Halaman

06 March 2013

JPNT wujud pusat media PRU13

 Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) bakal mewujudkan pusat media di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bagi memudahkan penyelarasan, penyebaran dan pengaksesan maklumat di kalangan pengamal media berkaitan proses pilihan raya, sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Pengarahnya, Puan Azizah Awang, berkata pihaknya akan melengkapi pusat berkenaan dengan kemudahan logistik yang dapat melancarkan pengaksesan maklumat berkaitan profil calon, peti undi, aktiviti calon, peratusan keluar mengundi dan keputusan PRU13.

“Pusat media ini akan beroperasi mengikut tiga fasa, pertama sebaik sahaja pembubaran kita mungkin akan membukanya sehingga waktu pejabat sekitar jam 5 petang, fasa kedua sewaktu penamaan calon dan kempen PRU, ia akan dibuka sehingga jam 12 malam.

“Manakala pada waktu puncak dalam tempoh tiga hari sebelum waktu pembuangan sehingga pengiraan undi, pusat media dijangka akan beroperasi 24 jam dan hanya ditutup sebaik sahaja selesai keputusan PRU13 secara rasmi,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Kawat, di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat merangkap Pegawai Perhubungan Awam JPNT, Encik Iskandar Jaafar dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Puan Azizah berkata, pada dasarnya, pihaknya sudah berbincang dengan Presiden Kawat dan kedua-dua pihak bersepakat bagi memastikan kelancaran operasi pusat media yang akan diketuai Encik Iskandar serta dibantu lima hingga 10 kakitangan JPNT secara bergilir-gilir itu.

 “Kita sudah bersiap-sedia dan akan segera menyiapkan keperluan dan input di pusat media itu sebaik sahaja pembubaran parlimen yang dijangka akan diumumkan pada bila-bila masa dalam tempoh terdekat ini.

“Kewujudan pusat media ini diharap akan memudah cara dan melancarkan tugas wartawan dan jurugambar memperolehi maklumat untuk menyiapkan laporan di media masing-masing,” katanya.