Halaman

16 May 2013

Wanita himpun 400 ahli buat solat hajat, baca yasin

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu telah mengadakan solat hajat, baca yasin dan tazkirah sempena ulang tahun ke 67 tahun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang menjadi teras kepada pemerintahan negara sejak merdeka.



Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata , majlis yang berlangsung di Masjid Haji Muda, Binjai Rendah, Marang dihadiri lebih 400 ahli pergerakan itu dari seluruh negeri.

“Wanita yang mewakili sebahagian besar penduduk di negara ini melahirkan rasa syukur kerana parti keramat orang Melayu itu terus mendapat mandat rakyat menerajui pemerintahan di negara ini,” katanya.

Tambahnya, Umno kekal tonggak Barisan Nasional (BN) apabila menjadi penyumbang terbesar kerusi Parlimen kepada parti gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.

Katanya, Umno menyumbang 88 daripada 133 kerusi yang dimenangi BN di mana Umno bertanding 120 kerusi pada pilihan raya umum lalu.

“Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding PRU12 apabila parti tersebut memenangi 79 kerusi Parlimen daripada 117 yang ditandingi.

 

UMT sedang melalui transformasi

Oleh: Noraini Jusoh

Sejak akhir tahun lalu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menjalankan transformasi ‘governance’ (tadbir urus) bertujuan untuk menambah keberkesanan dan juga kualiti urus tadbir di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, dari awal tahun sehingga sekarang ini, pihaknya sedang memperkemaskan program-program akademik dengan menilai semula program yang sedia ada untuk memastikan ia masih lagi relevan dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, selain bakal memperkenalkan program akademik yang khas untuk peringkat antarabangsa.

"Kita juga baru memulakan satu lagi transformasi penyelidikan dan inovasi di mana kita ingin mengumpulkan penyelidik di dalam kumpulan yang terfokus supaya hasil penyelidikan mereka mempunyai nilai yang tinggi dan boleh ditonjolkan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

"UMT sebenarnya dalam proses permulaan kepada transformasi dan sedikit masa lagi kita akan laksanakan transformasi terhadap pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Anugerah Tahunan UMT 2013 di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, malam semalam.


Tambah beliau, transformasi pelajar ini penting kerana sepanjang pengajian pelajar seharusnya belajar pelbagai ilmu dan bukan hanya fokus kepada pembelajaran secara formal di dalam kelas sahaja tetapi perlu belajar perkara-perkara lain yang boleh mematangkan mereka apabila menamatkan pengajian.

"Antara inisiatif yang akan kita laksanakan termasuk konsep kolej sebagai tempat pembelajaran kedua di mana setiap kolej akan ada felo-felo seperti di fakulti dan kursus-kursus insaniah akan diperkenalkan terutama kecekapan dalam bahasa inggeris dan juga komunikasi.

"Selain itu, bagi memberi nilai tambah kepada pelajar antara inisiatif lain yang akan kita laksanakan ialah mewujudkan mahasiswa yang mempunyai minda keusahawanan,” ujarnya.

Jelas beliau, tahun ini merupakan tahun menggerakkan transformasi dan tahun depan pihak universiti akan memantau keberkesanannya.

 

15 May 2013

Helicopter Ride tarikan utama di Festival Kenyir 2013

Dato' Mohd Jidin ketika mengadakan sidang akhbar
sempena Penganjuran Festival Kenyir 2013 di
Hotel Prinzpark. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Aida Abd Rahman

Kemudahan `Helicopter Ride’ untuk meninjau keindahan panorama Tasik Kenyir melalui ruang udara bakal menjadi tarikan utama pengunjung sempena penganjuran Festival Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang berlangsung lima hari bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, perkhidmatan pengangkutan udara sepanjang tiga hari hanya dikenakan kadar caj RM50 setiap penumpang untuk tempoh masa 10 minit, berbanding harga sebenar RM150.


“Helicopter Ride yang dibawa khusus untuk festival itu antara acara baru yang mampu menarik perhatian pengunjung kerana penumpang berpeluang menerokai keindahan alam semulajadi sekeliling Tasik Kenyir dari udara.

“Pada masa yang sama, selain helikopter yang dilengkapi dua enjin dengan enam tempat duduk termasuk juruterbang, acara lain seperti persembahan pentas konsert `Masihkah Kau Ingat’ anjuran bersama Radio Klasik dan Nasional FM yang menampilkan artis-artis terkenal seperti Najwa latif, Azlan Typewriter dan Saleem,” katanya di sidang akhbar sempena Penganjuran Festival Kenyir 2013, di Hotel Prinzpark, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Tuan Haji Wan Mat Amin Wan Daud dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Dato’ Mohd Jidin berkata, seramai 35,000 pengunjung dijangka akan ke Tasik Kenyir sepanjang festival itu sekaligus mampu mencapai sasaran 450,000 pelancong ke tasik buatan manusia itu sepanjang tahun ini.


Katanya, pengunjung festival juga berpeluang mendapat maklumat berguna dari pameran oleh agensi dan jabatan berkaitan, selain pelbagai acara menarik yang lain seperti Karnival Upin Ipin, pertunjukan luncur udara, demostrasi bot kawalan jauh, paint ball, pameran kereta klasik dan auto show, sukan rakyat, pertandingan bot berhias serta memancing pinggir tasik.

Selain itu, Forum Perdana bertajuk `Melancong itu ibadah’ juga akan diadakan di Padang Astaka, Kuala Berang, pada jam 8.30 malam esok (16 Mei).

“Festival Kenyir yang dianjurkan kali kedua oleh Ketengah dengan kerjasama kerajaan negeri ini sebagai satu usaha mempromosikan negeri sempena TMT, khususnya Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang memiliki kemudahan dan keistimewaan tersendiri seperti keindahan alam semulajadinya yang mampu memukau pelancong dalam dan luar negara.

"Penganjuran festival ini juga bertujuan untuk memberi maklumat awal kepada pelancong tentang produk pelancongan baru antaranya Kenyir Island Hopping (KIH) dan cadangan Pulau Bebas Cukai yang dijangka beroperasi pada Ogos 2014,” katanya.

 

Terengganu akan laksana Aku Janji

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan meneruskan Aku Janji atau Manifesto Barisan Nasional (BN) bersandarkan agenda `Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran’ selepas diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata apa yang dijanjikan tetap dilaksanakan walaupun terpaksa menerima hakikat banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kalah.

 “Kita tidak mahu menjadi seperti pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak dilaksanakan walaupun pernah diberi mandat pada 1999 hingga 2004 lalu,” katanya.

 Menurutnya, segala pembangunan yang dirancang berteraskan kehendak rakyat, begitu juga berkaitan pentadbiran, apa yang dilaksankan itu semata-mata ingin memberi yang terbaik kepada rakyat.

“Apa yang dirancang lima tahun lalu, sebahagiannya kita sudah laksanakan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, sama ada berkaitan pentadbiran dan pembangunan,".

“Kita ingin melihat Terengganu terus membangun dan maju menjelang 2020, oleh itu, kita perlu bermula daripada sekarang secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Katanya, peruntukan RM1 bilion sudah dibelanjakan walaupun kita tidak masukkan keperluan dan janji itu dalam Manifesto BN 2008, tetapi kita sudah berjaya menyiapkan 9,542 unit Rumah Mampu Milik atau Rumah Kos rendah.

“Langkah itu, memgambarkan kerajaan negeri cakna kepada rakyat di mana seboleh-bolehnya mahu meilhat rakyat Terengganu memiliki kediaman atau lot tanah.

“Bagi mencapai hasrat itu, pihak kami sudah meluluskan 20,00 lot tapak rumah dan tapak pertanian kepada rakyat dalam tempoh lima tahun Bilangan itu, termasuk lebih 12,000 lot tapak pertanian dan 8,000 lot pula untuk tapak ruma,” katanya.

 Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan agenda memperbanyakkan perumahan untuk rakyat, dengan membinan 10,000 unit perumahan lagi kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada masa sama, pihak berkaitan turut berusaha menyelesaikan masalah tanah haram dengan menambahkan tempoh pajakan daripada 30 tahun ke 60 tahun .

“Program lain, termasuk berkaitan perbandaran, kita akan teruskan di mana dalam tempoh terdekat akan menyiapkan Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu setinggi 30 tingkat.

“Kerja-kerja membangunkan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sedang rancak berjalan selain meneruskan perancangan melebarkan jalan raya kepada empat lorong tanpa mengenakan kadar tol dari Kemaman ke Kuala Terengganu secara berperingkat-peringkat,” katanya.

 

UniSZA raih 10 pingat dalam ITEX

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meraih sepuluh pingat melalui 10 produk penyelidikan pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-24 (ITEX 2013) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Mei lalu.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA, Prof Dr Amran Ahmed berkata, 10 pingat yang dimenangi ialah masing-masing lima pingat emas dan lima pingat perak

“Kita menghantar 10 produk hasil kajian penyelidik terdiri daripada pensyarah-pensyarah UniSZA daripada pelbagai fakulti dan berjaya meraih kemenangan ke atas semua produk yang dipamerkan .

``Penyertaan ini merupakan kali kedua di mana tahun lalu UniSZA hanya menghantar empat produk dan berjaya meraih tiga perak dan satu gangsa,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pameran itu juga UniSZA turut memenangi `Special Award’ iaitu `Ram Rais Award’ bagi kategori `Best Invention In Information & Communication Technology (ICT) iaitu produk 'Exgenoba System' ciptaan Azwa Abdul Aziz, Koh Chu Sien, Norlina Udin @ Kamaruddin, Ahmad Nazari Mohd Rose, Irma Shayana Samaden, Julaily Aida Jusoh dan Wan Mohd Rizhan Wan Idris.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penyelidik UniSZA yang memenangi anugerah cukup membanggakan dan sekaligus mampu mengharumkan nama universiti tersebut.

``Adalah menjadi hasrat universiti untuk meliberalisasi keupayaan pensyarah memberi satu motivasi dan tarikan kepada mereka untuk membawa produk yang dihasilkan ke dalam pasaran,’’ ujarnya

UMT iktiraf kecemerlangan dan jasa kakitangan

Oleh: Noraini Jusoh

Sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada kakitangan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pejabat Pendaftarnya telah mengadakan Majlis Anugerah Tahunan 2013 bertempat di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, malam tadi.
Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, majlis tersebut merupakan malam kemuncak kepada kakitangan sokongan dan ahli akademik UMT kerana diraikan dalam majlis penyampaian anugerah kecemerlangan perkhidmatan sebagai menghargai jasa mereka sepanjang tahun lalu.

"Bagi saya, majlis sebegini sangat bermakna kerana pihak universiti sememangnya menghargai jasa dan sumbangan setiap kakitangan.

"Terdapat dua majlis anugerah yang berlainan bagi menghargai jasa kakitangan di universiti ini iaitu majlis sebegini sebagai menghargai perkhidmatan kakitangan dalam pentadbiran, pengurusan dan tugas-tugas harian dan kemungkinan dalam tempoh dua bulan akan datang menyusul pula malam anugerah untuk meraikan ahli akademik yang telah membuat sumbangan keilmuan dalam bentuk penyelidikan dan penerbitan,” ujarnya pada sidang media selepas selesai majlis tersebut.

Katanya, dua perkara penting iaitu kecemerlangan dan nilai bersama perlu diterapkan dalam diri setiap kakitangan universiti.

"Kecemerlangan adalah penilaian orang kepada kita dan tahap kecemerlangan itu berbeza-beza dan saya berharap semua kakitangan UMT dapat menanamkan semangat dalam diri masing-masing bahawa kecemerlangan itu perlu dikejar kerana ia susah untuk capai.

"Selain itu, untuk mengukuhkan sesuatu institusi nilai bersama sangat penting kerana sekiranya kita tidak mengenali nilai bersama, nilai yang disokong oleh semua, nilai yang kita semua persetujui maka sebuah universiti itu tidak boleh maju,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis tersebut sebanyak empat kategori anugerah telah diberikan kepada kakitangan yang telah mengharumkan nama UMT dan telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada universti ini  termasuk 125 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Naib Canselor (5), Anugerah Setia Bakti (202) dan Anugerah Sukan (72) dalam bentuk wang tunai dan sijil.

 

Kakitangan Mara perlu prihatian terhadap masalah rakyat


Idris mengecat tiang sebuah premis MARA tanda kenangan  bersama kakitangan MARA Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Kakitangan di bawah agensi Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) dinasihatkan sentiasa peka dan sensitif terhadap orang ramai yang sering berurusan dengan agensi berkenaan.

Pengerusi MARA, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, sebagai agensi yang meenyediakan perkhidmatan untuk rakyat segala masalah yang dibangkitkan mereka ketika berurusan dengan agensi itu hendaklah diambil tindakan segera.

Katanya, MARA yang ditubuhkan kerajaan untuk membantu Bumiputera terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan menjadi harapan oleh orang ramai yang memerlukan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh MARA.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, sebagai agensi yang berpaksi untuk memajukan golongan Bumiputera, MARA mempunyai banyak pilihan jika rakyat terutama usahawan dapat memahami fungsi dan tugas agensi itu.

“Kakitangan Mara sebenernya sudah dilatih dengan pelbagai kemahiran bagi mwwujudkan suasana bekerja yang sihat, cergas dan dinamik,” katanya selepas menghadiri majlis bersama kakitangan agensi MARA Daerah Besut di Kampung Raja, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan BN sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan menerusi pelbagai agensi yang ditubuhkan diharap dapat menyalurkan maklumat dan kerjaya untuk masyarakat.

Idris yakin di bawah pentadbiran dan mandat baru kerajaan Barisan Nasional Mara akan diberi nafas baru untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan dan pendidikan berteraskan perkembangan semasa dan tranformasi kerajaan.

14 May 2013

Cabaran tiga wakil rakyat Hulu Terengganu jadikan Terengganu maju 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Kepercayaan pucuk pimpinan memilih tiga wakil rakyat dari Hulu Terengganu menerajui barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) merupakan satu penghargaan dan cabaran kepada wakil rakyat dari parlimen itu untuk bekerja keras memajukan negeri, kata Ketua Bahagian Umno Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang turut dilantik sebagai Exco Perindustrian dan Perdagangan, di Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, baru-baru ini.

Selain Dato’ Tengku Putera, dua lagi ialah Adun Telemong, YB Haji Rozi Mamat (Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia) serta Adun Ajil, YB Ghazali Taib (Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas).

 “Dalam usaha mencapai status negeri maju 2020 tidak lama lagi, apa yang paling utama dan terpenting adalah perlunya kerja berpasukan dan lebih dinamik, selain mendapat nasihat dari pasukan khas yang mungkin dibentuk menerusi gabungan pakar-pakar di bidang tertentu untuk memajukan semua sektor dalam negeri.

 “Ia juga sejajar dengan titah Tuanku Sultan dan harapan YAB Menteri Besar supaya kita mendapat sokongan lebih padu dari semua pihak termasuk dari pakar tertentu, pegawai kerajaan dan juga seluruh rakyat,” katanya.

Secara peribadi, beliau turut memohon pandangan, nasihat dan kerjasama kukuh dari pihak di luar bidang politik bagi memberi sumbangan ke arah menggembleng usaha dengan cepat dan tepat untuk memastikan Terengganu muncul negeri maju pada 2020.

Katanya, selaku Exco yang bertindak sebagai jawatankuasa pemandu sebelum menyerahkan sebarang keputusan kepada kerajaan negeri, pihaknya akan menggabungkan panduan oleh pakar-pakar dan sumber yang terdapat dalam negeri serta gandingan kerjasama erat kerajaan negeri dengan Pusat, di samping pengkhususan kemahiran untuk rakyat dalam setiap pelaksanaan pentadbiran negeri.

Dari aspek portfolio beliau, Dato’ Tengku Putera berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak industri yang mampu menjana peluang pekerjaan sekaligus mengelak penghijrahan anak muda ke luar Terengganu dalam usaha golongan itu mendapat pekerjaan yang sesuai.

 “Dalam pilihan raya umum lepas, ramai pengundi luar dari Besut hingga Kemaman yang bekerja di luar Terengganu. Oleh itu kita perlu mencari pendekatan terbaik untuk menggembleng industri di negeri ini supaya lebih banyak mewujudkan peluang pekerjaan.

“Pada masa yang sama, kita juga harus menambah nilai perdagangan sama ada di bidang pelancongan, barangan dan peruncitan supaya sektor itu aktif dan lebih dinamik yang membolehkan berlakunya pergerakan ekonomi serta menyumbang manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, secara prinsipnya setiap hasrat dan perancangan berkenaan akan diusulkan kepada pucuk pimpinan dan mesyuarat Exco supaya hala tuju dan kehendak berkenaan mampu memberi kesan bagi meningkat taraf hidup, kemajuan ekonomi serta pertumbuhan masyarakat luar bandar.

Dato’ Tengku Putera juga yakin dengan kemudahan infrastruktur yang serba moden dan bertaraf antarabangsa seperti Lebuh Raya Pantai Timur, pelabuhan serta lapangan terbang, selain sumber alam semula jadi dan tenaga manusia yang mencukupi menjadi faktor tarikan lebih ramai pelabur ke negeri ini yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi lebih baik di masa depan.


Pemancar anjur program pencarian harta karun dan memburu musang

Oleh: Noraini Jusoh

Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Terengganu (Pemancar) akan menganjurkan program Mencari Harta Karun ‘Treasure Hunt’ dan Memburu Musang ‘Fox Hunting’ pada 1 Jun depan.

Presidennya, Md Syukri Wan Mohamad Ali berkata, cabaran akan bermula seawal jam 8 pagi di Taman Awam Pantai Batu Buruk dan berakhir kira-kira jam 6 petang di Taman Rekreasi Belukar Bukit.

"Ia berkonsepkan riadah bersama keluarga sambil beramal kerana sepanjang perjalanan program peserta berpeluang menyampaikan sumbangan kepada keluarga miskin.

"Di samping itu, penganjuran program juga bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama rakan Radio Amatur Terengganu, agensi-agensi tempatan dan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pendedahan kepada aktiviti ‘Fox Hunting’ dan Sukan Rakyat akan diadakan selepas acara ‘Treasure Hunt’ berakhir.

"Penyertaan dibuka dari 1 Mei sehingga 25 Mei ini dengan yuran RM50 bagi sebuah kenderaan dan dua helai baju akan diberikan secara percuma.

"Cabaran ini terbuka kepada sesiapa yang berminat dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang rasmi Pemancar,” ujarnya.

Sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus dengan setiausaha program, Ahmad Khairul Anwar Mohd Shah Hillmy di talian 016 6668305 untuk keterangan lanjut.

 

Pameran Kreativiti Tradisional dan Inovasi di Muzium Negeri


Lembaga Muzium Negeri Terengganu menganjurkan Pameran Kreativiti Tradisional dan Inovasi  di Muzium Negeri Terengganu, bermula semalam sehingga 12 Julai ini.

Penolong Kurator Perhubungan dan Pemasaran Muzium Terengganu Mohd Saberi Muda berkata pameran itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai daya cipta tradisional Melayu secara umum.

"Keupayaan mencipta merupakan satu kemahiran paling tinggi pada manusia. Kemahiran ini dapat menjadi bukti intelektual bagi sesuatu tamadun

. "Ciptaan dan inovasi tersebut disesuaikan dengan persekitaran yang dimiliki mana-mana kumpulan masyarakat dan setiap ciptaan tersebut tertakluk kepada sumber dan kesesuaian yang dimiliki," katanya.

Katanya pameran itu diharap dapat membantu masyarakat mengenali lebih mendalam mengenai tamadun orang Melayu khususnya.