Halaman

06 September 2013

ATM dan PDRM bersama jayakan majlis hari raya

Oleh; Esah Abdullah 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraia Malaysia (PDRM) buat julung kalinya bergabung tenaga menjayakan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Kebangsaan 2013 Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak esok (Sabtu).

Bersempena dengan majlis berkenaan, satu sidang media akan diadakan oleh Panglima Markas 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Ketua Polis Terengganu DCP Dato’ Haji Jamshah Mustafa di kawasan ruang legar stadium pada jam 1 petang.

Majlis yang bermula jam 12 tengahari hingga 4 petang itu akan menyediakan pelbagai menu untuk para tetamu di samping persembahan brass band dan pameran oleh ATM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan majlis.

Hala tuju pembangunan berpaksikan kepentingan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ kini dipraktikkan untuk penggal kedua pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebagai pihak yang bertindak sebagai `front liner’ bagi pihak kerajaan, pegawai dan kakitangan kerajaan menyahut pendekatan itu sebagai satu gagasan yang perlu dilaksanakan demi memuaskan hati rakyat sebagai `pelanggan utama’.

Menyedari hakikat itu, Penolong Kanan Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Cik Nur Kamilah Hamzah, berkata setiap perancangan dan hala tuju kerajaan negeri jelas berpaksikan kepada kepentingan dan manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Sebagai badan penggerak, kita akan berusaha mencapai dan mematuhi setiap perancangan yang sudah digariskan pihak kerajaan bagi memastikan matlamat ketua kerajaan dan pegawai atasan mampu kita laksanakan sebaik mungkin.

 “Setiap projek sama ada kecil dan besar yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak kerajaan semuanya adalah berfokuskan kepada rakyat,” katanya.

 Penolong Setiausaha Kerajaan (pentadbiran dan Operasi) Kerajaan Tempatan, Encik Mohd Shahrir Ghani pula berpendapat setiap projek yang dibangunkan kerajaan secara berterusan merupakan kesinambungan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan dan manfaat kepada rakyat.

“Bagi memastikan usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tercapai, kami sebagai agen pelaksana mengambil tanggungjawab memikul amanah itu dan berusaha melakukannya dengan lancar dan cekap.

 “Pendekatan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ amat tepat memandangkan kerajaan sentiasa mendahului rakyat dalam sebarang program, projek pembangunan dan juga pelbagai insentif disediakan sejak dulu lagi,” katanya.


TTI perkenal persembahan cahaya

Oleh: Suriati Ali 

Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu akan memperkenalkan persembahan berbentuk cahaya dan bunyi, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke taman itu.

 Pengurus Besar, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Dato’ Osman Muda, berkata persembahan itu dijangka bermula Januari depan, sekali gus membolehkan Taman Monumen TTI dibuka kepada pengunjung pada waktu malam.

 "Persembahan itu mempunyai komponen-komponen seperti hologram, video mapping, laser, 'sky tracker' dan juga air pancut," katanya.

Beliau berkata kerja pemasangan kelengkapan bagi persembahan itu sedang berjalan dan dijangka siap Disember ini.

 Sementara itu Dato’ Osman berkata TTI menerima 643,000 pengunjung, sepanjang tahun lalu.

 "Kita mensasarkan akan menerima lebih 800,000 pengunjung apabila siapnya persembahan baru ini.

 "Sejak dibuka pada tahun 2008 hingga sekarang, TTI menerima kedatangan lebih 4.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya

 

Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Setiu mencuit hati

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Telatah kanak-kanak bermain bolajaring mencuit hati penonton.

MAJLIS Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Setiu yang diadakan di Stadium Mini, Sungai Tarom, Setiu, semalam gamat dengan telatah kanak-kanak tadika bertanding dalam beberapa acara antaranya ialah Futsal dan Bolajaring.

Walaupun usia kanak-kanak itu dibawah enam tahun tetapi kelincahan mereka bertanding dalam beberapa acara mencuit hati penonton malah ada yang menunjukan bakat mereka bermain dengan baik.

Majlis yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan turut dihadiri oleh Pegawai Kemas Daerah Setiu Mohd Madrisham Mokhtar.

Iskandar sedang mendukong seorang kanak-kanak yang menang hadiah.
.
Setiausaha majlis, Cik Wan Shamsiah Wan Ismail, berkata antara tujuan hari potensi itu ialah untuk menggalakan perkembangan sosial, Emosi, Fizikal, Intelek dan Rohani kanak-kanak melalui pelbagai pendedahan.

Selain itu, katanya, tujuan juga ialah untuk mengembangkan kemahiran asas 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul sebagai persediaan ke alam persekolahan dan membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik.

Dalam pertandingan yang diadakan itu, johan bagi acara silat, futsal dan gerakrama ialah Kemas Dun Langkap, johan acara selingan ialah Dun Jabi, galah panjang juga Dun Jabi manakala bolajaring wanita dimenangi Dun Permaisuri,”.


KRT Pak Kancil juara

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Empat ahli KRT bergambar kenangan di sebuah gerai.
RUMAH Terbuka Aidilfitri Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dewan Undangan Negeri (Dun) Langkap dan Permaisuri meriah apabila setiap gerai yang menyertainya bertanding untuk kategori gerai berhias di mana gerai yang mengambil bahagian menampilkan pelbagai cara hiasan dan masakan supaya mereka mendapat tempat.

Bagaimanapun daripada kira-kira 10 gerai bertanding hanya tiga gerai sahaja yang memikat hati juri di mana ianya dimenangi gerai KRT Pak Kancil tempat pertama, kedua KRT Guntung manakala tempat ketiga ialah KRT Bukit Kecil.

Suasana sambutan Rumah Terbuka KRT Langkap/Permaisuri.
Jurucakap penganjur, Arahma Deraman, berkata, hadiah-hadiah pemenang di sampaikan kepada pemenang oleh Pegarah KRT negeri ialah Burhanuddin Daud menakala pemenang menerima hadiah hamper dan cenderamata.

“Pertandingan kali ini agak sengit kerana masing-masing menampilkan kelainan dalam resipi dan hiasan malah ada yang berbelanja agak banyak untuk memenangi pertandingan itu. Selain itu pertandingan karaoke turut diadakan.

“Acara pertandingan hiasan gerai dan karaoke ini menjadi acara tahunan. Selain menjamu selera para jemputan ahli-ahli KRT juga dapat berhibur dan ini mengeratkan hubungan antara mereka,” katanya. 

Sementara itu, kira-kira 500 tetamu yang kebanyakanya ahli KRT dari Dun Langkap dan Permaisuri hadir memeriahkan sambutan selain tetamu jemputan.


05 September 2013

Golongan imam perlu manfaat jalur lebar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyarankan supaya golongan imam memanfaatkan kemudahan jalur lebar yang disediakan kerajaan bagi mengakses lebih banyak maklumat berkaitan agama untuk disampaikan kepada jemaah masing-masing.

Timbalannya, Datuk Jailani Johari berkata , kerajaan sudah menyediakan pelbagai program termasuk Kampung Tanpa Wayar yang membolehkan rakyat mengakses internet dengan mudah secara percuma.

"Saya menggalakkan golongan imam dan bilal gunakanlah kemudahan yang disediakan di sekitar kawasan masing-masing untuk memperkasakan ilmu dengan cara berkongsi pengetahuan dengan ahli agama bukan saja dalam negara malah luar negeri untuk memperkasakan ilmu masing-masing.

 "Dunia tanpa sempadan hari ini membolehkan kita meningkatkan ilmu agama bukan saja dengan pembacaan tetapi melalui perkongsian dan pertukaran maklumat daripada internet juga,"katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Jati Diri Imam dan Bilal di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Seramai 200 peserta menghadiri kursus separuh hari itu bertujuan memperkasakan ilmu agama di kalangan imam dan bilal yang menjadi pemimpin masjid serta masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Datuk Jailani berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan penyebaran ajaran Syiah melalui laman sosial atau laman sesawang di negara ini.
"Kementerian hanya akan membuat pemantaun terhadap sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti agama atau masyarakat jika terdapat permohonan daripada mana-mana pihak seperti permohonan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini berhubung kes menghina agama Islam oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee.

"Dalam hal ajaran Syiah ini JAKIM lebih pakar dan kita bersedia membantu jika terdapat permohonan daripada pihak mereka,” katanya.


Sedia 20 lori kompaktor bernilai RM3 juta tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menambah 20 unit lori kompaktor pengangkut sampah dalam usaha meningkatkan kebersihan dan keindahan persekitaran khususnya kawasan tumpuan ramai di seluruh Terengganu, pada tahun depan.

Peruntukan keseluruhan bagi menyediakan setiap lori berharga RM295,000 itu melibatkan hampir RM3 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya berhasrat untuk memastikan negeri ini mempunyai lori kompaktor pengangkut sampah yang mencukupi dan tidak menimbulkan masalah kelambatan sehingga menjejaskan keselesaan orang ramai.

“Kita perlu menambah lori baru pada tahun depan kerana masalah lori rosak dan sudah uzur. Jadi tahun depan kita akan tambah 20 unit lagi untuk dibekalkan kepada semua PBT, dengan harapan mampu melakukan kerja pembersihan dengan lancar,” katanya.

Selain itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, setiap daerah mempunyai kawasan pelupusan sampah masing-masing, bagaimanapun PBT masih berdepan dengan cara pelupusan sampah yang tidak sempurna.

“Bagaimanapun, kita akan memastikan setiap PBT mempunyai kawasan pelupusan sampah yang sempurna dan memenuhi piawaian,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya membantu PBT dalam aspek menjaga kebersihatan persekitaran berikutan kerajaan menyediakan kos sehingga RM60 juta setahun bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan termasuk memungut sampah, mencuci jalan dan membersih longkang di seluruh daerah.

Katanya, ada segelintir penduduk dengan sewenang-wenang membuang sisa bahan binaan rumah masing-masing di kawasan lapang termasuk tanah kerajaan, sedangkan mereka perlu membuangnya di kawasan pelupusan sampah yang disediakan PBT berhampiran tempat tinggal mereka.

“Ini satu lagi sikap yang tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat di negeri ini yang harus diubah bagi memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan seluruh Terengganu bersih dan indah tercapai,” katanya.


Gangguan bekalan air di 22 kawasan

Oleh: Suriati Ali

 Syarikat Air Terengganu (Satu) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air akan berlaku membabitkan 22 kawasan di Marang pada 11 September ini.

 Gangguan itu berlaku disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan sistem pam di Loji Air Rawatan Kepong 2 bagi meningkatkan kecekapan bekalan air.

 Kerja-kerja itu akan akan menyebabkan bekalan air ke tangki perkhidmatan Satu di Bukit Kor, Marang akan diberhentikan penyalurannya buat sementara waktu bagi memberi laluan kerja-kerja penyelanggaraan ini.

 Ini menyebabkan gangguan bekalan air di mana kawasan-kawasn tertentu akan mnerima tekanan air yang rendah dan sebahagian lagi akan terputus bekalan.

Antara kawasan yang terlibat dalam tempoh gangguan bermula jam 4 petang hinggan 12 tengah malam, pada tarikh itu adalah, Taman Medan Jaya; Kampung (Kg) Rusila; Kg Kijing, Kg Bukit Mawi; Bandar Marang; Kg Seberang Marang dan Kg Gong Chempedak.

 Lokasi lain, Kg Bantangan; Kg Bukit Gasing; Kg Rhu Muda; Penjara Marang; Kg Bukit Kecil; Merchang; Kg Serating; Kg Gong Beris; Kg Alor Ketitir; Kg Alur Tuman; Felda Rantau Abang; Kg Undang dan Jalan Bukit Kor

 Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Husain Embong, berkata kira-kira 20,000 akaun pengguna Satu akan mengalami gangguan bekalan air terutama pada waktu puncak sepanjang kerja-kerja pengubahsuaian itu dijalankan.

 Pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi sebelum gangguan bekalan air berlaku pada tarikh tersebut.

 

Pandu Puteri rai 60 pelajar yatim sempena majlis hari raya

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 60 orang pelajar yatim dan miskin akan diraikan dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPCT) yang akan diadakan di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu esok (Jumaat).

Yang Dipertua PPPMCT, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail berkata, pelajar yatim dan miskin ini didatangkan dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.

“Mereka yang terpilih untuk menerima ‘duit raya’ ini merupakan anak yatim dan miskin dari kalangan ahli PPPMCT mewakili 15 buah sekolah rendah dan menengah,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, program ini merupakan aktiviti tahunan PPPMCT dimana setiap tahun akan meraikan golongan sasar yang berlainan dan majlis juga diadakan mengikut giliran daerah.

Katanya, dalam program yang sama tahun lalu PPMCT telah meraikan 50 orang warga emas dari daerah Kemaman dan majlis diadakan di Awana Kijal.
 

YB Encik Ghazali bin Taib (EXCO) untuk merasmikan program Bicara Tokoh di Dewan Sultan Mizan, Univeristi Malaysia Terengganu