Halaman

10 August 2013

Penduduk pangsapuri Ladang Gemilang, gembira dapat beraya lebih selesa

Oleh: Suriati Ali

Penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang, Kuala Terengganu bersyukur dan gembira apabila dapat menikmati kehidupan lebih selesa menjelang Aidilfitri nanti, hasil kebijaksanaan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu pengambilan tanah di kawasan itu.

 Berbeza ketika tinggal di kawasan perumahan lama, penduduk terpaksa berhimpit di rumah yang sempit, menumpang di tanah kerajaan atau orang, pengurusan sampah-sarap yang tidak cekap dan tiada kawasan meletak kereta yang sesuai.

 Penghuni pangsapuri itu, Wan Amal Firdaus Wan Muhammad, 26, berkata dia cukup selesa tinggal di pangsapuri itu, kerana banyak kemudahan awam berdekatan, seperti hospital, sekolah dan yang paling penting berada di tengah pusat bandar raya Kuala Terengganu.

“Saya tidak lagi segan untuk menjemput rakan datang beraya, kerana ruang rumah bukan saja luas, malah kawasan persekitaran yang mengadap arah laut itu, bersih dan selamat daripada sebarang jenayah.

 “Apabila mendapat tahu ayah dipilih tinggal di pangsapuri ini, kami adik beradik cukup gembira kerana tempat baru ini ramai kawan dan saudara-mara yang sememangnya mudah untuk minta pertolongan.

“Rumah kami dulu agak sempit, lagi pun ayah, Wan Muhammad Wan Muda, 51 menyewa tanah milik orang, jika ingin besarkan ruang rumah agak sukar kerana tidak mendapat persetujuan,” katanya.

 Wan Amal turut memberitahu, kerajaan membina pangsapuri ini lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil.

 “Jika ada pihak tertentu yang menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.

 Seorang lagi pemilik, Puan Mariani Musa, 52, menyifatkan dia bertuah kerana terpilih tinggal di pangsapuri itu yang sangat selesa berbanding tempat tinggal lama.

 “Sebagai anak jati Kampung Ladang, kita patut bersyukur dan berterima kasih dengan pemberian dan sikap cakna kerajaan negeri yang sememangnya tidak mahu orang Melayu keluar dari kampung asal masing-masing.

 “Jika kita tidak mahu tinggal di pangsapuri ini, lebih ramai lagi yang mahu dan menanti peluang untuk berbuat demikian. terutama di kalangan bangsa lain.

“ Cuba perjelaskan, kawasan mana yang boleh tawarkan harga sewa beli pangsapuri yang selesa dan terletak di tengah-tengah bandar raya seumpama ini, serendah RM300 sebulan, di mana harga sepatutnya yang ditawarkan antara RM600 hingga RM800 sebuah,” katanya.

 

Haram terima zakat, jika tidak layak : Pesuruhjaya JHEAT

Oleh: Aida Abd Rahman

Maidam sentiasa melakukan penapisan dan pemantauan untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja memperolehi wang zakat,” kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Mohd Rozali Saleh.

 “Perlu diingat, kalau ini dapat kita buat kita dapat menyelamatkan orang yang menerima (tanpa mengambil hak orang lain).Sesiapa yang mengambil barang atau wang yang bukan hak mereka, haram bagi mereka, selain berdosa dan tidak selamat hidup di dunia dan juga akhirat.

“Begitu juga orang yang memberi, sekiranya memberi hak dia kepada orang lain, berdosa bukan setakat dosa semata-mata, malah memberi kesan dan menimbulkan masalah lain seperti penyakit, hilang keberkatan dan kita mungkin tidak nampak perkara (masalah) itu akan datang,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai masih terdapat golongan yang bukan dikategorikan miskin,namun masih menerima zakat.

Dato’ Mohd Rozali berkata, apabila membuat dosa, maka perkara-perkara tidak baik akan menimpa kita bukan hanya di akhirat, malah juga di dunia.

Beliau berkata, sekiranya banyak banyak menipu dan gemar melakukan perkara yang Allah s.w.t mungkar pastinya memberi kesan kepada diri dan orang sekeliling di dunia ini, walaupun ketika itu memiliki harta dan kereta mewah.

 “Kita mahu elakkan perkara sedemikian dan hanya orang islam yang benar-benar layak menerima duit (zakat) ini.

“Jjika penerima zakat yang layak menerima duit yang sememangnya hak dia, pastikan akan muncul keberkatan kerana mereka sudah menghidupkan suasana sebenar sebagai glolongan yang harus diberi bantuan sewajarnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah serta sumber yang diterima pakai syarak,” katanya.

Golongan dikategorikan sebagai fakir miskin yang ditetapkan oleh Maidam adalah berdasarkan kadar per kapita RM500 seorang pendapatan bulanan dikira berdasarkan perdapatan suami atau isteri dan dibahagikan kepada semua bilangan ahli isi rumah.

Bermula tahun ini, Maidam memperkenalkan kaedah baru pengagihan wang zakat kepada asnaf fakir dan miskin sempena Ramadhan berjumlah RM300 seorang dan pertambahan RM50 bagi setiap tanggungan tanpa had.

 Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini, RM350 bagi seorang hingga tiga tanggungan dan RM450 jika lebih dari tiga tanggungan.


09 August 2013

8,000 hadir rumah terbuka Aidilfitri Dato’Seri Idris Jusoh


Idris dan isteri (tengah) melambai tangan tanda kemeriahan Aidilfitri

Oleh: Mohammad Ishak 

Hari kedua umat Islam menyambut Aidilfitri tetap meriah dan masing-masing bersemangat untuk hadir majlis rumah terbuka terutama yang dianjurkan oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut.

Majlis bermula jam 8 pagi itu ternyata mendapat sambutan luar biasa daripada warga Besut malah perantau yang masih berhari raya bersama keluarga turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis hari raya pemimpin terbabut.

Kira-kira 8,000 tetamu sebahagian besar penduduk Besut hadir untuk mengenali pemimpin mereka yang hadir termasuk Wakil-Wakil Rakyat Parlimen Besut serta pegawai kanan kerajaan yang diketuai Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB),Ibrahim Mamat dan Ketua Polis Daerah Besut, Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai makanan tradisional dan moden yang boleh diperolehi daripada sepuluh gerai khas yang dibina berkonsepkan restoran.

Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, bersama isteri Toh Puan Sri Kamariah Che Zakaria meluangkan masa menyambut setiap tetamu yang hadir sambil menyampaikan sumbangan raya kepada kanak-kanak.

Idris ketika ditemui berkata, beliau bangga dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap majlis rumah terbuka yang diadakan di dewan berkenaan kerana memberi keselesesaan kepada tetamu dan ahli keluarga masing-masing.

Malah,katanya, ramai juga perantau dari ibu negara yang pulang berhari raya mengambil peluang hadir pada majlis berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Besut berkata, semua wakil rakyat lain di Bahagian Besut masing-masing akan mengadakan rumah terbuka serentak esok (Sabtu) bagi memberi peluang orang ramai hadir berhari raya.

Aulia Cookies pasar biskut tidak bermusim

Oleh; Esah Abdullah 

Bukan biskut bangkit, tidak juga biskut bunga dahlia, tetapi nama sebenarnya biskut bangkit bunga dahlia dengan resepi ciptaan sendiri dan satu-satunya terdapat di negeri Terengganu Darul Iman.



Biskut Bangkit Bunga Dahlia menjadi ‘trademark’ Aulia Cookies melebarkan sayap perniagaannya ke seluruh negara melalui pengedar utama Koperasi Usahawan Bersatu Terengganu Berhad dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa).

Dalam suasana umat Islam membuat persiapan menyambut hari raya, biskut ini menjadi pilihan pelanggan tetap dan orang ramai boleh mendapatkannya melalui pengedar tertentu sahaja.

“Menjelang raya lebih 2,000 bekas biskut bangkit bunga dahlia dan 500 bekas biskut sarang semut berjaya dijual kepada pelanggan di mana setiap bekas diisi 80 biji dengan harga RM25,” kata pemilik Aulia Cookies Puan Fatimah Syahirah Asmadi, 20.

Menggunakan resepi ciptaan ibunya Puan Tahirah Othman, 46, perasa biskut ini memang tidak sama dengan biskut bangkit atau bunga dahlia yang biasa terdapat di pasaran sekarang.

Berkongsi rahsia biskut keluaran Aulia Cookies ini boleh disimpan selama setahun serta tahan pecah walau pun nampak lembut , disebabkan ia melalui proses pembakar yang agak panjang iaitu satu jam setengah dengan suhu sederhana.

Ibu muda kepada bayi perempuan berusia 10 bulan ini bertekad untuk memberi tumpuan kepada penghasilan biskut ini setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditambah pula ditakdirkan bertemu jodoh dengan Ahmad Shafie Muhammad, 24.

“Keseronokan bermula bila ibu beri upah RM3,000 pada musim perayaan tahun lalu dan tahun ini saya
berazam untuk pergi lebih jauh serta berusaha untuk menimba ilmu dengan menyertai kursus pengurusan dan pemasaran,” kata anak sulung daripada tujuh adik beradik ini.


Setakat ini beliau mendapat sokongan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dari segi promosi dan pelekat jenama biskut keluarannya.

Hasil penyertaannya pada program Karnival Radio Ikim yang diadakan di Kuala Terengganu baru-baru ini Aulia Cookies mendapat 10 pengedar termasuk dari Pulau Pinang, Pahang dan juga Angkasa yang akan mempromosikan biskut keluarannya.

Paling mengembirakan katanya, biskutnya tidak bermusim dan permintaan dari pelanggan tidak pernah putus cuma jumlahnya tidak seperti musim perayaan.

Beliau bercadang akan menambah jumlah pembakar kuih untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dari semasa kesemasa.
 

Seramai 203 atlet Sukma terima insentif

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Seramai 203 atlet Sukan Malaysia (Sukma) Ke-16 Kuala Lumpur yang berjaya meraih pingat pada temasya itu menerima insentif kemenangan mereka sempena majlis berbuka puasa meraikan kejayaan atlet Terengganu di Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

YB Haji Rozi Mamat bersama atlet-atlet SUKMA
Insentif RM5000 diberikan kepada yang atlet yang mendapat emas, perak (RM3000) dan gangsa (RM2000) sebagai ganjaran kepada sumbangan dan komitmen mereka menghasilkan pingat untuk Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, walaupun Terengganu tidak dapat mengekalkan kejuaraan seperti tahun-tahun sebelumnya, dengan semangat juang yang ditunjukkan atlet Terengganu, kerajaan negeri tetap mengekalkan insentif berkenaan.

"Sebelum ini, kerajaan negeri ada menjanjikan RM5000 kepada yang mendapat emas, RM3000 (perak) dan RM2000 (gangsa) sebagai insentif kepada mereka sekiranya mendapat johan keseluruhan tetapi walaupun mendapat naib johan, jumlah insentif yang diberi tetap sama.

"Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan terhadap atlet Sukma kerana mahu melihat sukan di Terengganu terus berkembang,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Katanya, semakan dan kajian terperinci terhadap faktor kekalahan atlet kita telah dibuat dan segala persiapan dan latihan bagi menghadapi Sukma Ke-17 di Perlis akan bermula selepas Ramadan ini.

"Saya yakin, dengan bantuan kerajaan negeri dan sokongan semua pihak, Terengganu mampu merampas kembali gelaran juara pada tahun hadapan,” ujarnya.

 

Umno ucap Selamat Hari Raya kepada pengundi PRU-13

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Umno Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengundi di negeri ini yang menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Ketua Penerangan Umno negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka, terutama yang mengundi calon-calon BN sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu pun Parlimen.

 “Umno Terengganu berharap para pengundi akan terus memberi sokongan dan memilih calon-calon BN pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada Teganukita.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan berkata, pihaknya juga terharu dengan sokongan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang memberikan sokongan padu hingga calon BN menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut baru-baru ini.

“Dengan sokongan padu pengundi di kawasan itu, BN bukan saja mengekalkan DUN Kuala Besut, tetapi kita juga meraih majoriti yang lebih besar,” katanya.

Beliau berharap sempena Syawal yang mulia ini penduduk di Terengganu merapatkan silaturahim dan mengetepikan perbezaan politik sesama mereka.

 “Marilah kita sama-sama menyambut hari raya tahun ini dengan penuh rasa syukur dan bermaaf-maafan antara satu sama lain,” katanya.

 

Rumah terbuka bersama pemimpin

Oleh: Suriati Ali

 Tradisi rumah terbuka terus disambut dengan penuh meriah di seluruh negara bagi memberi peluang pemimpin dan rakyat bertemu dalam suasana muhibah sepanjang Syawal ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat Negeri, YB A.Latiff Awang akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka pada 15 Ogos bersamaan 8 Syawal bertempat di Dewan Sivik Binjai Rendah, Marang.

 Tarikh sama, turut dipilih Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Kepenggunaan & Koperasi Negeri, YB Roslee Daud di mana akan mengadakan majlis itu di perkarangan Pejabat Adun Bukit Besi.

Majlis kedua-dua pemimpin yang bermula 10 pagi hingga 3 petang itu, dijangka dihadiri ribuan pengunjung pelbagai lapisan masyarakat. Manakala, Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut pula memilih hari raya kedua, sebagai Majlis Rumah Terbuka.

 Majlis bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang itu akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB),Gong Kemuntong, Besut.

 Turut menjemput orang ramai, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia, Encik Badrol Hisham Zaki.

 Beliau akan mengadakan rumah terbuka pada 15 Ogos di kediamannya, Taman Alamanda, Jalan Pusara, Kuala Terengganu, bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

 

Maidam hanya taja pelajar persendirian di kalangan fakir miskin

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hanya akan memperuntukkan bantuan pelajaran kepada pelajar persendirian dari kalangan keluarga fakir miskin sahaja mulai sesi pengajian 2013/2014 nanti.

Organisasi itu tidak akan menaja pelajar dalam mana-mana bidang pengajian mulai sesi pengajian September ini kerana bantuan pelajaran tidak lagi diberikan di bawah asnaf fisabilillah.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata di peringkat negeri, Maidam akan membantu pelajar yang ingin memasuki mana-mana pusat latihan dengan syarat mereka atau keluarga di kalangan fakir miskin.

 “Sebagai contoh, UiTM Cawangan Dungun pelajar yang terdiri dari keluarga sinf fakir miskin yang menyertai program mengubah Degniti Anak Bangsa diberikan bantuan yuran pengajian yang kesemuanya melebihi RM0.5 juta setahun.

 “Program ini sebagai program Pra-Diploma bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran di peringkat Diploma di mana-mana UiTM,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Mohd Rozali berkata, perubahan dasar itu bagi memberi keadilan kepada semua pelajar berikutan sebelum ini pelajar pintar mendapat biasiswa atau pinjaman dan mereka perlu membayar balik pinjaman mereka, manakala pelajar yang agak kurang cemerlang mereka dibiayai dengan wang zakat (secara percuma) walaupun bukan dari asnaf.

Katanya, Maidam juga akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkasakan institusi dan pendidikan pondok dalam negeri dengan memberikan bantuan kepda pelajar menerusi asnaf fakir miskin, manakala guru dan infrastruktur pondok itu sendiri dari asnaf fisabillah.

 Setakat ini, beliau berkata institusi pondok dilihat tidak diberi perhatian dan Maidam bertanggungjawab bagi melaksanakannya selaras dengan fungsinya.


08 August 2013

Pengunjung menikmati pelbagai juadah di Kediaman Seri Iman

Oleh: Suriati Ali 

Lebih 15 juadah disediakan untuk tetamu di majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza, di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, pagi ini.

 Nasi dagang, nasi minyak, sate, laksa Terengganu, ketupat pulut, rojak kateh, asam gumpal tapai, lemang, dan pelbagai kuih muih termasuk ais krim antara menu wajib yang dihidangkan untuk tetamu pelbagai golongan, termasuk yang tinggal di perantauan.

 Para tetamu kelihatan gembira kerana mereka bukan saja berpeluang menikmati pelbagai hidangan lazat malah dapat bersalaman dan bersua muka dengan pemimpin berjiwa rakyat itu sambil dihiburkan dengan alunan lagu-lagu hari raya yang mengasyikkan.

Menteri Besar bersama isteri dan anak-anak berpakaian sedondon tidak menang tangan melayan para tetamu yang berduyun-duyun mengunjungi kediaman beliau sejak dari pagi hingga petang.

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pembesar negeri, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut hadir bagi memeriahkan majlis rumah terbuka tersebut yang diadakan dari jam 10.30 pagi hingga 3 petang.

 Sebelum itu, Menteri Besar dan isteri engiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

 

Rumah terbuka MB sempena Aidilfitri meriah

Oleh: Noraini Jusoh


Ribuan rakyat mengunjungi rumah terbuka Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Seri Iman kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, hari ini.

Rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri yang berlangsung dalam suasana meriah itu bermula jam 10.30 pagi dengan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat dan berbilang kaum termasuk Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan pesara, pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat biasa.

Terdapat pelbagai juadah disediakan untuk tetamu seperti lemang, ketupat, rendang, nasi dagang, sate, laksa dan sebagainya yang kebanyakannya makanan popular negeri Terengganu.

Seorang pengunjung yang ditemui Teganukita, Nurul Hafizah Zailani, 23, berkata perasaannya sangat gembira kerana dapat beraya bersama keluarga pada tahun ini kerana berpeluang balik beraya di Terengganu.

"Saya sangat gembira kerana dapat balik beraya bersama keluarga pada tahun ini kerana tidak berpeluang meraikan bersama keluarga pada tahun lepas.

"Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, rumah terbuka MB merupakan destinasi pertama kami sekeluarga kunjungi seperti tahun-tahun lepas sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara,” ujar pelajar perubatan di sebuah universiti terkemuka di Dublin itu.

Sementara itu, bagi seorang rakyat Amerika, Britney berkata, kesempatan berkunjung ke rumah Menteri Besar sempena lebaran kali ini memberi pengalaman yang cukup indah kepadanya.

"Saya sangat teruja untuk melihat sambutan Hari Raya Puasa di Malaysia dan kesempatan ini sangat bermakna buat saya kerana dapat merasai keenakan juadah seperti ketupat dan tapai serta mendapat layanan yang begitu istimewa daripada Menteri Besar Terengganu,” ujar pembantu pengajar English Teaching Asistant (ETA) yang mengajar di Johor.

Bagi Azhar Abdullah yang kali kedua mengunjungi rumah terbuka MB berkata, kemeriahan sambutan Aidilfitri sangat dirasai dengan kehadiran pelbagai kaum tidak mengira agama ke majlis berkenaan.

"Saya dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan Aidilfitri di sini kerana kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Melayu, China dan India menunjukkan semangat muhibbah rakyat Terengganu,” ujarnya.