Halaman

03 March 2013

Rakyat Malaysia harus bersyukur

Oleh: Noraini Jusoh

Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman damai dan mempunyai kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap rakyat.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Haji Shamsuddin Sulong berkata, nikmat yang diperoleh rakyat Malaysia melalui Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak dapat dikecapi di tempat lain.

"Sebagai warganegara Malaysia, kita wajib mempertahankan kerajaan yang terbukti telah membawa banyak perubahan termasuk dari aspek pembangunan dan pendidikan rakyatnya.

"Malaysia sebuah negara Islam dimana kerajaan yang memerintah sekarang tidak pernah menghalang kita lakukan ibadah, namun harus diingat sekiranya sesebuah negara bertukar kerajaan maka yang menjadi mangsa adalah rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di depan kira-kira 250 peserta yang hadir ke Program Jati Diri Belia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, kerajaan BN dan Umno menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu meringankan beban rakyatnya dan sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan, rakyat seharusnya meyokong Kerajaan BN dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.

Menurut beliau, pembangkang cemburukan Kerajaan BN dan Umno kerana mereka terlalu ingin memerintah negara.

"Pembangkang hanya mahu menawan Putrajaya tetapi tidak tahu untuk mentadbir, hal ini telah terbukti apabila mereka hanya pandai menuduh apa yang kerajaan buat semua tidak betul, hanya mereka saja yang betul, tetapi tengok saja apa yang mereka lakukan untuk negeri di bawah pentadbirannya, tiada apa-apa dilakukan untuk rakyat,” katanya.

Katanya, untuk terus menikmati keamanan dan kemakmuran, rakyat seharusnya memberi sokongan padu dan mempertahankan Kerajaan BN dan Umno pada PRU-13 tidak lama lagi.