Halaman

03 March 2013

Minggu Permotoran Terengganu semarak TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Permotoran Terengganu (PPT) menganjurkan Minggu Permotoran Terengganu (Terengganu Bike Week 2013)  sebagai inisiatif memperkenalkan Terengganu antara destinasi pelancongan terbaik dan harus dikunjungi bagi menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.



Presidennya, Tengku Seri Temenggong Raja, berkata kehadiran lebih 2,000 tetamu dan rakan `bikers’ dari seluruh negara itu mampu mempromosikan Terengganu secara lebih dekat selaras dengan slogan `Negeri Cantik, Budaya Menarik dan Orangnya Baik-Baik’.

“Sempena program ini juga saya menyeru semua peserta supaya mengambil peluang untuk mengenali Terengganu dengan lebih dekat lagi, bukan sahaja budayanya tetapi produk negeri ini seperti keropok lekor, batik, tembaga, songket dan pelbagai lagi.

 “Secara kebetulan, program ini bertindih dengan Le Tour de Langkawi dan ini merancakkan lagi peserta menyertai pesta dan berkampung di Terengganu,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penutup Terengganu Bike Week 2013, di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi.

Tengku Seri Temenggong berkata, selaku tuan rumah, PPT juga bersedia membawa semua peserta permotoran kali ini untuk melawat mana-mana destinasi yang dihajati bagi memastikan percutian ke negeri ini memberi kesan serta memori indah kepada semua.

Beliau berkata, penganjuran acara permotoran terbesar yang dilaksanakan di Terengganu sebagai kesinambungan program yang sama tahun lalu itu mampu mendidik orang ramai mengenai permotoran terutama cara menunggang dan pemanduan berhemah.

“Program seumpamanya ini juga dapat mendidik orang ramai bagaiamana cara menunggang dan pemanduan berhemah sepertimana yang dipamerkan oleh agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan belia serta lain-lain lagi.

 “Ia juga menjadi platform untuk berkongsi pengalaman selain dapat melaksanakan aktiviti amal di Kampung Batu Rakit dan menziarahi golongan miskin serta menikmati jamuan makan malam yang disediakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat,” katanya.