Halaman

25 March 2013

BN buka 343 bilik gerakan

Oleh: Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) Terengganu membuka pusat-pusat daerah mengundi atau Bilik Gerakan BN di seluruh negeri yang melibatkan 343 peti undi sejak awal Februari lalu dan akan berterusan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata gerak kerja jentera BN perlu digerakkan lebih awal supaya mereka dapat bersedia lebih awal dengan mendapat maklumat dan boleh juga menaikkan bendera BN di rumah atau di bilik gerakan asalkan tidak mengganggu orang awam.

 Katanya, semua jentera parti Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

“Pihak kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.

 “Semuanya sudah nampak persefahaman antara barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahu pun negeri,” katanya.

 Menurutnya, BN masih mempunyai ruang yang kukuh untuk mempertahankan negeri Terengganu dalam PRU ke-13 kelak. “Dengan gerak kerja yang kita atur dan sambutan dari akar umbi lebih-lebih lagi dari jentera parti secara keseluruhannya kekuatan UMNO tetap terselah,” katanya.

 

LPP kesan ahli jelas hutang

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu akan perhebatkan gerakan mengesan ahli-ahli yang belum menjelaskan hutang masing-masing yang kini terkumpul lebih RM12 juta.

Pengarah LPP Terengganu, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, hutang yang tertunggak merupakan hutang lama dan baru yang berlarutan sejak enam tahun lalu.

Katanya, langkah pertama yang akan diambil ialah mengadakan perjumpaan dengan penghutang serta menghantar penyata hutang kepada mereka yang terbabit setiap bulan.

“Kita faham terdapat beberapa sebab mereka tidak mampu bayar balik pinjaman termasuk kegagalan projek, ditimpa bencana alam dan juga masalah liat bayar hutang,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, jabatan bersedia memberi khidmat nasihat jika berlaku kegagalan projek tetapi kalau sengaja kes mereka akan dibawa ke jawatankuasa tindakan timbangtara.

Menurutnya, setakat ini terdapat 52 orang telah melalui proses timbangtara dan perbicaraan dijalankan sama seperti kes yang dibawa ke mahkamah.

Katanya, sepanjang tahun lalu JPP telah berjaya membuat kutipan hutang berjumlah RM2 juta dan tahun ini dijangka dapat mengumpul kutipan dalam jumlah lebih banyak.

 

Pembangkang Gadai Agama Kerana Politik Peribadi

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Tindakan pembangkang kebelakangan ini amat dikesali sehingga sanggup mengadaikan agama dan bangsa, sekaligus membuktikan mereka sudah hilang pendoman dan membuat apa sahaja bagi memastikan cita-cita politik tercapai tanpa memikirkan kesan keseluruhan kepada rakyat negara ini.

Sekiranya diamati,apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang adalah sesuatu yang merbahaya dan boleh menimbulkan suasana yang tidak sihat serta mengugat kesejahteraan keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Mengikut cakap-cakap di kedai kopi menyatakan Pas sudah hilang keberanian untuk bercakap kerana lebih utamakan politik dan sanggup pertahankan kenyataan-kenyataan kontroversi sedangkan ianya mendapat kecaman daripada pelbagai termasuk para ulamak dan pihak istana.

Pas dijeratkan oleh PKR dan DAP dan kini mereka terjerat dengan apa yang dikatakan oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat termasuk isu-isu agama.

Sehingga kini Pas masih tidak berani menyatakan pendiriannya kerana takut kehilangan undi dalam misi menuju ke Putrajaya.

Pembangkang lebih mengutamakan cita-cita politik, mereka sebenarnya tidak boleh duduk semeja tetapi terpaksa menutupnya untuk menunjukkan mereka mempunyai persefahaman dalam perjuangan mereka.

Namun dari hari ke hari,perbezaan pendapat serta cara menyelesaikan masalah makin jelas terbongkar, rakyat tahu apa yang berlaku dan perkara ini tidak boleh diselindungi lagi.

Puteri Umno saran pengundi buat pilihan tepat

Oleh: Suriati Ali 

Pergerakan Puteri Umno Terengganu semakin giat mendekati golongan pengundi wanita muda agar mereka membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), selain tidak terpengaruh dengan anasir luar.

 Ketuanya, Puan Nordiana Shafie berkata, dia yakin majoriti besar daripada bilangan 294, 606 pengundi muda wanita di negeri ini, termasuk pengundi baru berumur antara 21 tahun hingga 40 tahun ke bawah memilih Barisan Nasional.

 “Pelbagai usaha dan kempen dilaksanakan, semata-mata mahu mereka sedar bahawa BN membawa pelbagai kebaikan, kebajikan dan melaksanakan janji kepada rakyat dan bukan sekadar hanya menabur janji.

“Antara usaha yang dilakukan termasuk, turun ke setiap peti undi dengan mengadakan program pemeriksaan kesihatan percuma, bantuan cermin mata bagi mereka yang tidak berkemampuam dan pelbagai aktiviti,” katanya .

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Gagasan Aspirasi Wanita Muda, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Puan Nordiana turut memberitahu, Puteri Umno bersama pihak berkaitan tidak jemu mendekati pengundi dengan memesan supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat, termasuk melalui lawan sesawang dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

 Katanya, pendekatan itu dianggap cukup penting, kerana golongan muda adalah pelayar laman sesawang paling tinggi dan dikatakan gemar mendapatkan pelbagai maklumat yang belum tentu kesahihannya.

 “Kita juga bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Masyarakata (APMT) dengan mengadakan sembang-sembang minum petang dalam kelompok kecil di kampung-kampung.

 “Pada masa yang sama bertanya apa kehendak mereka sebab sesetengah golongan muda ini tidak faham terutama kalangan wanita sebab mereka tidak bercampur dan tidak tahu tentang politik semasa,” katanya.

 Beliau yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Wanita Melayyu Muda negeri Terengganu (Wardah) juga yakin golongan wanita muda ini memberikan sokongan penuh kepada pimpinan kerajaan sekarang.

 

Dua projek rumah kedai di Besut dihentikan CIDB

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan bagi dua tapak projek pembinaan rumah kedai di daerah Besut, pada 18 Mac lalu.

Pengarah CIDB Negeri Terengganu, Ahmad Farrin Mokhtar berkata, notis tersebut dikeluarkan berikutan kegagalan kontraktor yang mengendalikan projek berkenaan mengemukakan Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah.

"Notis yang dikeluarkan ini adalah berdasarkan kepada peruntukan sedia ada mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

"Susulan penutupan tersebut, dua laporan polis telah dibuat CIDB Negeri Terengganu bagi melengkapkan prosedur sedia ada," katanya.

Katanya, dalam masa yang sama, kontraktor yang terbabit juga telah diberikan peringatan untuk memohon Perakuan Pendaftaran CIDB mengikut gred berkaitan.

Menurut Ahmad Farrin, notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan itu hanya akan ditarik balik sekiranya kontraktor terbabit memperoleh Perakuan Pendaftaran CIDB.

Jelas beliau, tindakan mahkamah masih akan diambil terhadap kontraktor terbabit kerana menjalankan kerja pembinaan tanpa Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah.

Katanya, kontraktor yang terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 29, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, pelaksanaan sesuatu kerja pembinaan tanpa mempunyai Perakuan Pendaftaran CIDB adalah merupakan satu kesalahan dan tindakan yang diambil adalah untuk memastikan semua kerja pembinaan hanya dilaksanakan oleh kontraktor yang mempunyai Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah sahaja.

 

PGM Terengganu Master di Resort World Kijal

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu akan menganjurkan kejohanan golf edisi kelapan ‘PGM Terengganu Masters 2013’ bertempat di lapangan Resort World Kijal (dahulu di kenali sebagai Awana Kijal Golf Beach & Spa Resort), Kemaman.

Kejohanan selama empat hari yang akan bermula 21 Ogos ini melibatkan penyertaan 148 peserta daripada 23 negara.

Sebanyak RM400,000 diperuntukan kerajaan negeri untuk kejohanan tersebut bagi memastikan ia berjalan lancar selain mendapat penajaan daripada jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan korporat.

Majlis pelancaran kejohanan yang bertaraf antarabangsa dan berprestij itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said semasa Pertandingan Golf Pro-Am pada 20 April ini.

Pemenang utama bagi kejohanan ‘PGM Terengganu Masters 2013’ bakal menerima wang tunai RM35,000 di samping piala pusingan dan iringan.

Sasaran penganjuran kejohanan adalah untuk menjadikan sukan golf di Terengganu sebagai salah satu sukan rekreasi yang utama dan mampu menarik peserta dan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Selain mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan terkemuka di negeri ini terutamanya sempena Tahun Melawat Terengganu 2013, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pelancongan, kejohanan tersebut juga di harap dapat menarik minat golongan belia dan remaja menceburi sukan golf.

 

Syukur, kerajaan sentiasa dengar keluhan rakyat


Oleh; Esah Abdullah

Al hamdulillah, akhirnya saya dapat geran tanah untuk tapak rumah yang saya impikan selama ini, kata seorang ibu tunggal sembilan anak Puan Zaharah Abu Bakar, 54, dari Kampung Banggol Nyiur, Bukit Guntong, Tepoh.

Puan Zaharah
Puan Zaharah yang kehilangan suami tujuh tahun lalu menyara kehidupannya dan anak-anak dengan menoreh getah, melahirkan rasa gembira kerana sudah lama mengidamkan tanah berkenaan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada wakil rakyat dan juga Menteri Besar yang meluluskan permohonan ini,” katanya ketika ditemui di majlis Penyampaian Hak Milik Tanah di Kampung Penempatan Baru Banggol Binjai, Jeram Hulu, Tepoh yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Encik Salleh
Bagi Encik Salleh Ahmad, 60, dari Kampung Jeram Hulu, geran tanah ini sangat bermakna kerana ia bukti kecaknaan kerajaan kepada masyarakat kampung yang memerlukan tapak untuk tinggal lebih selesa bersama ahli keluarga.

“Semua orang seronok bila dapat hak milik tanah termasuk saya yang sudah lama memohon untuk mendapatkan tapak rumah dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat,” katanya.

Puan Zaliha
Puan Zaliha Ab. Rahman,55, dari Kampung Seberang Tepoh turut melahirkan rasa gembira kerana dianugerahkan sebidang tanah seluas 504 meter persegi untuk kegunaan bangunan.

“Saya bersyukur kerana turut disenarai sebagai penerima geran hak milik hari ini dan lebih teruja bila Menteri Besar sendiri yang menyerahkannya kepada kami,” katanya.

Pada majlis berkenaan seramai 164 daripada 253 orang dari Mukim Kuala Nerus, Batu Rakit dan Jeram menerima geran hak milik masing-masing daripada Menteri Besar.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.

 

Gelombang Biru bangkitkan semangat Umno

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Semangat Gelombang Biru yang menyaksikan Umno dan Barisan Nasional (BN) bangkit untuk menumpaskan Pas dan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2004, sekali lagi bakal membuahkan hasil lumayan – kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Jika pada Pilihan Raya Umum 2004, semangat Gelombang Biru membangkitkan semangat jentera Umno berjaya menjatuhkan Kerajaan Pas, ia sekali lagi bakal meniupkan semangat mereka untuk berjuang dan mendapatkan keputusan lebih baik pada PRU13 berbanding PRU12.

Ketua Penerangan Umno negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kesudian Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mlancarkan Gelombang Biru peringkat negeri Terengganu tiga hari lalu menyemarakkan jentera Umno untuk bekerja lebih gigih pada PRU13.

“Kita membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya sejak awal tahun lalu lagi, tetapi ia merupakan proses yang berterusan dengan persedian lebih rapi bermula sejak bebarapa bulan lalu.

 “Pelancaran Gelombang Biru merupakan klimaks persiapan kita dan kini kita menunggu masa saja untuk berjuang habis-habisan bagi mencapai matmalat BN menang besar pada PRU13,” katanya kepada Teganukita.

Sebelum ini, Umno Malaysia meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI)calon-calon Barisan Nasional (BN) menang semua kerusi Parlimen serta 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Umno Terengganu pada PRU13.

“Kita akan bekerja kuat bagi mencapai KPI yang diletakkan oleh Umno Malaysia dan hasrat ini dapat dicapai jika kita mendapat sokongan padu semua pemimpin Umno dan BN sepanjang kempen pilihan raya kali ini,” katanya.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, semua penceramah Umno sudah dibekalkan dengan pelbagai input bagi menjelaskan segala fitnah dan tohmahan buruk pihak pembangkang terhadap Kerajaan dan pemimpin BN.

“Mereka akan melakukan strategi terang dan tentang seperti yang diarahkan oleh pucuk pimpinan pada kempen pilihan raya nanti,” katanya.

 Beliau yakin pelbagai isu mutakhir seperti penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam, serangan pengganas di Lahad Datu dan percanggahan pendapat antara pemimpin Pas dan DAP memihak kepada Umno dan BN.

“Kita akan menggunakan isu-isu ini bagi menarik ahli-ahli dan penyokong Pas yang tidak puas hati dengan parti itu supaya memihak kepada kita dalam pilihan raya ini,” katanya.

 

Pas nyata Parti Ajaran Sesat – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Parti Pas ternyata membawa ajaran sesat kerana guru-guru agama yang berada di dalam parti itu mengajar perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan umat Islam di negara ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pengikut Pas yang mengaji dengan guru-guru agama Pas melakukan perbuatan yang menyebabkan isteri menderhaka kepada suami manakala suami pula mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri.

Manakala anak-anak pula, katanya, menderhaka kepada ibu bapa mereka setelah belajar dengan guru-guru agam yang berada dalam Pas.

“Biasanya tok guru membaca al-Quran kepada anak-anak murid mereka yang boleh dijadikan penawar kepada umat Islam. Tetapi, ia tidak berlaku apabila murid belajar dengan tok guru Pas,” katanya ketika berucap di majlis pengagihan e-Book kepada murid-murid Tahun Empat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong di Sekolah Menengah Kebangsan Seri Payong, petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda.

Menteri Besar berkata, inilah bukti yang jelas betapa Pas membawa ajaran sesat yang membawa kepada masalah perpecahan di kalangan umat Islam di Terengganu dan seluruh negara.

Pada masa yang sama, katanya, pemimpin Pas tidak konsisten dalam perjuangan mereka dan sering menukar pandangan mereka mengenai Islam bagi kepentingan politik dan menjaga hati pemimpin DAP.

“Dulu Pas menggunakan slogan “Membangun Bersama Islam”, kini mereka tukar pula slogan “Islam Untuk Semua” bagi menarik masyarakat bukan Islam berdamping dengan mereka,” ujar beliau.

Seramai 568 murid Tahun Empat di DUN Bukit Payong menerima e-Book masing-masing daripada Menteri Besar petang semalam.


24 March 2013

427 orang sertai Kapas-Marang International Swimathon 2013

Peserta Kapas-Marang International Swimathon 2013 beraksi. - Gambar oleh MOHD YAHYA MUDA
Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 427 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Kapas-Marang International Swimathon 2013 sejauh 6.5 kilometer yang bermula dari Pulau Kapas dan tamat di Pantai Peranginan Kelulut, Marang, hari ini.

Kejohanan yang dianjurkan kerajaan negeri ini telah masuk tahun ke-14 penganjurannya dan telah mendapat penyertaan daripada 22 negara termasuk Slovakia, Estonia, Bosnia Hezegovina, Australia, Austria, Belgium, Britain, Czech Republic, Germany, Hong Kong, Iran, japan, New Zealand, Spain, Singapore, United Kingdom, United States dan Malaysia.

Kapas-Marang International Swimathon 2013 yang meyediakan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM43,900 merupakan salah satu daripada aktiviti teras dalam kalendar pelancongan negeri dan menekankan disiplin pertandingan dengan renangan gaya bebas di mana pemenang bagi setiap kategori di kira berdasarkan catatan masa terpantas peserta sampai ke daratan.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah lelaki / wanita junior (12-19 tahun), lelaki terbuka (20-34), lelaki senior terbuka (35-49), veteran terbuka (50 tahun dan ke atas), wanita terbuka (20 tahun dan ke atas), tertutup lelaki / wanita dan keseluruhan lelaki / wanita.

Seperti ramalan, peserta dari Germany, Benjamin Konschak yang menjuarai kategori lelaki terbuka 20-34 tahun pada kejohanan tahun lalu terus mengekalkan kejuaraan dengan catatan masa 1 jam 25 minit 29 saat mengatasi Jason Hsieh dari Hong Kong yang mencatat masa 1jam 37 minit 52 saat.


Wakil Malaysia dalam sukan Olympik London (tempat ke-16), Heidi Gan menjuarai kategori wanita terbuka 20 tahun ke atas dengan catatan masa 1 jam 25 minit 43 saat mengatasi Irene Chong juga dari Malaysia yang mencatat masa 1 jam 48 minit 15 saat.


Bagi kategori lelaki terbuka 35-49, dimenangi Manfred Mahrie dari Australia dengan catatan masa 1 jam 45 minit 32 saat, veteran terbuka 50 tahun ke atas dimenangi Tao Chee Hoo dari Hong Kong dengan catatan masa 2 jam 13 minit 23 saat.

Sementara bagi kategori lelaki dan wanita junior dimenangi peserta dari Malaysia iaitu Beh Wei Doong dengan catatan masa 1jam 43 minit dan 34 saat dan Chelsea Chong dengan catatan masa 1jam 46 minit 25 saat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, tidak banyak pulau yang boleh dijadikan lokasi untuk acara ini dan Pulau Kapas merupakan salah sebuah pulau terpilih yang terkenal untuk aktiviti bertaraf antarabangsa ini.

"Sejak penganjuran kejohanan ini, setiap tahun ia mendapat sambutan menggalakkan terutamanya penyertaan peserta dari luar negara.

"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, kita akan mengadakan kerjasama dengan kementerian pelancongan untuk menjadikan acara ini lebih besar di mana kerajaan negeri bersedia untuk menambah sebanyak 20 peratus daripada nilai hadiah sekarang untuk tahun hadapan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Kapas-Marang International Swimathon 2013, di Pantai Peranginan Kelulut, hari ini.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat mencapai sasaran empat juta pelancong datang ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013, acara-acara teras dalam kalendar pelancongan negeri akan diteruskan dari semasa ke semasa.