Halaman

15 August 2013

Tradisi ziarah kubur masih diamalkan

Oleh: Suriati Ali 

Tradisi melawat tanah perkuburan saudara-mara terdekat pada `hari raya enam’ atau 8 Syawal setiap tahun terus kekal di kalangan umat Islam di Terengganu.

 Bermula jam 7.30 pagi kebanyakan umat Islam mula keluar rumah untuk mengunjungi kubur saudara mara dengan membawa keluarga masing-masing.

Ada yang tinggal di luar daerah sanggup mengambil cuti semata-mata mahu bersama-sama menziarah kubur saudara terdekat terutama arwah ibu, bapa atau adik beradik.

 Mereka tidak mahu ketinggalan menghidupkan suasana itu bersama mereka yang masih hidup.

Tinjauan di beberapa tanah perkuburan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit dan DUN Tepoh, mendapati ada di antara mereka membawa bekalan makanan seperti nasi minyak, nasi dagang, nasi himpit., ketupat, lemang, tapai dan kuih muih..

 Selepas selesai membaca doa, tahlil , surah Yasin dan tidak ketinggalan membersihkan kubur, mereka yang mengunjunginya bersama-sama berkongsi juadah dan manjamu selera di pondok rehat atau wakaf yang disediakan.

 Puan Shamsiah Ismail, dari Pekan Pahang, 55, berkata dia sanggup datang dari jauh bersama enam ahli keluarga lain ke Tanah Perkuburan Kampung Pagar Ubi, semata-mata mahu menziarah kubur arwah ibu dan bapa.

 “Sekurang-kurangnya apa yang diamalkan ini mampu mengingatkan kita, terutama kepada anak-anak mengenai kejadian dan kebesaran Allah,” katanya.

 Salmiah Awang, 42, hampir setiap tahun dia dan keluarga, tidak ketinggalan menziarahi kubur arwah ayah dan kakak yang sudah lama meninggal dunia. 

“Pendekatan itu mampu menyuburkan ingatan saya dan anak-anak kepada mereka yang sudah tiada,” katanya.

 

14 August 2013

Kejohanan di Perancis sangat mencabar

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukor (pelatih)

Atlet sukan berkuda, Azizatul Asma Abdullah, 17, mempamerkan aksi cemerlang dan membanggakan apabila mendahului rakan sepasukan pada kejohanan FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Perancis, baru-baru ini.

Azizatul yang merupakan atlet kelahiran Terengganu berjaya menduduki tangga ke-18 daripada 98 peserta keseluruhan yang bertanding pada kejohanan tesebut.

Menurut Azizatul, beliau menjalani latihan di Lembah Bidong seawal bulan Disember tahun lalu sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut.

"Pertandingan pada kali ini sangat mencabar, selain diadakan pada bulan puasa kawasan tempat pertandingan juga banyak berbukit serta berpasir dan sangat berbeza dengan tempat sendiri.

"Saya juga menghadapi persaingan sengit terutamanya peserta dari negara Eropah, tetapi Alhamdulillah, saya berjaya meneruskan perlawanan hingga ke garisan penamat,” katanya yang mula menyertai kejohanan sukan berkuda pada usia 13 tahun.

Atlet lain, Mohd Ziyad Hamzah, 16, mengakui bahawa pertandingan pada kali ini sangat mencabar walaupun beliau berpengalaman dalam mengikuti kejohanan yang diadakan di luar negara.

"Ini adalah kali pertama saya mengikuti pertandingan yang sangat mencabar. Ia berbeza dengan pertandingan di England tahun lepas. Saya sudah agak penunggang dari Perancis akan beri cabaran yang hebat kepada penunggang lain.

"Pertandingan di Perancis sangat mencabar dengan trek yang tidak rata dan cuaca panas menyebabkan kami tidak boleh menunggang terlalu laju. Kami hanya ikut arahan dari jurulatih, tapi bersyukur dapat tempat keempat,” katanya.

Atlet kelahiran Perlis, YM Tengku Puteri Helen Nurina Tengku Shaharin, 16 mengakui bahawa kejohanan tersebut memberi pengalaman baru dan mendedahkan beliau dengan suasana tempat pertandingan yang berbeza.

"Kejohanan di Perancis lagi susah sebab keadaan cuaca yang panas, ditambah lagi trek yang berbukit dan berbatu, berbanding trek di Terengganu yang lebih rata dan berpasir.

"Walaupun lebih ramai penunggang wanita, tetapi mereka lebih berdaya saing dan memberi saingan hebat kepada saya. Ia adalah pengalaman baru buat saya,” katanya kepada Teganukita.

Atlet sukan berkuda negara yang mendapat tempat keempat daripada 20 negara yang bertanding pada kejohanan tersebut, menerima insentif RM5000 seorang dan diraikan dalam Majlis Pengurniaan Insentif kepada Atlet FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Permai Inn Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 

Empat Jawatan Ketua Wanita Umno bahagian akan dicabar

Oleh; Esah Abdullah 

Sekurang-kurangnya empat Ketua Wanita Umno bahagian bakal dicabar dalam pemilihan Persidangan Wanita Umno bahagian yang akan diadakan pada 12 Oktober depan.

Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu, Hajah Zainun Abu Bakar berkata, bahagian yang dimaksudkan ialah Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.

“Setakat ini terdapat ura-ura jawatan ketua wanita bahagian akan dicabar namun ia akan diketahui setelah pendaftaran penamaan calon bagi ketiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri dibuka pada 21 September depan,” katanya kepada Teganukita hari ini.

Setakat ini katanya, Ketua Wanita Kuala Terengganu Hajah Jannah Zaleha Nik dan Ketua Wanita Setiu Hajah Wan Maznah Nong dikatakan akan berundur untuk memberi peluang kepada muka baru.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Dungun itu akan mempertahankan jawatannya yang disandang sejak 2008.

Manakala jawatan Ketua Wanita Kuala Nerus yang disandang Hajah Khadijah Awang sekarang juga akan dicabar oleh muka lama dari kalangan ahli parti.

Selain itu, bekas Ketua Puteri Perhubungan Terengganu dan juga Ketua Puteri Bahagian Kuala Terengganu, Puan Nordiana Shafie  menyatakan kesediaan bertanding bagi jawatan Ketua Wanita Bahagian Kuala Terengganu untuk meneruskan kesinambungan kepimpinannya dalam parti.

Sementara itu kedudukan Ketua Wanita Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah, Ketua Wanita Marang Senator Hajah To’ Puan Zaiton Mohd Amin, Ketua Wanita Hulu Terengganu Datuk Hajah Fatimah Hamat dan Ketua Wanita Besut, Engku Naimah Engku Taib dikhabarkan tidak tergugat.

“Perpaduan wanita dalam parti dan masyarakat tidak akan tergugat walau pun berlaku pertandingan dan ini adalah proses biasa dalam usaha memperkukuhkan parti ,” kata Hajah Zainun.
 

Hotel TH lebar sayap perniagaan di Terengganu

Selepas Tabung Haji Hotel & Convention Centre (Hotel TH) Alor Setar, Kedah dibuka, TH melebarkan sayapnya dengan pembinaan Hotel TH Terengganu tiga tahun lalu dan mula beroperasi awal bulan lalu.

Terletak cuma kira-kira satu kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan bertentangan dengan Kompleks Sukan negeri, kedudukan hotel bertaraf tiga bintang itu ternyata cukup strategik.

Reka bentuk kontemporarinya dalam adunan bercirikan Islam, sudah cukup untuk menarik perhatian mereka yang dalam perjalanan dan kewujudannya menjadi salah satu aset bagi negeri dalam kegiatan ibadah dan juga pelancongan.

 Hotel TH berada dalam Kompleks TH yang keseluruhannya dianggarkan menelan kos RM70 juta, turut direka khas bagi kegunaan pada musim haji dengan mempunyai dewan ketibaan khas untuk jemaah, tempat mendaftar dan imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas.

Kewujudannya yang tersergam di atas tanah seluas 3.2 hektar itu dapat memberi kemudahan kepada jemaah berkumpul setiap kali tiba musim haji khususnya dan memberi pilihan penyediaan hotel berkonsepkan pematuhan syariah kepada umat Islam amnya.

 Beberapa tahun dahulu jemaah haji dari seluruh Pantai Timur terpaksa bersesak-sesak di lapangan terbang bagi menyelesaikan pelbagai urusan termasuk kesihatan dan keselamatan, dengan persekitaran lapangan terbang sesak dipenuhi ahli keluarga para jemaah.

 Namun, bermula tahun ini, jemaah haji tidak lagi perlu menghadapi situasi begitu apabila Hotel TH Terengganu turut menyediakan sebuah dewan konvensyen yang mampu memuatkan seramai 3,000 orang pada satu-satu masa.

 Dewan konvensyen yang dikatakan antara yang terbesar di Pantai Timur itu boleh menampung pengendalian urusan himpunan, seminar dan majlis meraikan perkahwinan dalam suasana yang selesa.

 Bagi jemaah dan ahli keluarga yang datang dari luar negeri ini, mereka tidak perlu bimbang tentang penginapan memandangkan Hotel TH Terengganu menyediakan ruang penginapan yang selesa dengan harga berpatutan terutamanya kepada pencarum TH.

 Menurut Pengurus Besarnya, Malizan Zakaria, hotel itu menawarkan 182 bilik dan ketika ini ia hanya beroperasi sehingga tingkat dua yang menempatkan bilik jenis superior dan deluxe manakala tingkat empat sehingga enam dijangka dibuka selewat-lewatnya September ini.

 Katanya, bahagian berkenaan akan menempatkan bilik jenis famili, eksekutif suite, apartmen suite, residential suite serta presidential suite yang menawarkan ruangan yang lebih eksklusif dengan menempatkan lounge eksklusif.

 "Selain itu, kami juga menyediakan bilik yang disesuaikan untuk golongan kurang upaya dengan dilengkapi kemudahan seperti posisi perabot yang rendah dan mudah dicapai serta saiz pintu masuk dan pintu bilik air yang lebih besar," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

 Beliau memberitahu, kebanyakan bilik menyediakan katil yang direka khas iaitu jenis pull out extra bed yang setiap bilik boleh memuatkan tetamu sehingga empat orang.

 Selain itu, hotel itu turut menawarkan kemudahan pertama seumpamanya di negeri ini seperti kolam renang bagi wanita yang tertutup selain bilik mandi dan tandas diasingkan.

 Turut disediakan bersebelahan kolam mandi wanita sebuah ruangan rehat golongan tersebut yang membolehkan mereka mengadakan pelbagai aktiviti tanpa perlu bimbang aurat dilihat bukan mahram.

 Selain itu, kolam renang untuk kanak-kanak turut direka dengan pelbagai keseronokan apabila dibina seolah-olah seperti berada di taman tema mini serta kolam renang terbuka yang luas.

 Bagi mereka yang ingin mengadakan aktiviti, mesyuarat mahupun bersantai, Hotel TH turut menyediakan ruang yang selesa di Menanti Lounge dan empat bilik persidangan yang mampu memuatkan sehingga 300 orang pada suatu masa serta sembilan bilik mesyuarat.

 Hotel yang beroperasi mengikut syariah itu menyediakan pelbagai pilihan menu makanan bertempat di Restoran Lagenda yang beroperasi pukul 6 pagi hingga 12.30 tengah malam.

 

Mangsa kebakaran di Pulau Perhentian dapat perhatian segera ADUN


YB Tengku Zaihan (dua dari kiri) bersama kakitangan JKM menemui mangsa kebakaran

Oleh: Mohammad Ishak 

Tiga pemilik kedai di Pulau Perhentian yang menjadi mangsa kebakaran apabila premis mereka terbabit dalam kebakaran mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Tengku Zaihan bersama kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut, melakukan lawatan mengejut sebaik menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.45 pagi kelmarin. 

Kebakaran membabitkan kedai 3 unit kedai sederet Jeti Kampung Pulau Perhentian. dipercayai bermula dari kedai bahagian tengah tengah menjual barangan runcit milik yang disewa Nik Zawawi Mat Ira, 37.

Beliau yang turut melawat mangsa dan tempat kejadian kemudian menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa.

Berikutan itu, kakitangan JKM yang menyertai lawatan ADUN berkenaan sedang mendapatkan maklumat mengenai kejadian daripada mangsa terbabit.

Beliau meminta mangsa terbabit bersabar sementara pihak JKM membantu mendapatkan bantuan selanjutnya bagi memulihkan kehidupan mangsa.

13 August 2013

ILP tawar kursus mengikut keperluan industri

Oleh; Esah Abdullah 

Institusi latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu menawarkan 11 kursus mengikut keperluan industri masa kini bagi memenuhi permintaan tenaga mahir yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Pengarahnya, Encik Abdul Wahid Embong berkata, antara kursus ditawarkan termasuklah teknologi elektrik, penjaga jentera elektrik, penyejukbekuan dan penyaman udara, komputer sistem, mekanik industri, pemesinan am, pemasangan paip dan gas, binaan bangunan, binaan kayu, binaan paip dan sanitari dan diploma teknologi binaan.

Menurutnya, bidang teknologi elektrik, pemasangan paip dan gas, penyejukbekuan dan penyaman udara merupakan kursus paling diminati dengan tempoh belajar yang ditetapkan selama dua tahun tiga bulan adalah satu jangka masa yang lengkap untuk mereka mahir dalam bidang masing-masing.

Katanya, ILP Kuala Terengganu turut menjadi pilihan pelajar perempuan untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang kemahiran dan tahun ini pertambahan bilangan pelajar perempuan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas,

 “Sebahagian besar pelajar perempuan memilih mengikuti kursus komputer dan teknologi binaan yang mungkin lebih bersesuaian,” katanya.

Namun begitu katanya, terdapat pelajar perempuan menceburi bidang kemahiran walaupun ia lebih dikuasai lelaki. ILP juga menetapkan peraturan sama dengan pelajar lelaki, lulus syarat akademik dan sihat fizikal.

Tambahnya, setiap tahun, ILP sasar kemasukan 120 hingga 200 pelajar pada setiap semester, sehingga kini, jumlah pelajar yang ada adalah lebih 600 orang, iaitu termasuk 120 pelajar bagi kemasukan Julai 2013.

“Kecenderungan peserta kursus menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi juga membanggakan kita dan setakat ini kira-kira 20 peratus mengambil keputusan menyambung pengajian masing-masing,” katanya.
 

MB lancar kempen kibar Jalur Gemilang

Oleh; Esah Abdullah 

Majlis pelancaran Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-56 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu akan diadakan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam pada 19 Ogos ini bermula jam 2.45 petang.

Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerja Raya dan Pengangkutan) Encik Nasran Abd. Halim berkata, majlis pelancaran akan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti lagu 1Malaysia.

 Katanya majlis pelancaran juga akan diserikan dengan persembahan sajak Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku yang akan disampaikan oleh Muhammad Iqbal Zahanuddin dan Nur Atiekah Hidayah Hussain dari Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail Kuala Terengganu.

Menurutnya, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menyempurnakan majlis pelancaran berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang.

“Sebaik selesai ucapan pelancaran, upacara perarakan masuk 56 Bendera Malaysia oleh Pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diikuti upacara menaikkan bendera serta penyerahan Bendera Malaysia kepada pegawai-pegawai daerah,” katanya.

Katanya, gimik pelancaran ialah melekatkan Bendera Malaysia dan Striker Hari Kemerdekaan di kenderaan jabatan negeri dan persekutuan.
 

12 August 2013

Pencapaian atlet sukan berkuda Terengganu membanggakan

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukor (pelatih)

Pencapaian atlet sukan berkuda negara, khususnya atlet Terengganu harus dipuji apabila berjaya mendapat tempat keempat dalam kejohanan FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Perancis, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, beliau bangga dengan pencapaian atlet negeri ini kerana daripada tujuh peserta mewakili Malaysia dalam pertandingan tersebut, empat daripada mereka merupakan anak Terengganu.

"Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua ahli pasukan Endurance negara, khususnya atlet Terengganu kerana telah melakar kejayaan cemerlang dalam kejohanan tersebut.

"Dengan melayakkan diri ke pertandingan ini sudah menjadi satu kejayaan, apatah lagi menempatkan diri di kedudukan yang membanggakan,” katanya.

Tambah beliau lagi, pencapaian yang ditunjukkan atlet Terengganu menjadi pelengkap kepada kepelbagaian pencapaian sukan dan pembangunan mampan negeri.

"Kejayaan ini sudah tentu menambahkan lagi koleksi sejarah kecemerlangan dicipta anak-anak Terengganu khususnya di peringkat antarabangsa.

"Sebab itu negara-negara maju melabur peruntukan besar dalam sektor dan industri sukan, kerana disamping sebagai pengukuh kepada negara, sukan juga mampu memberi pulangan ekonomi yang baik jika dijadikan satu industri bagi peringkat ekonomi yang betul,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu, selepas mencipta kejayaan gemilang dipersada antarabangsa pada sukan Formula Future beberapa tahun yang lalu, atlet Terengganu semakin menyerlah dan mempamerkan kemampuan luar biasa dalam bidang sukan yang lain.

"Hari ini negeri kita menjadi penyumbang teramai atlet-atlet mewakili negara dalam temasya antarabangsa seperti sukan Sea, Asia, Komenwel dan Olimpik. Jadi, tidak hairanlah jika Terengganu sekarang menjadi kuasa sukan negara,” katanya lagi.

Baru-baru ini, atlet-atlet berkuda negara diraikan dalam Majlis Pengurniaan Insentif kepada Atlet FEI World Endurance Championships for Young Rides & Juniors 2013 di Permai Inn, Kuala Terengganu.

Selain Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-WathiquBillah Sultan Mizan Zainal Abidin, atlet Terengganu Azizatul Asma Abdullah, Muhammad Alif Sabidi dan Mohamad Adhwa Embong turut menyertai kejohanan tersebut.

 

Membina citra dan budaya baru di UniSZA

Oleh; Esah Abdullah 

Sebagai sebuah universiti yang tergolong dalam kelompok Institusi Pengajian Tinggi Islam, Universiti Sultan Zainal Abididn (UniSZA) amat berpotensi menjadi sebuah Universiti Islam ketiga di negara ini.

Naib Canselor UniSZA Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, hasrat murni berkenaan telah disuarakan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Katanya sebagai bakal sebuah Universiti Islam imej yang diposisikan seharusnya melambangkan keislaman serta diperlihat melalui keberanian para sarjananya berhujah secara ilmiah dan berintelek tanpa wujud keraguan.

Oleh itu katanya, para sarjana UniSZA dapat mempamerkan ketokohan dalam bidang keilmuan masing-masing pada persidangan atau seminar diperingkat nasional dan antarabangsa.

Menurutnya, jaringan antarabangsa di peringkat individu mahupun universiti perlu dipertingkatkan dalam pelbagai bidang meliputi program kerjasama akademik, pertukaran tenaga pengajar, pegawai tadbir, staf sokongan dan juga pelajar.

Katanya, pembangunan yang baik bagi sesebuah universiti juga merupakan lambang kemajuan dalam bidang akademik serta menjadi faktor penentu pemilihan bakal pelajar ke sesebuah universiti di negara ini.

Justeru katanya, UniSZA sedang berusaha untuk melengkapkan pembangunan prasarana terutama di kampus Gong Badak dan kampus Besut.

“Satu pelan induk pembangunan kampus Gong Badak sedang dibangunkan bagi memastikan perancangan dan pembangunan kampus ini dapat dilaksanakan secara lestari tanpa memberi impak negatif terhadap alam sekitar sedia ada.

“Pelan mengatasi ancaman banjir juga akan disepadukan dalam pelan induk pembangunan agar masalah banjir yang berlaku saban tahun itu akan dapat diatasi,” katanya.
 

Bekas pelajar SMPM bertemu di Aidilfitri

Oleh: Aida Abd Rahman

Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja menjadi medan merapatkan hubungan dan saling bermaafan, malah mempertemukan saudara dan sahabat handai yang sudah lama berjauhan akibat tuntutan kerjaya dan keluarga.

Beberapa bekas pelajar SMPM mengabadikan kenangan di rumah Cikgu Zaki pada hari raya ketiga
Bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Padang Midin (SMPM) (1992-1996), Syawal kali ini lebih bermakna apabila dapat berkumpul di majlis rumah terbuka anjuran beberapa rakan dan juga bekas guru sekolah berkenaan.

Penyelaras program, Encik Ahmad Shamri Karim, berkata perjumpaan sebahagian bekas rakan SMPM itu terlaksana di rumah bekas guru, Encik Zaki Mohd Noor di Taman Setia, Durian Burung, Kuala Terengganu pada hari raya ketiga lalu, selain rumah beliau sendiri di Binjai Rendah, Marang dan rumah seorang lagi rakan, Puan Sakinah Muhamad, di Kampung Baru, Alor Jambu, Wakaf Tengah, pada hari raya kedua.

Pertemuan bermakna pada hari raya kedua di rumah Puan Sakinah (barisan depan, tiga dari kanan)
“Alhamdulillah, ramai juga rakan yang hadir dan dapat bersua-muka serta menyambung semula tali silaturahim yang sedia terjalin. Ada yang pertama kali berjumpa selepas 16 tahun tidak bersua sejak menamatkan alam persekolahan.

 “Sebenarnya, kecanggihan teknologi seperti Facebook, Whatsapp dan WeChat ini banyak juga memberi kebaikan kerana dapat mencari dan berhubung semula dengan rakan-rakan serta berjumpa di majlis rumah terbuka ini,” katanya.

Seorang bekas pelajar SMPM, Puan Azlinawati Salleh, berkata pertemuan di rumah bekas guru dan juga perjumpaan di beberapa rumah rakan banyak meninggalkan kenangan manis kepada mereka.

 “Bukan sahaja dapat berkongsi cerita dan kisah masing-masing, kami juga dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin. Dengan memiliki ramai kawan , membuatkan hidup terasa lebih ceria dan banyak perkara boleh dikongsikan bersama.

 “Saya harap moga perjumpaan dapat diadakan lagi selepas ini, bukan hanya menunggu pada musim hari raya, malah hari cuti yang lain juga,” katanya.

Bekas pelajar SMPM bergambar kenangan di rumah Encik Shamri (tiga dari kanan) pada hari raya keempat
Sementara seorang lagi bekas pelajar SMPM, Encik Mohd Faizal Ismail, berkata pertemuan di beberapa majlis pada Aidilfitri kali ini amat bermakna dan paling manis sejak meninggalkan alam persekolahan 16 tahun lalu.

Katanya, semua rakan memiliki keluarga dan kerjaya dalam pelbagai bidang di sektor awam, swasta dan bekerja sendiri berjaya melapangkan masa menyertai perjumpaan yang diatur secara spontan sempena hari raya ini.

 “Seronok dan Alhamdulillah tuhan mempertemukan kami dengan ramai rakan-rakan lama. Moga selepas ini rakan-rakan yang jauh khususnya di luar Terengganu dan Semenanjung Malaysia juga dapat berkumpul bersama pada musim perayaan dan cuti yang panjang.

 “Hubungan rakan ini bukan sekadar berkongsi cerita suka dan gembira, malah menjadi tempat untuk menyelesaikan masalah dan kisah duka kita. Bagi kami, demikian nilai persahabatan sebenar,” katanya.