Halaman

02 May 2013

Jangan percaya janji Pas-MB

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abdul Rahman 

Penduduk negeri ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji-janji manis pemimpin parti pembangkang yang mahu mengambil alih pemerintahan negara ini daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN).



 Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad, berkata berkata apa yang pasti pemimpin parti pembangkang begitu terdesak untuk memerintah negara ini dan mereka terpaksa menabur janji-janji manis untuk memancing undi. “Jika mereka janji untuk meneruskan apa yang sudah dilakukan Kerajaan BN, tidak ada apa-apa yang istimewa yang boleh menambat hati rakyat,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penduduk yang hadir pada Majlis Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri Ke Daerah Dungun, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin itu turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Haji Abdul Razak Ismail; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, calon wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pemimpin pembangkang terpaksa membuat janji-janji yang tidak munasabah untuk memenangi hati rakyat walaupun mereka tahu ia tidak dapat ditunaikan jika sekiranya mereka memerintah negara ini.

 “Saya tahu rakyat kita boleh menilai sendiri keupayaan pihak pembangkang kerana mereka pernah memerintah negeri ini, tetapi tidak mampu mentadbir seperti Kerajaan BN.

 “Rakyat perlu bersyukur dengan limpahan nikmat yang disediakan kerajaan BN dengan mencurahkan pelbagai bantuan bermula dari dalam perut ibu hingga ke liang lahat.

 “Bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini dan berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan rakyat mendapatkan kehidupan yang selesa,” katanya.

Beliau kemudiannya mengajak semua rakyat keluar awal dan beri undi kepada BN dalam pilihan raya pada 5 Mei nanti.

 




PAS takut dengan slogan "Haram Undi Pas"


Oleh: Mohammad Ishak

Pas kawasan Besut semakin terdesak apabila takut dengan kain rentang yang tertulis “Haram Undi Pas” menyebabkan penyokong parti berkenaan bertindak menurunkan kain rentang yang dipasang oleh petugas Barisan Nasional (BN) sekitar daerah itu.

Beberapa kain renntang bertulisan demkian yang dipasang oleh petugas BN terutama di kawasan DUN Jertih dilaporkan dirosak dan diturunkan oleh penyokong Pas. Tema “Haram Undi Pas” yang diputuskan oleh ulamak dari Minda Pondok Kelantan itu dikatakan memberi kesan kepada masyarakat Islam negeri ini apabila diminta tidak mengundi calon Pas pada PRU13.

Berikutan itu, penyokong Pas bertindak menurunkan kain rentang berkenaan kerana memberi tamparan kepada perjuan Pas yang sebelum iuni mengkafirkan ahli Umno.

Calon Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan daripada petugas parti yang mendakwa banyak kain rentang bertuliskan perkataan berkenaan menjadi sasaran penyokong Pas menurunkan tanpa kebenaran BN.

Idris berkata, antara kawasan yang menjadi sasaran ialah di Kampung Lak Lok, Padang Landak dan beberapa kampung berhampiran apabila kain rentang berkenaan didapati hilang selepas beberapa hari di pasang di laluan utama.

Beliau yang juga Ketua Umno BahagianBesut, berkata, Pas kawasan berkenaan juga menerima satu lagi tamparan apabila 60 pemuda Pas Kuala Besut bertindak menutup pos mereka di Kampung Alur Jejawi, malam kelmarin.

Katanya, berikutan rasa kecewa dan tidak puas hari terhadap pemimpin parti pembangkang itu, pemuda Pas kampung terbabit menukar markas mereka dan menamampalkan dengan poster dan gambar calon BN.

“Ini satu perkembangan menarik dan memberi keuntungan kepada BN menjelang hari mengundi Ahad ini,” kataya selepas beramah mesra dengan kakitangan di bahaw agensi Mara di Kampung Raja, hari ini.

Idris berkata, menjelang hari mengundi Pas kini menggunakan pelbagai taktik untuk mengelirukan orang ramai termasuk mengambil gambar pemimpin mereka yang sedang bersalaman dengan pemimpin masyarakat kemudian memutarbelikan fakta terhadap gambar yang diambil itu dengan mendakwa kononya pemimpin terbabit gtermasuk Ketua Cawangan, Pengerusi JKKK atau Masjid yang didakwa mereka sudah menyertai Pas.

Jentera Wanita tidak mengalah dengan cacian

Oleh; Esah Abdullah

Jentera Wanita tidak akan mengalah dengan pelbagai cacian dan fitnah yang dilemparkan pemimpin pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita Barisan Nasional Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, Wanita sudah lali dengan segala cemuhan parti pembangkang dan tidak menghalang ia terus bertemu pengundi disetiap ceruk kampung.

“Kita akan perkemas jentera parti menjelang saat-saat akhir tempoh berkempen dan akan terus mengunjungi pengundi untuk meyakinkan mereka BN merupakan pilihan terbaik,” katanya kepada Teganukita.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu juga mengarahkan jentera wanita di setiap kawasan Parlimen dan DUN mengadakan solat hajat memohon perlindungan Allah s.w.t agar proses pengundian 5 Mei ini berjalan lancar.

 “Setelah kita berusaha berbagai cara, akhirnya kita perlu kembali kepada NYA bagi memohon keberkatan dan perlindungan,” katanya.

Datuk Hajah Fatimah memberi jaminan pengundi wanita merupakan penyokong setia BN dan yakin mendapat kemenangan besar dalam PRU ini.

Beliau kemudiannya menyelar kempen parti pembangkang pada akhir-akhir ini yang semakin ganas seolah mahu mencetuskan keadaan yang tidak tenteram kalangan masyarakat.

 “Beberapa insiden letupan bilik gerakan BN yang berlaku mengambarkan pembangkang sudah hilang arah apabila melihat kebangkitan rakyat menyokong BN,” katanya.

Beliau menyeru semua rakyat jangan ragu-ragu lagi pilih BN parti yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat dan keamanan kepada negara.

 

Sokongan padu RELA kepada BN untuk kekal mandat

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar kiri) mengharapkan sokongan padu anggota Rela pada PRU13 supaya Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan mandat untuk melaksanakan pembangunan dan mengekalkan keharmonian negara.

 "Saya berharap semua anggota Rela di Terengganu tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit, dan saya yakin tidak akan ada seorang pun anggota Rela akan menyokong parti lain selain BN," katanya ketika berucap pada majlis bersama RELA Terengganu yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota RELA seluruh Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd najib Tun Razak; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek; Ketua Pengarah RELA Malaysia, Dato' Mustafa Ibrahim dan Pengarah RELA Terengganu, Tuan Ahmad Abdul Wahab.


Hadir sama, semua calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong; calon BN Ladang, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Dato' Che Mat Jusoh (Batu Burok); Dato' Toh Chin Yaw (Bandar) dan Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf Mempelam).

Dalam pada itu, seramai 197,000 anggota RELA berikrar sebagai tanda sokongan kepada BN sebagai PRU13, Ahad ini.


Pengarah Rela Terengganu, Tuan Ahmad berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang selama ini banyak memberi perhatian kepada soal kebajikan anggota Rela.

 "Semua anggota Rela di seluruh Terengganu sentiasa menyokong usaha kerajaan dan akan memastikan kerajaan BN akan terus diberi mandat untuk terajui negara," katanya.

 

Rakyat Terengganu diminta setia pada BN- PM

 Oleh: Suriati Ali 

 Rakyat Terengganu perlu memastikan negeri ini kekal di bawah Barisan Nasional (BN) sekali gus mampu memberi mandat yang kuat kepada BN di peringkat nasional.

 Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, berkata pakatan pembangkang hanya pakatan politik semata-mata tanpa perjuangan dan ideologi yang selari, malah Hadi (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) sudah mengaku dia bukan setuju dengan Lim Kit Siang atau PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi kerana politik sahaja.

 “Apa yang dilakukan kerajaan BN sarat dengan program kebajikan untuk rakyat dan tidak perlu melaungkan negara berkebajikan seperti Pas.

“Pada masa sama, saya yakin masyarakat luar bandar akan terus memberi sokongan padu kepada BN untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13),” katanya.

Malah, beliau merasakan sokongan itu terus meningkat dengan kesedaran bahawa kesejahteraan hidup yang dikecapi selama ini ditunjangi oleh dasar pemerintahan BN.

 "Saya lihat ada dua sebab mengapa angin perubahan luar bandar menjurus kepada BN. Pertama, mereka yakin kalau mahu masa depan yang lebih baik tidak boleh bergantung kepada pembangkang. "Faktor kedua pula, mereka kecewa dengan pembangkang. Lihat sahaja apa sudah jadi dengan Kelantan yang diperintah pembangkang selama 22 tahun, Kedah dan Selangor lima tahun," katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 penduduk yang hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012, di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

 Tetamu kehormat lain, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Apdal; Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ibrahim Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, calon wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

 Dato’ Seri Mohd Najib turut menegaskan aku janji BN merupakan satu perjanjian dengan ikatan kepada Allah dan rakyat yang jika gagal dilaksanakan, pemimpin perlu menanggungnya kelak.

"Memang berat kita sebut aku janji kerana sebagai seorang Islam, jika tidak tunaikan janji, kita berdosa tetapi saya tetap mahu guna 'aku janji' berbanding manifesto kerana tindakan pembangkang yang mendakwa manifesto bukan satu janji.

"Ini adalah amanah, jadi, saya sebagai pemimpin berani angkat manifesto sebagai janji kerana kita yakin kita boleh buat," ujarnya.

 

Penduduk teruja masjid baru bakal dilengkapi penyaman udara


Oleh: Noraini Jusoh

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan kerajaan negeri akan memberi peruntukan tambahan untuk memasang penyaman udara bagi projek pembinaan masjid baru kampung Kebor Air di mana kerja-kerja tapak telah bermula 1 April lalu.

Pengumuman tersebut nyata mengembirakan penduduk tempatan yang hadir pada majlis perjumpaan Menteri Besar dengan penduduk Peti Undi Kampung Kebor Air, Kampung Banggol Peradong dan Kampung Kebor Besar di Kampung Kebor Air sempena program lawatan sehari beliau ke Parlimen Kuala Nerus, baru-baru ini.

"Kita perlu menyemarakkan masjid sebaik mungkin dan alhamdulillah setakat ini masjid-masjid yang dibina kerajaan Barisan Nasional (BN) tiada satu pun dipenuhi oleh bendera parti.

"Masjid adalah tempat beribadah dan bukannya tempat berpolitik seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak peka dengan sensitiviti umat Islam,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut, baru-baru ini.

Sementara itu, Imam Masjid kampung Kebor Air, Ustaz Awi Salleh, 49, ketika ditemui menyifatkan pengumuman pemimpin pertama negeri itu sebagai hadiah berharga kepada penduduk setempat.

Katanya, beliau mewakili penduduk kampung Kebor Air mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang telah meluluskan penggantian masjid lama kampung Kebor Air yang berusia 87 tahun (sejak 1926) dengan masjid baru.

"Penduduk kampung berasa sangat teruja kerana Menteri Besar telah menambah peruntukan masjid ini dari RM4.5 juta kepada RM8 juta.

"Di samping itu, beliau juga turut mengumumkan dari segi kemudahan dalam masjid penyaman udara akan dipasang pada masjid baru yang dijangka siap 3 Ogos 2014 di tanah seluas tiga ekar,” jelasnya.

Katanya, apabila siapnya masjid baru itu nanti, dianggarkan dapat menampung 1000 jemaah pada satu-satu masa berbanding masjid lama yang hanya memuatkan 600 jemaah.

Justeru, penduduk Kampung Kebor Air diharap memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang memerintah sekarang bagi memastikan kejayaan dan kelangsungan kepimpinan yang sedia ada memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

 

Kerajaan BN tidak tolak Islam dalam pentadbiran

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menolak Islam dalam pentadbiran negara, malah semangat kebangsaan Umno adalah berteraskan Islam.

 "Kebangsaan kita bukan assabiyah. Makna assabiyah itu ialah bila kita berpakat melakukan kerja-kerja yang batil, maknanya berpakat antara satu puak untuk menindas atau menzalimi puak lain, itu assabiyah," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 6,000 hadirin di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Mengabang Telipot di Kuala Terengganu, petang semalam.

 Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal dan beberapa calon Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Dato’ Seri Mohd Najib yang juga Presiden Umno, sebelum itu mempersoal kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa sembahyang orang Umno tidak mendapat pahala kerana menolak Islam dan berjuang atas semangat kebangsaan.

"Saya nak tanya Nik Aziz, pahala dosa itu kuasa Mursyidul Am atau kuasa Allah? "Saya percaya ini bukan bidang kuasa manusia, bukan kuasa Mursyidul Am, malah Nabi, Rasul pun tak berani...ini kuasa Allah, itupun dia nak ambil...ini semua kerana politik," katanya.

 Nik Aziz baru-baru ini menggunakan statusnya untuk mengeluarkan fatwa bahawa perjuangan Umno bersandarkan assabiyah atau perkauman.

Menteri Besar Kelantan itu mendakwa kerana menganut fahaman ini, maka Umno telah menolak Allah.

Menjelas lanjut isu itu, Najib berkata perjuangan kebangsaan Umno telah membebaskan Malaysia daripada dijajah dan dizalimi oleh British. Umno hari ini berjuang atas dasar "maqasid syariah", dan ia diakui ulama antarabangsa sebagai antara negara terbaik daripada aspek pematuhan konsep tersebut, katanya.

 "Apabila dikatakan kita patuh pada maqasid syariah, maknanya kita mempertahankan agama, mempertahankan kalimah Allah.

 "Jadi siapa yang cakap berdolak dalih sekarang...ini semua pasal politik, nak cari undi," tempelak Najib.

PM bawa ole-ole untuk Mengabang Telipot

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, membawa ‘ole-ole’ kepada penduduk Kampung Mengabang Telipot, sebagai mengenang kedatangan arwah bapa beliau ke kampung tersebut, kira-kira 42 tahun lalu.



 “Saya rasa terhormat dapat mengulangi apa yang telah dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (datang ke Kampung Mengabang Telipot).

 “Jika saya datang ke sini tak bawa buah tangan rasa tidak sedap pula. Jadi saya hadiahkan sebuah masjid baru di kampung ini. Kos pembinaan masjid itu akan dibincangkan kemudian,” katanya ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang berhampiran Masjid Mengabang Telipot, petang semalam.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pembesar negeri.

 Allahyarham Tun Abdul Razak sewaktu menjadi pemimpin nombor satu negara telah datang ke Kampung Mengabang Telipot pada tahun 1971.

Perdana Menteri menaruh keyakinan penduduk di kawasan itu serta di Parlimen Kuala Nerus akan memberi sokongan tidak berbelah-bagi kepada BN pada pilihan raya umum ini.

 “Saya tidak khuatir rakyat tidak boleh buat penilaian di segi siapa yang lebih mampu memerintah negara antara BN dan PR (Pakatan Rakyat),” ujar beliau.

Beliau berkata, rakyat juga bijak menilai siapa yang menepati janji dan pihak mana yang gemar menabur janji-janji kosong.



01 May 2013

RELA lalui proses transformasi bawah Kerajaan BN

Perdana Menteri disambut kira-kira 5,000 anggota RELA sebaik tiba di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam untuk Majlis Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu Bersama RELA, petang ini.
Oleh: Aida Abd Rahman 

Ikatan Relawan Rakyat (RELA) sebagai organisasi kini melalui proses transformasi hebat menjadi institusi yang sudah meningkat mendadak keanggotaan sehingga 2.86 juta berbanding hanya 540,000 empat tahun lalu.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata menyedari peranan RELA amat penting dalam menjaga keselamatan awam, banyak transformasi dilaksanakan dalam pasukan keselamatan itu sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009 sehingga berjaya menarik penyertaan tambahan  anggota sebanyak 500 peratus.


“Manakala transformasi kedua, dari segi peranan RELA, skop yang lebih luas dan hari ini apabila semua sudut dan aktiviti di negara ini sama ada program rasmi kerajaan mahupun tugasan menjaga keselamatan, hatta dari aspek kemasyarakatan, nama RELA tidak asing lagi kepada rakyat negara ini.

“Yang ketiga, banyak organisasi dan badan kerajaan tetapi apa yang saya lihat semangat setiakawan ang ada dalam RELA sebagaimana bukti dalam dewan ini, meremang bulu roma saya dengan semangat anggota RELA yang hadir,” katanya ketika berucap pada majlis bersama RELA Terengganu yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota RELA seluruh Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek; Ketua Pengarah RELA Malaysia, Dato' Mustafa Ibrahim dan Pengarah RELA Terengganu, Ahmad Abdul Wahab.

Hadir sama, semua calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong; calon BN Ladang, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Dato' Che Mat Jusoh (Batu Burok); Dato' Toh Chin Yaw (Bandar) dan Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf mempelam).

Dato’ Sri Mohd Najib berkata, transformasi keempat adalah peranan RELA yang kini diperkasakan lagi  sebagai benteng kuat yang mendukung kerajaan pimpinan BN.

Selain itu, Perdana Menteri berkata soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak seharusnya dipandang remeh dan dicemuh walaupun negara bebas daripada ancaman musuh sejak negara mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata tanpa keselamatan dan keamanan Malaysia tidak akan dapat mencapai kemajuan dan melaksanakan segala dasar pembangunan untuk manfaat rakyat.

"Soal keselamatan, kedaulatan negara amat penting dan menjadi  ibu kepada segalanya, kerana tanpa keselamatan segalanya tidak mungkin dapat dilaksanakan,"katanya.

Beliau berkata, insiden Lahad Datu dan Semporna Sabah membuktikan Kerajaan BN tidak pernah memandang remeh soal keselamatan negara walaupun ada pihak yang cuba menafikan usaha pasukan keselamatan untuk mempertahankan negara daripada serangan musuh.

Menurutnya, pihak terbabit bukan sahaja tidak menyokong usaha anggota keselamatan yang berkorban nyawa demi negara, malah pemimpin pembangkang juga dengan sewenang-wenangnya melahirkan kenyataan yang menjatuhkan maruah serta imej anggota keselamatan termasuk mendakwa apa yang berlaku itu sebagai satu sandiwara BN.

 “Mereka sepatutnya berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan kita, sebaliknya ada pemimpin parti PKR yang mendakwa itu sebagai satu sandiwara. Masakan sandiwara sehinggakan 10 anggota keselamatan kita telah mati dalam pertempuran.

“Ada juga pemimpin Pas yang mempertkaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan bahawa mereka mati syahid akhirat, ada pula (Pas) mengatakan sebaliknya mereka mati syahid dunia,” katanya.

Beliau berkata sampai hari ini pihak pakatan rakyat juga gagal untuk menjelaskan kepada rakyat apa agenda di sebalik pertemuan empat mata antara pemimpin utama pembangkang dengan pemimpin di Selatan Filipina.

"Sampai hari ini belum ada apa-apa kenyataan yang dijelaskan kepada rakyat Malaysia. Kita sebagai rakyat Malaysia wajib tahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu," katanya.


RELA sokong Kerajaan BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Anggota RELA menyambut baik dan berjanji terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah melaksanakan pelbagai transformasi bagi memperkasakan peranan pasukan keselamatan itu sejak empat tahun lalu.

Seorang anggota RELA dari Marang, Mohd Fahmie Mohd Yasin, 20, berkata dia berbangga dengan usaha kerajaan yang tidak meminggirkan peranan RELA yang sentiasa bersedia berkhidmat tanpa mengira masa dan ketika.

“Saya amat berminat melakukan kerja sukarelawan dan RELA menjadi platform terbaik untuk melaksanakan tugas itu, apatah lagi kerajaan menyediakan pelbagai insentif yang menambahkan semangat saya menyertai pasukan itu,” katanya.

Seorang lagi anggota RELA dari Kemaman, Mohamad Ismail, 36, turut menyokong penuh pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan lagi mutu dan prestasi perkhidmatan RELA di dalam masyarakat.

“Saya menyokong 250 peratus apa yang sudah dilaksanakan kerajaan hari ini. Inilah bukti pemimpin yang sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan rakyat serta pasukan keselamatan negara.

 “Komitmen kerajaan yang amat tinggi haruslah dibalas dengan perkhidmatan yang terbaik dan dipandang tinggi oleh seluruh masyarakat,”katanya.

Sementara seorang anggota dari Pusat Latihan RELA Melaka, Nur Izwana Salamun, 28, juga mendukung hasrat kerajaan untuk melihat pasukan RELA lebih relevan dan sama penting dengan anggota keselamaan yang lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis.

“Walaupun hanya berkhidmat dalam pasukan pancaragam dan bukan bertugas luar seperti rakan RELA yang lain, sebagai anggota sukarelawan, saya tetap menyanjung tinggi setiap insentif dan galakan yang disediakan kerajaan.

 “Malah, jika perlu berkhidmat di mana sahaja, saya dan rakan sepasukan bersedia demi menzahirkan taat setia dan komitmen kepada kerajaan yang sudah banyak berjasa kepada kami semua anggota RELA,” katanya.