Halaman

21 October 2013

Rosmadi cakna golongan muda.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Rosmadi..mahu tubuh pusat sehenti pemuda.
PEMBABITANNYA dalam politik bermula sejak di bangku sekolah menengah lagi tetapi beliau mula aktif dalam UMNO selepas memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Chalok Barat pada tahun 2000 sehinggalah sekarang.

Rosmadi Nasir, dari Dun Langkap yang baru dilantik semula menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu pada pemilihan UMNO baru-baru ini, berkata dia mula berminat dengan UMNO selepas merasakan perlu membalas jasa kerajaan yang banyak memberi peluang dan ruang dalam kehidupannya.

"Pada dasar, penglibatan saya dalam UMNO ini sebagai ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada saya berjaya terutamanya dalam bidang pelajaran dan pekerjaan sehingga hari ini," katanya.

Rosmadi bersama rakan di PPD Setiu.
Rosmadi,38, yang bertugas di PPD Setiu itu, berkata golongan muda hari ini harus rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak peluang yang diberi sejak mereka dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat tertinggi pengajian.

"Golongan muda seharusnya tidak memandang mudah akan banyak peluang-peluang yang kerajaan berikan kepada mereka. Jasa kerajaan ini perlu dibalas dengan baik dengan memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional yang memberi kesejahteraan kepada mereka," kata pemegang ijazah dari UKM itu. 

Bercakap mengenai jawatannya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Rosmadi berkata dia akan memberi sokongan dan kerjasama yang padu kepada Ketua Pemuda untuk melaksanakan pelbagai agenda pemuda.

"Dengan jawatan ini, saya bersama Ketua dan AJK pemuda UMNO Setiu akan akan cuba memberi maklumat yang betul tentang UMNO dan kerajaan Barisan Nasional kepada golongan muda di Setiu ini supaya mereka lebih memahami perjuangan UMNO yang sebenarnya" katanya.

Rosmadi yang juga Exco Pemuda UMNO negeri sejak 2008 hingga pemilihan baru-baru ini berhasrat mahu menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Pemuda UMNO Setiu bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah golongan muda. 

"Saya akan berbincang dengan Ketua Pemuda, dan jika beliau bersetuju, pusat itu akan beroperasi di Bandar Permaisuri tidak lama lagi bagi memberi peluang kepada pemuda mengadu pelbagai masalah berkaitan golongan muda dan kami membantu menyelesaikan masalah itu," kata bapa kepada tiga orang anak itu.



PPD Setiu terbit buku penyelidikan.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Berfaedah...Rafizi menunjukan buku terbitan PPD Setiu.
SETIU: Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu, mengambil hampir setahun untuk menyiapkan buku Kajian Penyelidikan Sekolah-Sekolah Rendah Daerah Setiu, yang dilancarkan Pengarah Pelajaran Terengganu di lobi, Pejabat Pelajaran Setiu, Putera Jaya, di sini.

Ketua Editornya, Shamsul Rafizi Ramli berkata, penerbitan buku yang pertama di negeri Terengganu itu adalah idea daripada Jawatankuasa Kajian Daerah iaitu seramai lapan orang.

"Buku ini siap sepenuhnya dalam bulan Mei baru-baru ini dan sudahpun dilancarkan sebelum ini oleh Adun Permaisuri, Dato Mohd Jidin Shafee sebelum melancarkan buat kali kedua oleh Pengarah Pelajaran Terengganu.

 "Terdapat tujuh kajian dalam buku ini antaranya ialah masalah disiplin murid dan meningkatkan kemahiran mengunakan sifir.Kajian yang dilakukan banyak menjurus kepada penyelesaian masalah pembelajaran dan pengajaran," katanya.

Menurutnya, buat permulaan, PPD Setiu mencetak kira-kira 200 buah buku untuk diedarkan di seluruh PPD Daerah dan disemua sekolah daerah Setiu.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Kipayatu Allah Dato' Mohd Said, berkata beliau mengucapkan tahniah kepada semua yang menjayakan buku ini dan kejayaan menerbitkan buku ini, katanya adalah kejayaan PPD Setiu.

"Tahniah kepada semua yang terbabit terutamnya editor yang bertungkus lumus sejak setahun lalu untuk menyiapkan buku yang banyak memberi faedah kepada guru dan murid ini. Ini adalah kejayaan PPD Setiu untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di daerah ini dan Terengganu," katanya.

 

Pelajar STPM terharu terima RM1,000

Oleh: Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar(pelatih)



Keprihatian kerajaan negeri mengagihkan wang tunai RM1,000 kepada setiap calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) nyata mengembirakan golongan itu kerana mampu meringankan bebanan ibu bapa. 

Seramai 1,623 pelajar Tingkatan Enam (Atas) membabitkan  43 sekolah seluruh Terengganu hadir menerima sumbangan berjumlah RM1.6 juta yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Bantuan yang disalurkan melalui Yayasan Terengganu (YT) itu diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2008 bertujuan meringankan beban pelajar yang tidak menerima sebarang bantuan biasiswa pendidikan.


Pasangan kembar Azmira Syazleen dan Azrina Syazreen Azizul Rahim, 19 mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Terengganu (YT) yang telah mengeluarkan belanja besar untuk kemudahan pelajar STPM di negeri ini.

“Kami berkongsi perasaan gembira apabila tidak lagi perlu membebankan ibu bapa yang hanya bekerja sebagai mekanik untuk membeli barangan persekolahan.

“Wang yang diperolehi ini akan digunakan sebaik mungkin, termasuk membeli buku rujukan dan tidak membazir dengan membeli barangan yang tidak berfaedah,” katanya yang ditemui Teganukita pada majlis itu.

Turut hadir,Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail serta Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan, Tuan Haji Ngah Bidin.

Penerima lain Nurin Sarahah Sofian yang juga pasangan kembar kepada Nurin Syatrah, 19 berkata, bantuan itu akan disimpan untuk kegunaan pada masa depan, termasuk membuatkan bayaran yuran sekiranya mendapat tawaran ke Institut Pengajian Tinggi.

“Saya terharu dengan pemberian ini yang sememangnya banyak membantu dalam pelbagai perkara, selain turut berasa bertuah menjadi anak didik Terengganu berikutan sumbangan seumpamanya ini tiada di negeri lain,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Wong Yong Man, berkata dia akan menggunakan wang itu untuk menyambung pelajarannya dalam bidang komunikasi massa di luar Negara

“Bantuan ini dianggap sebagai pendorong dan semangat untuk saya berusaha lebih keras dalam pelajaran sekaligus membuktikan saya mampu berjaya,”, katanya yang pernah mengikuti program pertukaran pelajar di Australia.



Terengganu negeri kajian penyelidikan-Pengarah Pelajaran.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Zakaria (kiri) bersama  Pegawai PPD Setiu, ketika melancarkan buku.
SETIU: Semua sekolah di daerah ini perlu manafaatkan Buku Kajian Penyelidikan Sekolah-Sekolah Daerah Setiu yang dihasilkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu untuk memberi panduan kepada sekolah berkenaan menangani pelbagai masalah pembelajaran dan pengajaran.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Husin, berkata penghasilan buku itu juga dapat melonjakan mutu pendidikan sekolah rendah di daerah Setiu dan meningkatkan lagi tahap pengajaran guru-guru.

"Saya mengharapkan ia dapat dimanfaatkan oleh semua sekolah bukan sahaja di Terengganu malah luar Terengganu yang mahu berkongsi pengalaman. Penghasilan buku ini adalah satu usaha yang sangat baik dari PPD Setiu. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang terbabit menerbitkan buku ini.

"Terengganu sememangnya terkenal dengan kajian penyelidikan sebenarnya yang telah bertahun-tahun di usahakan oleh guru kita, pembentangan dari segi kajian ini bukan sahaja di peringkat negeri tetapi guru kita di Terengganu pernah keluar negara.

"Kita juga berharap agar PPD lain juga mengambil inisiatif yang sama. Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan sentiasa memberi kerjasama kepada setiap PPD untuk menjalankan apa jua kajian untuk pembangunan pendidikan di negeri ini," katanya ketika melancarkan buku kajian itu di PPD Setiu, di Putera Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatu Allah Dato'Mohd Said dan beberapa pegawai dari JPNT dan PPD Setiu.



Lebih RM10 juta dibelanjakan kerajaan negeri untuk calon STPM

oleh: Noraini Jusoh, Mohd Hafizuddin Mat Tahar, Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) membelanjakan lebih RM10 juta untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tempoh enam tahun.



Bermula tahun 2008 hingga tahun 2012, seramai 10,663 orang mendapat manfaat melalui penyampaian bantuan pendidikan YT kepada pelajar STPM melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10,663,000.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pemberian insentif berkenaan sudah menjadi tradisi kerajaan negeri sebagai galakan dan sokongan kepada anak-anak Terengganu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Semua pelajar Tingkatan Enam (Atas) yang tidak menerima apa-apa biasiswa atau bantuan daripada pihak lain layak menerima sumbangan ini.

“Bantuan sebanyak RM1000 seorang diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor sosial ekonomi keluarga masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu Kepada Pelajar STPM Tahun 2013 Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.



Turut hadir,Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail serta Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan, Tuan Haji Ngah Bidin.

Seramai 1623 pelajar Tingkatan Enam (Atas) daripada 43 sekolah seluruh Terengganu hadir menerima sumbangan berjumlah RM1,623,000 yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebelum ini, bantuan yang sama bagi tahun 2013 telah disempurnakan di Parlimen Besut pada 16 Julai lalu dengan jumlah penerima seramai 305 pelajar dengan nilaian RM305,000 menjadikan nilai keseluruhan bagi tahun ini RM1,928,000.



Katanya, selain sebagai pembakar semangat kepada calon-calon STPM, bantuan berkenaan juga diharap dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, pencapaian pelajar STPM di negeri ini sejak lima tahun yang lalu amat memberangsangkan.

"Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang memberikan bantuan seumpama ini, justerus selagi Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu, pemberian bantuan pendidikan YT akan diteruskan demi memacu kecemerlangan anak-anak Terengganu dalam bidang pendidikan,” ujarnya.








Enam bahagian di Terengganu dapat muka baru

Oleh: Suriati Ali 

Enam daripada lapan bahagian UMNO menyaksikan perubahan kepimpinan iaitu di Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun setelah penyandangnya tewas manakala di Kuala Terengganu dan Marang, laluan diberikan lebih awal kepada muka-muka baru yang menawarkan diri.

 Hanya dua penyandang berjaya mempertahankan jawatan itu, Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Dato’ Mohd Jidin Shafee di Setiu manakala di Besut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Nawi Mohamad mendapat tempat lebih awal tanpa dicabar.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengekalkan jawatan setelah menewaskan pencabarnya, bekas Pengerusi Tetap UMNO Kemaman, Mat Dalam Awang manakala Mohd Jidin ternyata turut sukar disaingi oleh veteran UMNO yang berpengaruh suatu ketika dulu, Datuk Mamat Ghazali Abdul Rahman.

Kejutan berlaku di Hulu Terengganu apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari yang baru menapak dalam parti setelah memenangi kerusi Parlimen, diberi keprcayaan dengan mengalahkan Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

 Dato’ Tengku Putera yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri telah menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu sejak 1995.

Bagi UMNO Bahagian Kuala Nerus, perwakilan mengangkat Adun Seberang Takir, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (calon tunggal Barisan Nasional yang menang) sebagai ketua yang baru dalam persaingan sengit empat penjuru.

Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri yang gagal mempertahankan jawatan berada di tempat ketiga manakala bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said di tempat kedua.

Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang merupakan bekas Exco pula gagal mempertahankan jawatan di Marang apabila ditewaskan oleh anak saudaranya sendiri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri YB A. Latiff Awang.

YB A. Latiff yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan juga merupakan calon tunggal Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Di Dungun, percubaan kali kedua oleh bekas ADUN Bukit Besi, Dato’ Din Adam yang tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berjaya menewaskan Dato’ Dr. Rosli Mat Hassan.

Bagi UMNO Bahagian Kuala Terengganu pula, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Sabri Alwi menang kerusi yang dikosongkan oleh Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh setelah menewaskan seorang jutera perunding, Johari Awang.

 

Umat Islam terima padah jika tidak amal ajaran Islam sebenar

Oleh: Kamarudin Mat Akib 


Masyarakat Islam di negara ini, khususnya generasi akan datang bakal menerima padah jika mereka tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong berkata, jika masyarakat negara ini menerima ajaran Islam sebenar seperti yang disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w mereka akan terselamat di dunia dan akhirat.

Sebaliknya, jika mereka terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng seperti Syiah sebagaimana yang diamalkan di sesetengah negara Islam di Timur Tengah, negara ini akan menuju kehancuran.


 “Banyak negara Islam di Timur Tengah kini sedang bergolak dan mengalami kehancuran kerana rakyatnya terpengaruh dengan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Mereka juga mengikut telunjuk puak-puak Yahudi yang sememangnya mahu melihat kemusnahan negara dan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama sempena Majlis Luncheon Talk “Media Sosial dan Keselamatan Negara” anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu di Hotel YT Midtown, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya mendokong kerajaan yang tekad memerangi fahaman Syiah dan Yahudi bagi memastikan negara ini terus mengamalkan ajaran Islam yang suci.

Dalam perkembangan lain, Haji Shamsuddin berkata, pemilihan Umno 2013 yang baru saja selesai menyaksikan transformasi dalam pucuk kepimpinan Umno di mana ia merupakan perkembangan sihat.

“Pemilihan kali ini memperlihatkan proses meremajakan Umno dan diharap ia akan menarik minat golongan muda menyokong Umno dan memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata, sistem pemilihan baru yang diperkenalkan pucuk pimpinan Umno tahun ini memberi lebih banyak ruang kepada perwakilan untuk memilih pemimpin berwibawa.

Dato’ Ahmad Nizam dilantik Penyelaras Umno DUN Kijal



Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dilantik sebagai Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, bagi menggerakkan aktiviti parti di DUN berkenaan.

Pelantikan itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan pada persidangan Umno Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, malam semalam.

DUN Cukai dimenangi calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13, pertengahan tahun ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar Said turut mengumumkan pelantikan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim sebagai Pegawai Khas Menteri Besar bagi DUN Cukai.

Rapatkan barisan, kerja untuk PRU-14

Oleh: Kamarudin Mat Akib 



Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meminta pemimpin Umno di semua peringkat merapatkan hubungan sesama mereka dan melupakan segala perselisihan semasa kempen pemilihan parti yang berakhir kelmarin.

Sebaliknya, beliau meminta semua pemimpin yang diberi mandat memikul tugas mereka bekerja keras bagi memulihkan kekuatan parti dan memantapkan jentera sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

 “Kita beri kebebasan kepada semua orang untuk bertanding semua jawatan yang mereka mahu...Kini sampai masa untuk mereka bekerja untuk parti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Canselor TATIuC di Telok Kalong, semalam.

Proses Pemilihan Umno 2013 di lapan bahagian di negeri ini menyaksikan transformasi kepimpinan besar-besaran apabila enam muka baharu memenangi pertandingan merebut jawatan ketua Umno bahagian bagi penggal 2013-2016.

Daripada enam bahagian yang mendapat ketua baru, tiga daripadanya ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) iaitu Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Kuala Nerus), YB A Latiff Awang (Marang) dan YB Nawi Muhamad (Besut).

Muka baharu lain yang turut diberi mandat menerajui bahagian ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari (Hulu Terengganu); Dato’ Din Adam (Dungun) dan Dato’ Mohd Sabri Alwi (Kuala Terengganu).

Dato’ Haji Ahmad yang juga Menteri Besar mengekalkan jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Mohd Jidin Shafee kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Setiu.

Mengulas mengenai keputusan pemilihan Umno kali ini, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, perwakilan dari seluruh negeri sudah pun membuat keputusan dan ia perlu dihormati oleh semua pihak.

 “Kita perlu muka baru dan muka lama dalam parti dan mereka yang dipilih perlu bekerjasama bagi menguatkan parti, terutama menjelang PRU14,” ujar beliau.

Beliau berkata, di dalam politik tidak ada istilah muka lama atau pun baharu, tetapi mereka semua adalah pemimpin yang diberi kepercayaan untuk menerajui bahagian masing-masing.

“Itulah uniknya politik...Saya harap semua pihak memberi kerjasama kepada pemimpin yang telah dipilih di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bagi menggerakkan semua program yang dirancang oleh Umno,” katanya.

20 October 2013

Biduk lalu kiambang bertaut: UMNO Setiu bersatu lepas pemilihan

Oleh Aminudin Ismail. 

DEMAM pemilihan UMNO sudahpun berakhir, ada yang menang dan ada yang kalah. Mereka yang menang perlu menggalas amanah yang diberikan perwakilan dengan penuh tanggungjawab dan jujur manakala yang kalah pula masih tetap ahli UMNO dan khidmat mereka masih ditagih untuk menguatkan parti.

Di Terengganu, tiada keputusan yang mengejutkan berlaku. Boleh dikatakan semua ramalan adalah betul belaka. Kebanyakan mereka yang dipilih oleh perwakilan adalah mereka yang benar-benar layak untuk menduduki kepimpinan UMNO Bahagian manakala yang tidak terpilih tidak kurang juga hebatnya, mereka semua adalah ‘pejuang ‘ UMNO dan perlu terus kekal berjuang.

Di Setiu, ramai sudah menduga, Dato’ Mohd Jidin Shafee akan kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian walaupun ditentang Datuk Mamat Ghazali. Mohd Jidin boleh dikatakan terpilih dengan majoriti memuaskan iaitu sebanyak 314 undi majoriti daripada kira-kira 1100 perwakilan.

Walaupun menghadapi beberapa rintangan sejak pemilihan calon pada pilihan raya umun lalu termasuklah bertanding dengan ‘rakannya’ sendiri dalam pilihan raya itu dan pada pemilihan UMNO baru-baru ini, pula bertanding dengan seorang yang boleh dianggap gurunya dalam politik, namun Dato’ Mohd Jidin tetap tenang menghadapi itu semua sehinggakan beliau masih kukuh berdiri untuk menerajui UMNO Setiu.

Bagaimanapun, Mohd Jidin , 58, ada misi dan visi tersendiri untuk mempastikan UMNO terus bertapak kukuh di bumi Setiu ini. Beliau kini sedang ‘mengintai’ siapakah yang benar-benar layak untuk menggantikan tempatnya suatu hari nanti sekiranya beliau mahu berundur dalam arena politik selepas 20 tahun aktif dalam UMNO Setiu.

Namun waktu masih panjang. Untuk penggal ini, tugasnya baru hendak bermula, khidmat dan ketokohannya masih diperlukan, masih ada agenda yang perlu diselesaikanya, antaranya ialah mengeratkan semula hubungan silaturrahim antara ahli selepas pemilihan baru-baru ini dan memperkukuhkan UMNO Setiu dengan menambahkan lagi bilangan ahli.

Kemenangan tiga lagi Adun di Parlimen Setiu iaitu Dato’ Sabri Mohd Nor (Dun Langkap) menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua, Mohd Iskandar Jaafar (Dun Jabi) juga menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda dan Bazlan Abdul Rahman (Adun Batu Rakit) pula menang jawatan naib, akan lebih memudahkannya kerjanya mentadbir UMNO Setiu.

Begitu juga hubungan baik beliau dengan semua AJK UMNO yang baru dilantik, Ketua-ketua Cawangan dan ahli UMNO di seluruh kawasan Setiu lebih melancarkan tugasnya untuk terus membina rangkaian yang kukuh ke arah menjadikan UMNO kekal relevan di Parlimen Setiu ini.

Apapun, semua pihak perlulah memberi kerjasama kepadanya menggalas tugas itu bagi memudahkan beliau untuk terus mentadbir UMNO Setiu kerana beliau masih diperlukan selepas mendapat mandat dari perwakilan UMNO seluruh Setiu dalam pemilihan baru-baru ini.

Pemimpin Silih Berganti tetapi UMNO tetap Abadi….Semoga UMNO Setiu terus maju demi untuk kesejahteraan seluruh penduduk di Parlimen Setiu.