Halaman

08 March 2013

Gua Bewah, kaya dengan sejarah

Oleh: Suriati Ali 

 Gua Bewah yang terletak 578 meter dari aras laut di Tasik Kenyik, Hulu Terengganu, cukup dikenali sebagai gua batu kapur yang mempunyai bentuk dan formasi stalaktit dan stalagmit yang unik seperti bentuk burung unta dan lembaga manusia yang sedang sujud.

 Namun, di sebalik keistimewaan itu, tersingkap sejarah bahawa Gua Bewah adalah penempatan manusia di zaman Mesolitik dan Neolitik. Menurut sumber masyarakat terdahulu, nama Gua Bewah dipercayai berdasarkan kedudukannya yang berdekatan dengan Bukit Bewah.

 Sekumpulan penyelidik arkeologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja penggalian November 2010, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.

Sebelum ini, Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu dilaporkan pernah melakukan kerja penggalian pada Julai 1976 dan antara artifak yang ditemui ketika itu termasuk rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang siput sedut.

 Pengunjung yang berminat untuk menikmati keindahan gua ini, perlu mendaki 240 anak tangga untuk ke pintu gua sebelum dapat merasai suasana udara sejuk di dalam gua selain melihat pokok keladi besar dan cili padi hidup subur di hadapan pintu gua berkenaan.

 Gua Bewah juga dilengkapi dengan sistem solar untuk menyalurkan kuasa elektrik bagi pencahayaan lampu di dalam gua berkenaan bagi kemudahan pengunjung yang berkunjung ke situ.

 Di samping itu, kerajaan negeri membina laluan untuk memudahkan pergerakan pengunjung dan pengunjung juga boleh membawa lampu suluh kerana tidak semua kawasan di dalam gua berkenaan dilengkapi dengan lampu.

 Mereka yang berminat untuk mengunjunginya boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan menaiki rumah bot untuk ke gua berkenaan menerusi ejen yang disediakan iaitu Bahtera Petang Houseboat.

 Bahtera Petang Houseboat mampu memuatkan maksimum 12 orang dalam satu-satu masa dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada tempoh yang dikehendaki oleh pengunjung.

 Bagi pakej dua hari satu malam, bayaran yang dikenakan oleh perkhidmatan itu ialah RM280 dan pakej tiga hari dua malam, RM470 dikenakan manakala RM188 akan dikenakan sekiranya pengunjung menambah sehari bermalam.

 Bahtera Petang Houseboat mempunyai dua bilik di mana satu bilik mempunyai dua katil bujang manakala sebuah bilik lagi mempunyai dua buah katil bertingkat dan lebihan enam penumpang lagi, mereka akan diberi kelengkapan tidur untuk tidur lobi rumah bot.

 Pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan rumah bot melalui Jeti Jenagor atau Pangkalan Gawi.