiswa Al Wathiqu Billah Sultan Mizan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan satu lagi biasiswa baru iaitu Biasiswa Al Watiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, biasiswa ini khusus untuk pelajar-pelajar cemerlang negeri ini yang akan dihantar ke universiti-universiti terkemuka dunia.

“Kerajaan negeri akan menyediakan 10 orang setahun di bawah pembiayaan biasiswa ini untuk melanjutkan pelajar keluar negara mengikut pilihan jurusan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 8A+ termasuk subjek teras layak menerima biasiswa berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini telah wujud biasiswa Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang memberi biasiswa kepada pelajar anak tempatan menyambung pelajat ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

 “Selain mendapat keputusan cemerlang kriteria lain termasuklah kegiatan ko korikolum akan diambil kira, ujian saringan serta perlu menjalani temuduga oleh ahli panel yang dilantik kerajaan,” katanya.

Katanya, setakat ini kerajaan mengenalpasti 20 universiti terkemuka di dunia antaranya termasuklah Universitiy of Cambridge, Oxford University, London School of Economics, Imperial College of London, King’s College, Universiti of London dan Queen’s University of Belfast.

 “Keistimewaan ini hanya disediakan untuk anak tempatan dan jumlah biasiswa yang diberikan mengikut jurusan yang diambil serta yang tertinggi berbanding biasiswa dari agensi lain,” katanya.

Menurutnya, setakat ini seramai 11 orang pelajar kita sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti terkemuka dunia.