Halaman

06 March 2013

Naib Canselor UniSZA sampai ucaptama di Universiti Islam Gaza

Oleh: Aida Abd Rahman

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Yahaya Ibrahim bakal menyampaikan ucaptama di Universiti Islam, Gaza, Palestin sempena lawatan akademik ke negara Timur Tengah itu, bermula 7 hingga 15 Mac ini.

Prof Dr Yahaya yang mengetuai delegasi yang disertai lima peserta termasuk dekan, pensyarah dan pegawai UniSZA itu juga bakal menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Al-Aqsa dan Universiti Islam Gaza.

“Dalam lawatan itu, saya dijemput untuk menyampaikan ucaptama sempena Seminar Antarabangsa di Universiti Islam, Gaza pada 10 Mac ini.

 “Pada masa yang sama, delegasi ke sana juga berhasrat mengadakan lawatan dan perbincangan di Universiti Iskandariah, Universiti Monsoura dan Al-Azhar, Mesir untuk menemuduga bagi pengambilan kakitangan akademik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,” katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan Tabung Kemanusiaan Gaza sumbangan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di UniSZA Kampus Kota, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Encik Ayob menyerahkan sumbangan itu kepada Prof Dr Yahaya untuk disampaikan kepada tabung bantuan masyarakat di negara itu nanti.

Sebelum itu, Prof Dr Yahaya berkata, penglibatan UniSZA dalam program ucaptama dan lawatan akademik tersebut mampu memberi banyak manfaat kepada universiti itu terutama dalam mempromosi program pengajian yang ditawarkan sekaligus membantu meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa di UniSZA.