Halaman

05 July 2013

MASJID TERAPUNG DI PULAU PERHENTIAN HADIAH ALLAHYARHAM BUAT PENDUDUK

Laporan: Ruslan Rahman, khas dari Pulau Perhentian


Allahyarham Dr.A Rahman Mokhtar melihat betapa perlunya sebuah masjid yang kukuh dan sempurna lagi indah dibina di kampung kela hirannya Pulau Perhentian, sebuah pulau peranginan yang terkenal.   Cadangannya yang dikemukakan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said mendapat persetujuan, lantas pembinaannya bermula sejak tahun 2011 yang lalu di tepi laut Perhentian Kecil, kawasan yang padat dengan penduduk.
 Bagi menjimatkan kawasan tanah, sebahagian masjid itu dibina di dalam laut di tepi pulau itu menjadikan ia bagaikan masjid terapung menambahkan lagi keunikannya.
 Masjid yang bernilai RM13.5 juta memberi makna yang besar kerana sebagai sebuah pulau peranginan ia juga perlu dilengkapi dengan kemudahan beribadat yang selesa selaras dengan hasrat tidak memisahkan pelancongan dengan keperluan beribadat untuk penduduk dan pengunjung yang beragama Islam.
 Masjid ini dilengkapi dengan dewan dan juga beberapa buah kedai di pinggir laut yang jernih itu sesuai dengan hasrat menjadikan rumah Allah itu tumpuan komuniti.
 Namun tidak siapa yang tahu, ia adalah peninggalan yang menjadi kenangan berharga buat penduduk pulau itu terhadap Allahyarham Dr A Rahman.
 Beberapa orang penduduk memberitahu, Allahyarham sempat bersama mereka beberapa hari sebelum pergi buat selamanya ketika penduduk mengadakan jamuan kesyukuran sempena kemenangan BN di PDM Pulau Perhentian dan Dun Kuala Besut.
 Waktu itu katanya, Allahyarham tidak banyak bercakap dan suara agak tidak berapa jelas, walau bagaimanapun masih tetap menjamah nasi dan gulai yang penduduk sediakan.
  Allahyarham adalah anak jati Kampung Pulau Perhentian dan satu satunya anak pulau itu yang berjaya hingga menjadi seorang doktor. Sesungguhnya sebuah masjid yang menjadi hadiah kepada penduduk kampungnya itu mengiringi pemergian Allahyarham, semoga rohnya mendapat rahmat dan perlindungan dari Illahi.




 




Kerjasama UniKL dan Tesdec mampu lahir modal insan berkualiti tinggi

Oleh; Esah Abdullah

Kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kolej Pusat Pembangunanan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) membolehkan UniKL memain peranan aktif dan menjadi institusi pendidikan tinggi utama negara yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi menjelang 2020.

 Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, usahasama murni yang terjalin ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya percaya sokongan padu kerajaan negeri Terengganu serta komitmen tinggi pihak Tesdec dapat membangunkan golongan Bumiputra baru yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan terutama dalam bidang kimpalan dan teknologi penyelenggaraan automotif,” katanya.

“Saya juga berharap akan lebih banyak program usahasama yang boleh dikendalikan di bawah program francise ini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Majlis Menandatangani Memorandom Perjanjian (MoA) antara UniKL dan Tesdec di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib; Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec Haji Che Razali Adis.

Katanya, program Diploma Teknologi Kimpalan dan Diploma Teknologi Penyelenggaraan Automotif menjadi pilihan utama di UniKL pada setiap sesi pengambilan pelajar baru.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua program ini sememangnya menjadi pilihan utama dalam melahirkan graduan berkepakaran tinggi yang mampu memenuhi keperluan tenaga mahir di negara kita,” katanya.

Menurutnya, MoA ini adalah lanjutan kepada Program Francise bagi Diploma Teknologi Kimpalan dan juga pembaharuan perjanjian Diploma Teknologi Penyelenggaraan Automotif dimana program ini merupakan francise kedua UniKL dan Tesdec.

Katanya, Tesdec menawarkan sijil kimpalan arca logam berperisai, kimpalan aluminium dan persijilan petronas di mana program ini dapat memberi manfaat besar kepada negeri dalam menjana kepesatan ekonomi khususnya lepasan graduan.

“Diploma ini amat relevan sekali kerana Terengganu telah sekian lama menjadi hub industri minyak dan gas negara terutama di kawasan perindustrian Kerteh, Paka dan persisiran luar pantai,” katanya.

Terengganu sokong Perlis haram shisha

Oleh: Suriati Ali

Jawatankuasa Fatwa Terengganu menyokong keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

 Mufti Terengganu, Dr. Zulkifly Muda berkata, bagaimanapun ketika ini, pihaknya tidak bercadang untuk mengeluarkan satu fatwa khusus berkenaan pengharaman shisha memandangkan negeri ini telah mengeluarkan fatwa berhubung hukum merokok adalah haram.

 "Sekitar tahun 1970-an, Mufti Terengganu ketika itu, Syed Yusof Ali Az-Zawawi telah mengeluarkan fatwa bernombor 257 yang mana menyatakan hukum merokok haram jika mendatangkan kemudaratan manakala pada tahun 1975 pula Terengganu juga telah mengguna pakai fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan perkara sama.

"Jadi, tidak perlulah Terengganu mengeluarkan satu fatwa yang khusus berkaitan shisha memandangkan apa yang penting adalah shisha itu sendiri berunsurkan sesuatu yang boleh memudaratkan kepada umat Islam jadi hukumnya adalah haram apatah lagi kemudaratannya lebih teruk daripada merokok," katanya .

 Baru-baru ini, Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr. Juanda Jaya mengumumkan Jawatankuasa Fatwa Perlis telah mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

Pengumuman fatwa itu kemudian turut mendapat perhatian apabila kerajaan negeri Perak menimbang kemungkinan untuk mengikuti jejak negeri itu dan Melaka yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga memaklumkan akan membuat keputusan berkenaan isu tersebut selepas kajian secara menyeluruh dengan melibatkan pandangan pakar kesihatan dijalankan yang kini dalam peringkat akhir manakala Jawatankuasa Fatwa Kelantan masih di peringkat mengkaji status shisha.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, sebelum memutuskan sebarang fatwa, kajian terperinci harus dijalankan dan beliau yakin Jawatankuasa Fatwa Perlis telah memutuskan fatwa itu setelah menilai keterangan pakar.

"Kita menyokong keputusan fatwa itu dengan bersyarat iaitu perkara yang diharamkan itu beri kemudaratan kepada pengguna dan ia jelas terangkum dalam unsur yang sama dengan rokok, jadi, kita boleh guna pakai fatwa yang sama dan jelas shisha adalah haram,"katanya.

 

Kerjasama tiga pihak tambah bekalan tabung darah HSNZ

Oleh: Noraini Jusoh

Kesedaran masyarakat di negeri ini khususnya mengenai kepentingan menderma darah masih kurang apabila hanya sebilangan kecil tampil ke hadapan untuk menunaikan tanggungjawab itu.

Menyedari akan hal tersebut, mendorong Malaysia Airports dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Seberang Takir dan Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengadakan Program Derma Darah bertujuan menambah bekalan tabung darah hospital berkenaan.

Pengurus Malaysia Airports, Dr. Ahmad Ramli Mahmud berkata, kurang pendedahan mengenai perkara itu antara punca masyarakat tidak menyedari akan pentingnya menderma untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Masyarakat kita belum terdedah dengan kepentingan menderma terutama derma darah dan organ. Tidak seperti masyarakat Barat yang sudah ditanam dengan kesedaran tersebut sejak kecil sehingga mereka menganggap pendermaan ini sebagai satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

"Justeru, pihak kami mengambil inisiatif ini untuk memberi pendedahan kepada orang awam sekaligus menerapkan satu tanggapan positif terhadap kelebihan dan kepentingan menderma darah," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, bekalan darah semakin berkurangan berikutan penggunaannya yang semakin meningkat terutama untuk kegunaan kes kemalangan, hemophilia, anemia dan thalesemia.

Beliau berharap lebih ramai sukarelawan akan tampil untuk menderma darah sekali gus menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Pegawai Perubatan, Dr. Nurul Nadhihah Adam berkata, kebanyakan sukarelawan yang tampil menderma adalah daripada golongan pelajar universiti yang lebih kesedaran dan pengetahuan mengenai perkara itu.

"Kebanyakan masyarakat berpendapat menderma darah akan menaikkan berat badan dan menjadikan badan kurang sihat.Disebabkan itu, tidak ramai mahu mengambil risiko yang dipercayai bakal memudaratkan mereka.

"Justeru, melalui pembacaan dan pengalaman daripada mereka yang pernah menderma darah amat perlu untuk mengubah pandangan negatif ini," katanya.

Tambah beliau, penderma sukarela yang datang ke hospital pada setiap hari hanya antara 10 hingga 20 orang dan bilangan itu perlu ditingkatkan bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

Program derma darah tahunan yang bermula sejak 2009 itu dijangka akan disertai lebih 100 orang awam pada kali ini.

Selain program derma darah, turut diadakan kempen saringan kesihatan, pameran, dan taklimat mengenai keselamatan dan kesihatan daripada agensi yang terlibat antaranya Unit Kebombaan, Unit Keselamatan, Unit Operasi dan Kejuruteraan Lapangan Terbang serta Pejabat Kesihatan Daerah Marang.

 

Tesdec rangka pelan strategik jangka panjang 2010-2015

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukur  (Pelatih)

 Pusat Perkembangan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) merangka pelan strategik jangka panjang bermula 2010 hingga 2015 sebagai hala tuju institusi kemahiran itu selaras dengan keperluan negeri dan negara amnya.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata pelan strategik tersebut itu menggariskan enam matlamat utama yang menjadi fokus kepada semua warga Tesdec bagi memastikan institusi tersebut terus berkembang dan mampu bersaing di pentas tempatan serta global.

“Tesdec telah menubuhkan Kolej Tesdec bertujuan untuk melahirkan tenaga mahir dan teknologis berkelulusan diploma,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Kepada Lembaga Pengarah Tesdec di Ri-Yaz Heritage Marine Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

YB Mohd Mahdi berkata, setakat ini satu program peringkat sijil dan diploma telah dijalankan di kolej ini iaitu Program Sijil dan Diploma Kejuruteraan Teknologi (Penyelenggaraan Automotif) DET dengan kerjasama UniKL.

Selain itu, beliau berkata Tesdec turut merangka strategi jangka pendek bagi tempoh setahun berdasarkan jangkaan peningkatan pelaburan asing dan domestik tiga sektor utama negeri terutama bioteknologi, minyak dan gas serta perkilangan.

Berasaskan perkara itu, pihaknya merangka beberapa program kemahiran kepada belia lepasan sekolah dan program peningkatan kemahiran berasaskan industri untuk lepasan ijazah dan diploma bagi melahirkan tenaga kerja terlatih selaras dengan perkembangan ekonomi negeri.

 “Bagi program kemahiran kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan golongan pekerja, Tesdec akan memberi tumpuan terhadap tenaga kera di bidang minyak dan gas,” katanya.


04 July 2013

RASUAH BERAS UNTUK PENGUNDI PULAU PERHENTIAN DIKESAN



Oleh: Wartawan Khas PRK
Pembangkang yang sering peralatkan Islam selalu menuduh Umno rasuah kepada pengundi dan kita masih ingat kata-kata pemimpin parti mereka berkata, beri gula kita kacau, beri nasi tanak- yang ditujukan kepada Umno atau BN kononnya merasuah pengundi.
 Rupanya terbukti yang merasuahkan pengundi ialah parti pembangkang berkenaan sendiri.
Ini diberitahu oleh beberapa orang penduduk Pulau Perhentian sendiri tentang kehadiran muslimat  ke kampong mereka, pergi rumah ke rumah memberi beras, gula dan berbagai barangan dapur dan meminta supaya menyokong pembangkang atas nama Islam kononnya dalam pilihan raya kecil tidak lama lagi.
 Seorang pengundi wanita, Zaharah Deraman, 58 tahun memberitahu, muslimat berkenaan datang ke rumahnya meminta supaya menyokong parti pembangkang itu dalam pilihan raya nanti dan memberikan 10 kilo beras kepadanya.
  Pada beg beras itu tertulis Penyayang Islam, suatu lagi perbuatan memperalatkan Islam untuk kepentingan politik.
 Menurut Zaharah yang tinggal di Kampung Pulau Perhentian Kecil,muslimat itu memperkenalkan diri dari Pahang.
 “Orang bagi saya ambillah, soal saya hendak undi mana itu hak saya, walaupun saya angguk je semasa muslimat itu minta saya undi pembangkang,” katanya ketika ditemui.
 Seorang pengundi veteran di pulau itu, Abdul Manan Muda, 80 tahun berkata, "buat apa saya hendak ambil beras sebanyak itu untuk tujuan kempen, lebih baik beri pada orang yang lebih susah dari saya".
 Beliau yang menghuni pulau tersebut sejak tahun 1946 lagi yakin bahawa BN akan tetap menang di pulau itu.
 Perbuatan pembangkang merasuahkan pengundi dengan metarial (kebendaan) seumpama itu ibarat kisah pencuri….dia melaung-laungkan pencuri pencuri!! Supaya orang mengejar orang lain yang dituduh mencuri…rupanya dialah sebenarnya yang mencuri.



MBHA gesa lebih ramai pengusaha hotel berdaftar sebagai ahli

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) menggesa lebih ramai pengusaha hotel bajet di seluruh negeri berdaftar sebagai ahli supaya kepentingan mereka lebih terjamin.

Setiausaha Agungnya, Emmy Suraya Hussein berkata, setakat ini hanya 1800 ahli yang berdaftar daripada kira-kira 6000 buah hotel bajet yang terdapat di seluruh Malaysia dan bagi Negeri Terengganu, lebih kurang 100 buah hotel bajet yang berdaftar dengan MBHA.

"Kita dapati kesedaran pengusaha hotel untuk menjadi ahli masih rendah mungkin disebabkan mereka kurang pendedahan atau tidak faham fungsi persatuan dan keuntungan yang bakal diperolehi sekiranya menjadi ahli persatuan.

"Justeru, menjadi tangungjawab kita untuk memberi pendedahan kepada mereka supaya lebih ramai menjadi ahli dan salah satu cara yang kita buat ialah dengan pergi ke setiap daerah untuk memberi penerangan kepada mereka mengenai kelebihan menjadi ahli persatuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Hi-Tea Sekretariat TMT 2013 bersama Persatuan Hotel Bajet Malaysia, di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Katanya, pihak persatuan juga menyokong kerajaan negeri dalam mempromosikan Negeri Terengganu sempena TMT 2013.

"Kita berhasrat untuk berjumpa dengan ahli-ahli bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi.

"Tujuannya adalah untuk membantu mereka termasuk dalam menaik taraf hotel bajet berkenaan terutamanya dari segi kemudahan prasarana supaya pelancong yang datang ke negeri ini berpuas hati,” katanya.

Katanya, dengan adanya MBHA, kita dapat mengumpulkan maklumat-maklumat berkaitan hotel-hotel bajet ini di bawah satu laman web yang diwujudkan iaitu www.malaysiabudgethotels.com.

"Kepada mereka yang ingin mendapatkan sebarang maklumat berkaitan hotel bajet di seluruh negeri boleh melayari laman web tersebut atau berhubung terus dengan pihak persatuan di talian 03 42528313.

Tambah beliau, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan di Kuala Besut tidak lama lagi, MBHA akan menyalurkan maklumat mengenai hotel-hotel bajet yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan kepada mereka yang memerlukan dengan bantuan ahli-ahli di Negeri Terengganu,” ujarnya.

 

Istana Bukit Chendering diberi gelaran Istana Syarqiyyah

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih) 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan nama baru bagi Kompleks Istana Bukit Chendering, Kuala Terengganu dengan gelaran Istana Syarqiyyah yang memberi maksud `Permata Timur’.

 Nama baru yang mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu diumumkan pada Majlis Pemasyhuran Nama dan Istiadat Menaikkan Bendera di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.



 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan laungan azan sebagai memberkati majlis.



 Dato’ Haji Mazlan kemudiannya menyerahkan bendera kepada Dato’ Seri Haji Ahmad sebagai simbolik pemasyhuran nama baru istana. Selepas itu, Menteri Besar menyerahkan bendera itu untuk dinaikkan dan dikibarkan diringi dengan lagu `Selamat Sultan’

 






Istana Syarqiyyah masih dalam pembinaan

Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih) 

Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Raya Kuala Terengganu masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada Jun tahun depan.



 Pengarah Kerja Raya Terengganu, Dato’ Haji Shafii Mohamad, berkata projek yang dimulakan pada November 2006 itu melibatkan kawasan seluas tiga hektar daripada 42 hektar keseluruhan tapak projek.

 Katanya, skop pembinaan Istana Syarqiyyah membabitkan empat fasa meliputi balai istiadat, istana kediaman, balai Islam, balai nobat, blok pentadbiran, blok pengawal dan blok utiliti.

Kemudahan lain, surau, jalan raya, jambatan dan 480 tempat letak kenderaan.

 “Istana itu masih dalam pembinaan di mana kini sudah berada di fasa ke 4 atau fasa terakhir, sekiranya tiada masalah teknikal, ia dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Fasa empat masih lagi melibatkan tembok penahan, penstabilan cerun, bangunan balai istiadat, bangunan balai islam, kediaman Sultan Terengganu, kerja mekanikal serta elektrikal, kerja hiasan dalaman dan landskap,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

 


BN Terengganu serah PM pilih calon DUN ke Kuala Besut

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mengerakkan seluruh jentera parti untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang kosong setelah penyandangnya Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lalu.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ia lebih meyakinkan apabila Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bertindak selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan dan Ketua UMNO Bahagian Besut Dato’ Seri Idris Jusoh selaku timbalannya.

“Saya yakin kedua-dua pemimpin itu akan meletakkan calon paling sesuai dan berkelayakan serta diterima pengundi untuk bertanding di DUN Kuala Besut nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kolej Tesdec dan UniKL di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, BN Terengganu akan bertindak sebagai jentera yang akan memastikan DUN Kuala Besut kekal di bawah BN dan yakin pengundi di kawasan berkenaan tetap memilih parti memerintah dalam PRK nanti.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai nama calon yang akan bertanding di DUN Kuala Besut Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, ia akan diputuskan oleh presiden parti dan tugas BN Terengganu akan memastikan Kuala Besut kekal di bawah BN.