Halaman

26 March 2013

Tiba masanya Marang kembali ke pangkuan BN : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

DATO' SERI HAJI AHMAD SAID
Akhirnya tiba masa yang paling tepat untuk penduduk di Marang mengembalikan semula Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Bukit Payong ke pangkuan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

 “Kehadiran Tan Sri (Muhyiddin Mohd Yassin) ke Marang pada petang ini membawa harapan baru bahawa Marang akan berubah wajah. Marang perlu berubah dan pastikan pada PRU13 Parlimen Marang dan DUN yang kita tewas dikembalikan kepada Barisan Nasional .

“Cukuplah rakyat Marang selama ini menderita dijajah oleh pemimpin Pas yang tidak pernah mengambil kira, mengambil cakna mengenai pembangunan dan juga masalah yang dihadapi rakyat di Marang selama ini,” katanya ketika berucap di Himpunan Rakyat 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu, di Padang Bola Rhu Rendang, Marang, baru-baru ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menyempurnakan majlis pelancaran program itu.

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman dan isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Ahli Parlimen serta Ketua Umno Bahagian seluruh Terengganu.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, semua rakyat di Marang diingatkan bahawa mereka tiada pilihan lain, melainkan mengundi BN pada PRU13 ini bagi memastikan mereka tidak lagi tersilap percaturan dengan memilih parti yang gagal membela kebajikan dan nasib mereka sepanjang diberi mandat untuk menerajui kawasan masing-masing.

 “Saya ingin melihat Marang akan terus membangun dan tidak ketinggalan dalam arus kemodenan berbanding Bahagian dan juga Parlimen lain di seluruh Terengganu.

“Sebab itulah saya seringkali menyebut kepada semua pengundi Marang, termasuk di Rhu Rendang yang diwakili Pegawai Pembangunan DUN, Haji Nik Dir yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk setempatnya, di mana sekarang Kerajaan BN sudah membina 334 unit rumah rakyat di Rhu Rendang dan berjanji sekiranya Rhu Rendang kembali ke pangkuan BN pada PRU13 nanti, 1,000 unit rumah lagi akan dibina tahun depan,” katanya.

Selain itu, tambah beliau lagi, kerajaan kerajaan negeri juga berjanji untuk membina 500 unit rumah rakyat di DUN Bukit Payong, selain membina Sekolah Imtiaz keenam dan Kolej Matrikulasi di Marang sekiranya BN kembali berkuasa di Parlimen dan DUN itu.

Katanya, Kerajaan BN tidak sekadar berjanji sebaliknya akan mengotakan janji berkenaan dan tidak sesekali akan membiarkan rakyat hidup tanpa pembelaan seperti mana yang dilakukan pembangkang sepanjang mentadbir Marang.



Pusat Rehabilitasi 1Malaysia operasi sepenuhnya April

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penduduk DUN terbabit bakal beroperasi sepenuhnya, April ini.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peralatan rawatan seperti alat fisioterapi akan ditempatkan secara berperingkat di pusat yang akan memberi fokus kepada pesakit angin ahmar atau strok.

"Buat permulaan, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang ditugaskan untuk memberi rawatan dan ubat secara percuma kepada penduduk akan ditempatkan di pusat berkenaan mengikut waktu pejabat.

"Bagi pesakit yang kurang berkemampuan, perkhidmatan pengangkutan percuma turut disediakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Sehari Doktor Pakar Bersama Komuniti di Perkarangan Bangunan Penyelaras Umno DUN Seberang Takir, baru- baru ini.

Katanya, ramai penduduk di DUN terbabit terutamanya warga emas yang menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi yang berisiko tinggi untuk mendapat serangan angin ahmar.

"Penubuhan Pusat Rehabilitasi yang bernilai RM350,000 ini merupakan tanggungjawab sosial kepada penduduk di DUN ini khususnya dan merupakan satu jihad dalam memulihkan kesihatan mereka,” katanya.

Tambah beliau, tumpuan awal akan diberikan kepada pesakit berdasarkan rekod yang ada di Klinik Kesihatan Seberang Takir.

 

25 March 2013

Jaringan kerjasama Cybertrooper-media Terengganu kongsi informasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Penerangan Umno Negeri Terengganu berhasrat menjalinkan jaringan kerjasama dengan pengamal media seluruh negeri dalam usaha berkongsi informasi berguna bagi melancarkan fungsi jentera Cybertroopers Umno yang kini sedang giat digerakkan.

Ketuanya, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata peluang bekerjasama dengan semua wartawan serta jurugambar dapat memantapkan peranan cybertroopers menerusi gerakan 24 jam yang diwujudkan Penerangan Umno bagi berdepan dan menangkis serangan musuh politik di dunia siber.

“Satu pasukan dibentuk bagi menjayakan peranan menggerakkan Cybertroopers Umno 24 jam sehari mulai sekarang sebagai sumber maklumat alternatif serta jentera membantu kemenangan parti Barisan Nasional dan Umno.

“Dengan adanya jaringan kerjsama dengan pengamal media di seluruh Terengganu sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi informasi dan isu semasa. Pada masa yang sama kita juga menjaga etika laporan supaya kita tidak memfitnah pihak lawan,” katanya kepada pemberita ketika kunjungan ke Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), hari ini.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Ahmad Razif  yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata, pihaknya akan memastikan jentera Cybertroopers Umno Terengganu hanya melaporkan berita yang tepat berasaskan fakta yang sahih bagi mengelak fitnah kepada pihak lain yang boleh mengundah masalah.

"Umno Terengganu tidak mahu ikut cara pembangkang yang gemar memfitnah sebaliknya menjaga etika dengan berusaha mendapatkan fakta yang tepat melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai sebelum keluarkan sebarang berita,” katanya.



BN buka 343 bilik gerakan

Oleh: Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) Terengganu membuka pusat-pusat daerah mengundi atau Bilik Gerakan BN di seluruh negeri yang melibatkan 343 peti undi sejak awal Februari lalu dan akan berterusan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata gerak kerja jentera BN perlu digerakkan lebih awal supaya mereka dapat bersedia lebih awal dengan mendapat maklumat dan boleh juga menaikkan bendera BN di rumah atau di bilik gerakan asalkan tidak mengganggu orang awam.

 Katanya, semua jentera parti Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

“Pihak kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.

 “Semuanya sudah nampak persefahaman antara barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahu pun negeri,” katanya.

 Menurutnya, BN masih mempunyai ruang yang kukuh untuk mempertahankan negeri Terengganu dalam PRU ke-13 kelak. “Dengan gerak kerja yang kita atur dan sambutan dari akar umbi lebih-lebih lagi dari jentera parti secara keseluruhannya kekuatan UMNO tetap terselah,” katanya.

 

LPP kesan ahli jelas hutang

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu akan perhebatkan gerakan mengesan ahli-ahli yang belum menjelaskan hutang masing-masing yang kini terkumpul lebih RM12 juta.

Pengarah LPP Terengganu, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, hutang yang tertunggak merupakan hutang lama dan baru yang berlarutan sejak enam tahun lalu.

Katanya, langkah pertama yang akan diambil ialah mengadakan perjumpaan dengan penghutang serta menghantar penyata hutang kepada mereka yang terbabit setiap bulan.

“Kita faham terdapat beberapa sebab mereka tidak mampu bayar balik pinjaman termasuk kegagalan projek, ditimpa bencana alam dan juga masalah liat bayar hutang,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, jabatan bersedia memberi khidmat nasihat jika berlaku kegagalan projek tetapi kalau sengaja kes mereka akan dibawa ke jawatankuasa tindakan timbangtara.

Menurutnya, setakat ini terdapat 52 orang telah melalui proses timbangtara dan perbicaraan dijalankan sama seperti kes yang dibawa ke mahkamah.

Katanya, sepanjang tahun lalu JPP telah berjaya membuat kutipan hutang berjumlah RM2 juta dan tahun ini dijangka dapat mengumpul kutipan dalam jumlah lebih banyak.

 

Pembangkang Gadai Agama Kerana Politik Peribadi

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Tindakan pembangkang kebelakangan ini amat dikesali sehingga sanggup mengadaikan agama dan bangsa, sekaligus membuktikan mereka sudah hilang pendoman dan membuat apa sahaja bagi memastikan cita-cita politik tercapai tanpa memikirkan kesan keseluruhan kepada rakyat negara ini.

Sekiranya diamati,apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang adalah sesuatu yang merbahaya dan boleh menimbulkan suasana yang tidak sihat serta mengugat kesejahteraan keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Mengikut cakap-cakap di kedai kopi menyatakan Pas sudah hilang keberanian untuk bercakap kerana lebih utamakan politik dan sanggup pertahankan kenyataan-kenyataan kontroversi sedangkan ianya mendapat kecaman daripada pelbagai termasuk para ulamak dan pihak istana.

Pas dijeratkan oleh PKR dan DAP dan kini mereka terjerat dengan apa yang dikatakan oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat termasuk isu-isu agama.

Sehingga kini Pas masih tidak berani menyatakan pendiriannya kerana takut kehilangan undi dalam misi menuju ke Putrajaya.

Pembangkang lebih mengutamakan cita-cita politik, mereka sebenarnya tidak boleh duduk semeja tetapi terpaksa menutupnya untuk menunjukkan mereka mempunyai persefahaman dalam perjuangan mereka.

Namun dari hari ke hari,perbezaan pendapat serta cara menyelesaikan masalah makin jelas terbongkar, rakyat tahu apa yang berlaku dan perkara ini tidak boleh diselindungi lagi.

Puteri Umno saran pengundi buat pilihan tepat

Oleh: Suriati Ali 

Pergerakan Puteri Umno Terengganu semakin giat mendekati golongan pengundi wanita muda agar mereka membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), selain tidak terpengaruh dengan anasir luar.

 Ketuanya, Puan Nordiana Shafie berkata, dia yakin majoriti besar daripada bilangan 294, 606 pengundi muda wanita di negeri ini, termasuk pengundi baru berumur antara 21 tahun hingga 40 tahun ke bawah memilih Barisan Nasional.

 “Pelbagai usaha dan kempen dilaksanakan, semata-mata mahu mereka sedar bahawa BN membawa pelbagai kebaikan, kebajikan dan melaksanakan janji kepada rakyat dan bukan sekadar hanya menabur janji.

“Antara usaha yang dilakukan termasuk, turun ke setiap peti undi dengan mengadakan program pemeriksaan kesihatan percuma, bantuan cermin mata bagi mereka yang tidak berkemampuam dan pelbagai aktiviti,” katanya .

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Gagasan Aspirasi Wanita Muda, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Puan Nordiana turut memberitahu, Puteri Umno bersama pihak berkaitan tidak jemu mendekati pengundi dengan memesan supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat, termasuk melalui lawan sesawang dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

 Katanya, pendekatan itu dianggap cukup penting, kerana golongan muda adalah pelayar laman sesawang paling tinggi dan dikatakan gemar mendapatkan pelbagai maklumat yang belum tentu kesahihannya.

 “Kita juga bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Masyarakata (APMT) dengan mengadakan sembang-sembang minum petang dalam kelompok kecil di kampung-kampung.

 “Pada masa yang sama bertanya apa kehendak mereka sebab sesetengah golongan muda ini tidak faham terutama kalangan wanita sebab mereka tidak bercampur dan tidak tahu tentang politik semasa,” katanya.

 Beliau yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Wanita Melayyu Muda negeri Terengganu (Wardah) juga yakin golongan wanita muda ini memberikan sokongan penuh kepada pimpinan kerajaan sekarang.

 

Dua projek rumah kedai di Besut dihentikan CIDB

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan bagi dua tapak projek pembinaan rumah kedai di daerah Besut, pada 18 Mac lalu.

Pengarah CIDB Negeri Terengganu, Ahmad Farrin Mokhtar berkata, notis tersebut dikeluarkan berikutan kegagalan kontraktor yang mengendalikan projek berkenaan mengemukakan Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah.

"Notis yang dikeluarkan ini adalah berdasarkan kepada peruntukan sedia ada mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

"Susulan penutupan tersebut, dua laporan polis telah dibuat CIDB Negeri Terengganu bagi melengkapkan prosedur sedia ada," katanya.

Katanya, dalam masa yang sama, kontraktor yang terbabit juga telah diberikan peringatan untuk memohon Perakuan Pendaftaran CIDB mengikut gred berkaitan.

Menurut Ahmad Farrin, notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan itu hanya akan ditarik balik sekiranya kontraktor terbabit memperoleh Perakuan Pendaftaran CIDB.

Jelas beliau, tindakan mahkamah masih akan diambil terhadap kontraktor terbabit kerana menjalankan kerja pembinaan tanpa Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah.

Katanya, kontraktor yang terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 29, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, pelaksanaan sesuatu kerja pembinaan tanpa mempunyai Perakuan Pendaftaran CIDB adalah merupakan satu kesalahan dan tindakan yang diambil adalah untuk memastikan semua kerja pembinaan hanya dilaksanakan oleh kontraktor yang mempunyai Perakuan Pendaftaran CIDB yang sah sahaja.

 

PGM Terengganu Master di Resort World Kijal

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu akan menganjurkan kejohanan golf edisi kelapan ‘PGM Terengganu Masters 2013’ bertempat di lapangan Resort World Kijal (dahulu di kenali sebagai Awana Kijal Golf Beach & Spa Resort), Kemaman.

Kejohanan selama empat hari yang akan bermula 21 Ogos ini melibatkan penyertaan 148 peserta daripada 23 negara.

Sebanyak RM400,000 diperuntukan kerajaan negeri untuk kejohanan tersebut bagi memastikan ia berjalan lancar selain mendapat penajaan daripada jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan korporat.

Majlis pelancaran kejohanan yang bertaraf antarabangsa dan berprestij itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said semasa Pertandingan Golf Pro-Am pada 20 April ini.

Pemenang utama bagi kejohanan ‘PGM Terengganu Masters 2013’ bakal menerima wang tunai RM35,000 di samping piala pusingan dan iringan.

Sasaran penganjuran kejohanan adalah untuk menjadikan sukan golf di Terengganu sebagai salah satu sukan rekreasi yang utama dan mampu menarik peserta dan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Selain mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan terkemuka di negeri ini terutamanya sempena Tahun Melawat Terengganu 2013, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pelancongan, kejohanan tersebut juga di harap dapat menarik minat golongan belia dan remaja menceburi sukan golf.

 

Syukur, kerajaan sentiasa dengar keluhan rakyat


Oleh; Esah Abdullah

Al hamdulillah, akhirnya saya dapat geran tanah untuk tapak rumah yang saya impikan selama ini, kata seorang ibu tunggal sembilan anak Puan Zaharah Abu Bakar, 54, dari Kampung Banggol Nyiur, Bukit Guntong, Tepoh.

Puan Zaharah
Puan Zaharah yang kehilangan suami tujuh tahun lalu menyara kehidupannya dan anak-anak dengan menoreh getah, melahirkan rasa gembira kerana sudah lama mengidamkan tanah berkenaan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada wakil rakyat dan juga Menteri Besar yang meluluskan permohonan ini,” katanya ketika ditemui di majlis Penyampaian Hak Milik Tanah di Kampung Penempatan Baru Banggol Binjai, Jeram Hulu, Tepoh yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Encik Salleh
Bagi Encik Salleh Ahmad, 60, dari Kampung Jeram Hulu, geran tanah ini sangat bermakna kerana ia bukti kecaknaan kerajaan kepada masyarakat kampung yang memerlukan tapak untuk tinggal lebih selesa bersama ahli keluarga.

“Semua orang seronok bila dapat hak milik tanah termasuk saya yang sudah lama memohon untuk mendapatkan tapak rumah dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat,” katanya.

Puan Zaliha
Puan Zaliha Ab. Rahman,55, dari Kampung Seberang Tepoh turut melahirkan rasa gembira kerana dianugerahkan sebidang tanah seluas 504 meter persegi untuk kegunaan bangunan.

“Saya bersyukur kerana turut disenarai sebagai penerima geran hak milik hari ini dan lebih teruja bila Menteri Besar sendiri yang menyerahkannya kepada kami,” katanya.

Pada majlis berkenaan seramai 164 daripada 253 orang dari Mukim Kuala Nerus, Batu Rakit dan Jeram menerima geran hak milik masing-masing daripada Menteri Besar.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.