Halaman

22 August 2013

UniSZA anjur ‘University-Industry-Community Talk Series 1’

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menganjurkan ‘University-Industry-Community Talk Series 1’ yang disampaikan Ketua Pegawai Operasi CIMB Islamic Bank, Encik Badlisyah Abdul Ghani di kampus utama UniSZA Gong Badak, hari ini.

Encik Badlisyah yang dijemput sebagai pembicara untuk menyampaikan dua dialog kepada staf akademik dan pelajar uniSZA berkata, secara tidak langsung program yang diadakan mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara CIMB Islamic Bank dengan universti berkenaan yang sedia terjalin.

"Dialog yang berkisar kepada Promoting Industry-Academia Linkages in Islamic Banking: The Way Forward bersama 100 staf akademik lebih kepada bagaimana untuk mengeratkan lagi kerjasama antara falkulti-falkuti di UniSZA dengan CIMB Islamic Bank.

"Ia lebih kepada mengadakan perbincangan dengan pihak fakulti mengenai pembentukan silibus yang perlu bagi program perbankan khususnya, dan dari segi praktikal apa yang diperlukan dalam industri daripada seorang pelajar perbankan,” ujarnya ketika ditemui Teganukita , hari ini.

Jelas beliau, dialog yang bertajuk What Employer’s look for in Islamic Finance Grads? pula berkenaan ‘careear talk’ dengan 200 pelajar UniSZA berkaitan keperluan pelajar untuk berjaya dalam kerjaya masing-masing terutamanya dalam bidang berkaitan kewangan.

Katanya, CIMB Islamic Bank turut merancang untuk mempelbagaikan lagi program kerjasama dengan UniSZA terutamanya dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dengan universiti berkenaan.

 

21 August 2013

Perkaya jalin dua MoU dengan Kolej Yunnan Najiaying China Muslim

Oleh; Esah Abdullah 

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) telah menandatangani dua Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Kolej Yunnan Najiaying China Muslim, China hari ini.
YB Haji Bazlan bersama rombongan Kolej Yunnan Najiaying China Muslim, China
Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, antaranya adalah MoU bersama Perkaya Holding untuk pertukaran dalam bidang perniagaan dan Universiti Kolej Bestari Pak Kancil Setiu dalam bidang pendidikan.

“Sebenarnya MoU ini dirancang bagi memudahkan pertukaran dalam dua bidang yang menjadi sumber kekuatan Perkaya mengumpul dana membantu anak-anak yatim di negeri ini.

Katanya, sepanjang berada selama tiga hari di Terengganu bermula semalam, rombongan 10 orang itu diketuai Haji Sulaiman Ma telah di bawa meninjau ke Ladang Kelapa Sawit Perkaya di Kemaman danUniversiti Kolej Bestari Pak Kancil di Setiu.

Selain itu, mereka dibawa ke Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) untuk mendengar taklimat pembangunan negeri dan ke Tanah Wakaf Perkaya di Kampung Lingai serta dijamu dengan buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan.

“Mereka sangat teruja bila dibawa berkunjung ke tanah wakaf yang dipenuh pokok buah-buahan tempatan kerana pertama kali melihat pokok durian,,rambutan, duku yang kebetulan sedang berbuah,” katanya.

Menurutnya, kesediaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Bazlan Abdul Rahman serta Jawatankuala Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lingai beramah mesra sambil menjamu durian memberi pengalaman berguna kepada rombongan yang pertama kali menjejak kaki ke bumi Darul Iman.

Katanya, pagi esok rombongan Cina Muslim ini akan dibawa meninjau pembangunan di Tasik Kenyir dan akan berlepas pulang ke China pada sebelah petang.
 

Majlis raya KWDI tidak lupakan golongan kurang bernasib baik

Oleh: Aida Abd Rahman

Sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kelab Wisma Darul Iman turut tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik apabila menjemput 100 murid di kalangan anak yatim dan miskin dari sekitar Kuala Terengganu untuk turut sama meraikan majlis itu, di Wisma Darul Iman (WDI), hari ini.

Sebelum itu semua murid berkenaan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besar; SK Pasir Panjang; SK Pusat Kuala Ibai; SK Tengku Bariah dan SK Chendering menerima duit raya yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.
Mashitah Hassan

Seorang murid tahun tiga SK Chendering, Mashitah Hassan berkata dia teruja kerana pertama kali dapat menyertai majlis itu, apatah lagi menerima duit raya dari Menteri Besar dan isteri pemimpin negeri itu pada kali ini.

Ainun Adila
“Rasa gembira dan sangat seronok. Terima kasih kepada semua sebab pilih saya ke majlis ini. Dapat duit raya dan juga makan pelbagai juadah hari raya,” katanya.

Perasaan gembira turut dirasai Ainun Adila, 11, dari SK Pusat Kuala Ibai, yang berkesempatan menemui Menteri Besar untuk kali kedua, selain pertama kali ketika menerima e-Book dari pemimpin itu.
Mohd Hafiz Aiman

“Saya sangat seronok boleh ke sini, dapat duit raya dan juga berjumpa ramai orang terutama Dato’ MB.

 “Duit raya ini akan saya simpan dan kalau perlu akan dibelanjakan untuk kegunaan di sekolah serta perkara berfaedah sahaja,” katanya.

Sementara murid SK Tengku Bariah, Mohd Hafiz Aiman, 8, pula rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk guru sekolahnya yang memilihnya ke majlis itu.

“Terima kasih cikgu dan semua. Terima kasih juga Dato’ Seri Ahmad Said sebab beri duit raya ini. Semakin banyak duit raya saya tahun ini,” katanya.




Sambutan Hari Raya Wisma Darul Iman meriah dan ceria


Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan isteri sempat menjamah buah-buahan yang turut menjadi juadah sambutan Aidilfitri Kelab Wisma Darul Iman.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 Kelab Wisma Darul Iman (KWDI) berlangsung meriah dan penuh ceria apabila dibanjiri lebih 8,000 tetamu khususnya pegawai dan kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi di seluruh Terengganu.

Tambah memeriahkan suasana apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud turut menyertai majlis itu.
Dato' Seri Haji Ahmad Said dan To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar miskin dan yatim.


Sebelum menikmati juadah sambil dihiburkan oleh persembahan artis kebudayaan Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 pelajar di kalangan anak yatim dan miskin sekitar Kuala Terengganu.





Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Penasihat Undang-undang Negeri, YB Noorbahri Baharuddin serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

Majlis yang bermula sejak 8.30 pagi dan berakhir jam 1 petang menyajikan aneka juadah pembuka selera seperti sate, nasi himpit, laksa, mee jawa, soto, rojak kateh, nasi dagang, nasi minyak, cendol dan buah-buahan.

Setiap kelab Wisma Darul Iman menyediakan setiap menu istimewa itu di gerai  khas yang dihiasai indah dengan dilayani para petugas masing-masing.

 

PEMUDA GIGIH MENCARI REZEKI

Oleh: Aminudin Ismail 

Mohd Khairi sedang mengemas botol minuman di gerainya.

SEORANG pemuda Mohd Khairi Jauhari, 26, dari Kampung Sungai Lerek, Setiu tetap berusaha mencari rezeki halal dengan menjual air minuman berhampiran sebuah sekolah di Sungai Lerek biarpun dia tidak mampu berjalan dengan sempurna kerana mengalami masalah pada bahagian lutut akibat kemalangan jalanraya.

 Mohd Khairi berkata, selepas terbabit dengan kemalangan itu, dia hampir setahun tidak dapat bergerak dan hanya terlantar di katil tetapi bersyukur kerana selepas itu dia mampu bergerak dan berjalan mengunakan tongkat.

“Saya koma selama tiga hari dan selepas sedar saya dapati saya tidak dapat berjalan kerana mengalami patah kaki kiri dan sakit bahu. Selepas mendapat rawatan beberapa kali di Hospital, akhirnya saya mampu berjalan mengunakan tongkat selepas kaki saya dimasukan sebatang besi dan setahun selepas kemalangan saya semakin sihat walaupun tidak boleh berjalan sebagaimana orang lain,” katanya.

 Menurutnya, hasil daripada menjual air minuman itu, dia memperolehi pendapatan kasar sekitar RM30 hingga RM50 sehari dan boleh membantunya menampung perbelanjaan harian kerana dia tidak mampu melakukan kerja yang memerlukan tenaga yang banyak.



Sambutan Hari Raya UKOM Pada 26 Ogos 2013 (ISNIN)




 

Adik menang, abang kalah

Nasib berbeza dialami dua pasukan Terengganu pada perlawanan pertama Piala Malaysia yang membuka tirai malam tadi.

Pasukan T-Team yang beraksi di gelanggang lawan puas membawa pulang 3 mata setelah menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh manakala pasukan Terengganu kalah kepada Negeri Sembilan 0-2 di halaman sendiri malam.

Bermain sebagai pasukan pelawat tidak menjadi masalah kepada T-Team apabila berjaya mengalahkan Felda United dengan Ahmad Syamin menjaringkan gol tunggal Titans pada minit 48. Perlawanan seimbang antara kedua-dua pasukan tetapi tuah lebih menyebelahi T-Team.

Terengganu pula harus menyalahkan diri sendiri selepas tunduk mudah kepada Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Walaupun banyak melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan, ketumpulan jentera serangan merencatkan strategi tuan rumah.

Skuad Peteh mendapat peluang untuk merapatkan jurang gol selepas mendapat sepakan penalti tetapi gagal disempurnakan oleh Manaf Mamat.

Perlawanan kedua diadakan pada 24 Ogos ini yang akan menyaksikan Terengganu bertemu musuh tradisi Kelantan di Kota Bharu dan T-Team lawan Pahang di Kuala Terengganu.


SATU akan bina dua loji

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (SATU) akan membina dua loji simpanan air membabitkan Kampung Kepong, Kuala Terengganu dan Kampung Bukit Sah, di Kemaman.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Husain Embong, berkata hasil kajian yang dibuat mendapati kapasiti keupayaan 12 loji yang sedia ada di negeri ini hampir mencapai tahap maksimum.

 Katanya, kemudahan yang ada sekarang tidak dapat menampung dan kajian yang dibuat mendapati perlu kedua-dua loji baru amat diperlukan bagi menampung bekalan air bersih kepada pengguna terutama Kuala Terengganu dan di Kemaman yang kini pesat dengan pembangunan perindustrian.

"Kita sudah bersiap sedia dan mengenalpasti lokasi pembinaan dua loji baru ini, cuma hanya menunggu lampu hijau daripada kerajaan negeri untuk meluluskan peruntukan kira-kira RM1.2 bilion..

"Pihak kami akan menjangkakan jika loji baru ini tidak menjadi kenyataan, pengguna akan menghadapi masalah bekalan air menjelang tahun 2017 atau 2018,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Katanya, hasil kajian mendapati sekiranya dalam tempoh lima tahun dari sekarang, dua loji baru ini tidak dibina, pengguna terutama di daerah Kuala Terengganu dan sebelah Utara akan menghadapi masalah bekalan air yang teruk.

 "Bayangkan jika pembinaan baru bermula 2015 dan ia dijangkakan siap tahun 2018 dan pada tahun itu, kita menjangkakan pengguna akan menghadapi masalah luar biasa jika berlakunya kemarau atau kerosakan besar disebabkan loji sedia ada di tahap maksimum," katanya.

Haji Husain turut memberitahu mahu mempercepatkan pembangunan infrastruktur bekalan air dari segi penukaran paip baru dan pembinaan loji baru bagi menjamin bekalan air yang selesa kepada seluruh rakyat Terengganu menjelang tahun 2030.

 

20 August 2013

Tesdec rancang perkenal kursus Teknologi Solar

Oleh; Esah Abdullah 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pusat Latihan Kemahiran Terengganu (Tesdec) merancang memperkenalkan kursus baru iaitu Teknologi Solar mulai tahun depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis berkata, perancangan ini lahir setelah melihat kepentingan dan keperluan yang meningkat dalam kehidupan harian masyarakat.

“Setakat ini kita masih dalam kajian dan perbincangan untuk melaksanakan kursus ini dan jika tidak ada aral kita akan membuat pengambilan pelajar tahun depan,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Kursus Latihan Pengendali Makanan 2013 di Grand Puteri Hotel Kuala Terengganu hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Mahdi Musa telah merasmikan kursus berkenaan.

Katanya, setakat ini Tesdec menawarkan enam program kemahiran serta dua program diploma di Kolej Tesdec iaitu program Diploma of Engineering Teknologi in Automotif Maintenance dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur dan Sijil Sains (program Pra Diploma).

“Dua sijil kecekapan kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) iaitu Pendawaian Fasa Tunggal,” katanya.

Katanya dalam usaha mengurangkan pengangguran kalangan graduan, Tesdec turut menawarkan sembilan program lepasan diploma dan siswazah serta program Terengganu Graduate Attachment Scheme (T-Gas).

“Program ini khas untuk memberi pendedahan dan pengalaman bekerja kepada anak tempatan selama enam bulan di agensi terpilih dengan diberi elaun bulanan RM600,” katanya.

Menurutnya program lain turut dilaksanakan termasuklah Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) Kementerian Kesihatan Malaysia, Skim Perantisan Bioteknologi (CJ Bio Malaysia)dan Skim Perantisan Tesdec-Eastern Steel.
 

Utamakan kebersihan di kedai makan

Oleh; Esah Abdullah 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta membuat pemantau lebih kerap terhadap kedai-kedai makan di negeri ini dalam usaha menjaga imej negeri di mata pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT ) tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri YB Mahdi Musa (gambar) berkata pemantau secara lebih kerap penting kerana terdapat kealpaan kalangan pengusaha kedai makan menjaga kebersihan terutama di bahagian belakang premis.

“Kita tidak mahu kebersihan hanya kelhatan dibahagian hadapan sebaliknya penekanan perlu dibuat secara keseluruhan termasuk dibahagian dapur serta tandas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Latihan Pengendali Makanan 2013 (KLPM) di Grand Puteri Hotel Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec) Haji Che Razali Adis dan Pegawai Kesihatan Kuala Terengganu, Encik Mohamad Muda.

Katanya, semua pengusaha makanan di negeri ini juga mesti memberi keutamaan terhadap kebersihan makanan dan juga persekitaran tempat beroperasi dalam usaha pencegahan penyakit bawaan makanan yang kerap berlaku sekarang.

Beliau juga mengingatkan pengusaha kantin sekolah dan asrama agar mengambil berat mengenai pemilihan sayuran untuk kegunaan harian dan dibersihkan dengan teliti sebelum dimasak.

Sehubungan itu katanya, Tesdec telah dilantik sebagai Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2007 dan satu-satunya SLPM milik kerajaan negeri.

Sehingga ini katanya, kira-kira 1,200 orang peserta telah berjaya menjalani kursus berkenaan yang diberikan secara percuma di Tesdec dan diadakan 14 siri kursus setahun.

Pada majlis berkenaan seramai 32 orang pengusaha makanan, pemilik kedai makan dan pengusaha kantin telah menerima sijil tamat kursus yang disampaikan oleh YB Mahdi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec.

 “Pemiliki sijil KLPM diiktiraf di seluruh negara dan tanpanya mereka tidak dibenarkan untuk membuka kedai makan atau berkaitan dengannya,” katanya.