Halaman

25 October 2013

PRK DUN SUNGAI LIMAU: MB TERENGGANU LANCAR JENTERA PRK PETI UNDI GELAM TIGA KEDAH

Laporan Ruslan Abdul Rahman bersama jurufoto Haris dan jurukamera Raja Gadafi dari DUN Sg Limau. 

Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyifatkan Umno serta Barisan Nasional (BN) Kedah dan Terengganu mempunyai pengalaman politik yang hampir sama dalam menghadapi pembangkang, khususnya Pas.



‘Kita sama- sama faham bahawa Pas memperalatkan Islam dan hukum hakam untuk kepentingan parti politik mereka terutama dalam menghalal dan mengharamkan sesuatu perkara berkaitan agama mengikut selera dan kepentingan politik,” katanya sewaktu melancarkan jentera pilihan raya PDM Gelam 3, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau Kedah.

Hadir sama ialah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hajah Suraya Yaacob mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir, penceramah Umno Malaysia Datuk Zainal Abidin Sakom, jentera dari Terengganu dan Kedah serta penduduk tempatan.

PDM Gelam Tiga adalah di bawah tugasan negeri Umno Terengganu bersama-sama dengan Umno Bahagian Jerai Kedah. Satu lagi di bawah tugasan Umno Terengganu ialah PDM Bukit Choras.

Misalnya dulu Pas pernah mengkafirkan Umno kerana berikat (bermuafakat) dengan MCA dan MIC, tetapi hari ini tanpa segan silu mereka bersengkongkol dengan DAP yang menentang Islam dan orang-orang Melayu, kata Dato’ Seri Ahmad.

Oleh itu katanya, kita tidak ada pilihan lain untuk masa depan dan kesejahteraan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini melainkan menyokong BN dan menolak Pas yang telah jauh tersasar dari landasan perjuangan asal.



Terdapat kira-kira 1 026 orang pengundi di PDM berkenaan yang merupakan suatu perkampungan yang dikelilingi sawah padi.  Dari jumlah itu terdapat kira-kira 75 orang pengundi Cina.

 Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi BN Terengganu sudah beberapa hari berkampung di DUN Sungai Limau bersama sama dengan Dato’ Mat Jidin Shafie (Ketua Umno Bahagian Setiu) yang ditugaskan sebagai ketua deligasi Teregganu dan Timbalan, Nawi Mohamad (Ketua Umno Bahagian Besut).

Menteri Besar Terengganu meminta jentera Umno Terengganu bersama-sama jentera tempatan menjalankan tugas yang sebaiknya bagi memastikan PDM di bawah jagaan mendapat kejayaan.



Masjid Batu Rakit bangunan batu terawal.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Masjid As-salam, Batu Rakit.
MASJID As-Salam Batu Rakit yang dibina kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1995 adalah antara masjid yang diperbuat daripada batu yang mula-mula di bina di negeri Terengganu.

Pembinaannya dilakukan bagi menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat ketika itu dan bagi mengantikan masjid lama yang diperbuat daripada kayu yang sudah uzur.

Muda Abdullah.
Pengerusinya, Muda Abdullah, berkata, ketika itu tidak banyak masjid yang dibina dengan batu dan yang ada hanyalah beberapa masjid kawasan bandar kerana kebanyakan masjid diperbuat daripada kayu. 

"Ketika itu, masjid ini dianggap besar dan indah kerana tidak banyak masjid baru yang diperbuat daripada batu. Kebanyakan masjid ketika itu dibina dengan kayu tidak sebagaimana sekarang kebanyakan masjid adalah diperbuat dengan batu.

"Kalau adapun masjid kayu hanya di beberapa kawasan yang penduduknya tidak ramai dan masjid itu masih lagi utuh dan mampu menampung jemaah setempat," katanya.

Muda berkata,pelbagai aktiviti keagamaan diadakan di masjid itu antaranya ialah ceramah agama hampir setiap malam oleh iman masjid ataupun penceramah jemputan.

"Pada malam Selasa, ustaz mengajar sejarah Islam, malam Rabu dan Kamis ialah Fardu Ain manakala pagi Jumaat pula ialah kuliah subuh. Pada setiap malam jumaat, jemaah akan membaca yasin dan adakalanya bersolat hajat," katanya mengenai aktiviti masjid yang boleh memuatkan kira-kira 500 jemaah itu. 

Pemandangan luar masjid.
Menurutnya, seluruh kawasan masjid sentiasa terjaga kerana terdapat seorang pekerja yang menjaga kebersihannya manakala beberapa jemaah masjid sering mengadakan gotong royong untuk mengindahkan dan menjaga kebersihan masjid termasuklah tandas.

Katanya, iman masjid ialah Sukri Yusof dan Syihabuddin Ismail manakala bilal pula ialah Abu Bakar Said dan Ismail Harun.

 "Jemaah di masjid ini bukan sahaja penduduk setempat malah ia sering dikunjungi orang luar yang mengunakan jalan Kota Bharu- Kuala Terengganu melalui jalan pantai berhenti untuk menunaikan solat dan berehat di masjid ini.
Seni...mimbar kesenian Islam.

Luas..mampu memuatkan 1,000 jemaah.
Selesa..ruang letak kereta yang luas.
Sedia...Kuarters iman dan bilal di sediakan


24 October 2013

UCB ke arah universiti penuh 2016.

Indah..sebahagian bangunan UCB.
Oleh Aminudin Ismail. 
Gambar: Ihsan UCB.

BANDAR PERMAISURI: Kolej Universiti Bestari (UCB) bakal dinaikkan taraf kepada universiti penuh dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang selepas segala keperluan kini dalam perancangan untuk mencapai ke tahap universiti.

Naib Canselornya, Mustafa Ismail berkata, berdasarkan dengan pencapaian sekarang beliau yakin UCB mampu mencapai tahap yang dikehendaki sebelum tempoh itu kerana segala keperluan dan syarat untuk mencapai taraf universiti kini dalam perancangan yang rapi.

“Kita sedang berusaha kearah itu dimana ketika ini bilangan pelajar akan ditambah sehingga mencapai 5,000 manakala bilangan fakulti pula bertambah kepada lapan fakulti dalam tempoh itu.

“Begitu juga dengan bilangan pensyarah, ketika ini kita mempunyai 120 pensyarah dan kita tambah menjadi 240. Daripada 240 itu, kita jangkakan 70 daripadanya mempunyai PHd (Doktor falsafah).

Mustaffa berkata, konsep yang akan laksanakan nanti ialah konsep sebagimana Universiti Al Azhar iaitu konsep wakaf di mana tanah milik UCB akan mewakafkan kepada sesiapa yang berminat,” katanya.

 “Selain usaha seluruh warga UCB, sokongan daripada orang ramai amat diperlukan bagi menjayakan matlamat kami menjadikan UCB ini bertaraf universiti menjelang 2016 nanti,” katanya di UCB disini, hari ini ketika sidang akhbar konvokesyen UCB ke tujuh yang akan diadakan di TH Hotel, sabtu ini.


`Kesihatan & Anda' menerusi Manis FM mulai 31 Oktober

Oleh: Aida Abd Rahman, Mohd Hafizuddin Mat Tahar dan Mohd Syazni Zainudin (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pakar-pakar perubatan dari Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) bersedia memberi khidmat nasihat penjagaan kesihatan dan mengatur temujanji dengan pesakit menerusi program bual bicara yang bakal bersiaran di stesen radio, Manis FM, bermula 31 Oktober ini.

Pegawai Eksekutif Manis FM, Encik Che Abd Rani Mohd (tengah) menerangan sesuatu kepada wartawan pada sidang media bersama Encik Abdul Khalif Mohamad Salleh dan Puan Zawiah Sharif.
Pengurus Besar Kumpulan Kesihatan, Sumber Manusia dan Pmasaran TDM Bhd, Encik Abdul Khalif Mohamad Salleh, berkata kerjasama pertama antara stesen radio milik kerajaan negeri dengan kumpulan TDM hospital, yang dinamakan `Kesihatan & Anda’ akan memberi maklumat mengenai penyakit tertentu serta masalah kesihatan kepada pendengar berdasarkan slot yang disusunatur setiap minggu.

Antara pakar perubatan yang akan menjadi tetamu menjayakan slot bual bicara `Kesihatan & Anda' yang akan bersiaran di stesen radia Manis FM.
“Bagi musim pertama doktor dan pakar pemakanan dari KTS akan membincangkan penyakit tertentu atau topik yang melibatkan kanak-kanak serta dewasa seperti sakit perut, komlikasi semasa mengandung, asma pada kanak-kanak, diabetes, penjagaan mata, pemakanan dan diet yang sihat,” katanya kepada pemberita di sidang media, di Hotel Grand Puteri Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Manis FM, Encik Che Abd Rani Mohd dan Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Puan Zawiah Sharif.

Sementara itu, Encik Che Abd Rani berkata, pendengar berpeluang mengikuti 12 slot setiap Khamis bermula jam 10 hingga 11 pagi yang akan membincangkan pelbagai topik dan perkongsian info kesihatan antara kedua-dua syarikat milik kerajaan negeri itu.


Katanya, pihaknya berharap pendengar dapat mengambil peluang untuk mengetahui lebih dekat mengenai perkhidmatan dan kemudahan disediakan KTS, selain meningkatkan bilangan pendengar stesen Manis FM.

Selain itu antara sesi bual bicara `Kesihatan & Anda’ yang akan bersiaran bertajuk `Merokok dan Kesihatan’ oleh Pakar Perubatan Am/Respiratori, Dr Shaharudin Abdullah (7 November); Diabetis dan Komplikasi oleh Pakar Perubatan Am, Dato’ Dr S Menon (14 Novemer); `Imunisasi dan manfaat kepada anak’ (21 November) dan `Asma di kalangan kanak-kanak’ (5 Disember) oleh Pakar Pediatrik (kanak-kanak), Dr Najimu Al-Farid Najimudin.

 

Terengganu jadikan pendidikan sebagai pelaburan

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra 

Kerajaan negeri berhasrat menjadikan bidang pendidikan sebagai pelaburan penting bagi membangunkan potensi setiap masyarakat agar dapat merelisasikan wawasan untuk menjadikan Malaysia negara maju.

YB Ghazali Taib menyampaikan Sijil Kecemerlangan kepada salah seorang pelajar pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan di Pusat Dagangan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, YB Ghazali Taib berkata pihaknya menyediakan peruntukan hampir RM300 setahun, semata-mata mahu melihat masyarakat dari seawal usia hingga dewasa, celik ilmu .

Katanya,melalui peruntukan besar itu akan disalurkan bagi meningkatkan pecapaian murid-murid dalam peperiksaan awam, pengagihan e-Book, pengaplikasian kelas maya dan peperiksaan, penyediaan peruntukan khas untuk sekolah elit dan premier.

Karnival Pendidikan mendapat sambutan daripada murid dan pelajar sekolah.
“Peruntukan lain, pinjaman untuk anak-anak Terengganu melanjutkan pelajaran ke universiti di dalam dan luar negara.

“Melalui usaha itu, kita bersyukur pencapaian dalam semua peringkat peperiksaan awam bagi anak-anak Terengganu sebelum ini, menunjukkan peningkatkan sangat membanggakan.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu.


Hadir sama, Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Azmi Razik dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Zakaria Husin.

 Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka hadir pada karnival yang dianjurkan JPNT selama tiga hari, berakhir esok (25 Oktober).

Karnival tahunan itu menghimpunkan pelbagai bentuk kejayaan sekolah dan murid dalam meningkatkan kualiti pendidikan.


Ia merupakan hasil kerja murid yang dipersembahkan melalui koleksi pameran keusahawanan, Konsert Okestra Pendidikan serta pelbagai pesembahan membabitkan pelajar.

YB Ghazali turut memberitahu,kerajaan amat menitikberatkan bidang pendidikan dan komitmen besar ini bertujuan mengangkat martabat pendidikan dengan melonjakkan pencapaian pelajar dalam semua peperiksaan awam.

“Hari ini apabila orang bercakap mengenai pendidikan, maka tidak dapat lari dari membayangkan kehebatan negeri Terengganu.

 “Agenda ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ menyaksikan kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bidang pendidikan sebagai nilai tambah kepada pelajar,” katanya.

 

Program Hippoterapi dan perasmian RDA cawangan Terengganu pada 6 November

Oleh: Noraini Jusoh dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Yayasan Kebajikan Perkasa Alam (YKPA) dengan kerjasama kerajaan negeri memperkenalkan program Hippoterapi atau terapi berkuda bagi membantu golongan kurang upaya dalam memulihkan kecacatan diri terutamanya kecatatan anggota.
Bertemakan ‘Kerana kamu Adalah Istimewa’, program Hippoterapi dan perasmian ‘Riding For Disable Association’ (RDA) cawangan Terengganu akan dilancarkan pada 6 November ini di Terengganu Equestrian Resort (TER).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka akan meyempurnakan majlis perasmian pusat Hippoterapi itu.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Perkasa Alam, Dato’ Hamzah Muhammad berkata, sempena majlis pelancaran itu, pihaknya akan menjemput pelajar istimewa daripada jabatan pelajaran dan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita sasarkan untuk menghimpun seramai 600 pelajar Orang kelainan Upaya (OKU) bagi diberi pendedahan tentang keberkesanan terapi berkuda.

“Walaupun program ini masih baru di Malaysia, tetapi telah banyak diperkenalkan terutamanya di pantai barat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Hippoterapi ‘Kerana Kamu Adalah Istimewa’ di Rumah Kelab, Terengganu Equestrian Resort (TER), semalam.

Katanya, program Hippoterapi merupakan satu bentuk terapi yang menggunakan pergerakan haiwan khususnya kuda bagi menjalankan terapi pada kanak-kanak dan dewasa istimewa atau OKU yang mengalami masalah kecacatan diri.

“Kita melatih pelajar OKU menunggang kuda untuk memberi pendedahan dan peluang agar mereka dapat meningkatkan keyakinan diri sekali gus membantu memulihkan kecacatan anggota yang dialami,” ujarnya.

 

Konvo Kolej Universiti Bestari (UCB) Sabtu ini.

Naib Canselor UCB, Mustaffa Ismail.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Seramai 580 penuntut Kolej Universiti Bestari (UCB) akan menerima sijil dan diploma masing-masing pada Konvokesyen kolej universiti itu yang akan diadakan di Tabung Haji (TH) Hotel , Kuala Terengganu, sabtu ini.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Mustapha Ismail, berkata turut diadakan pada konvokesyen itu ialah Majlis Pemasyuran Canselornya, Tan Sri Samsuddin Osman.

“Seramai 580 graduan daripada sembilan kursus yang ditawarkan akan menerima sijil dan diploma. Daripada jumlah itu seramai 214 penuntut adalah penerima Diploma Jururawat iaitu kursus yang menjadi pilihan ramai di UCB,” katanya.

Dr. Mustaffa berkata, bilangan yang menerima anugerah cemerlang adalah seramai lima orang, tiga daripadanya menerima Anugerah Pengerusi Eksekutif manakala bagi Anugerah Naib Cancelor dan Anugerah Tertinggi Canselor masing-masing seorang penerima.

“Saya mengharapkan penuntut yang terbabit dengan konvokesyen kali ini supaya budaya ilmu yang dipelajari di UCB ini akan terus menjadi warisan untuk dikongsikan dan diamalkan kepada masyarakat selepas mereka digelar graduan nanti.

“Kepada bakal graduan juga, saya ucapkan selamat mengharungi kerjaya dan semoga akan mendapat keberkatan Allah s.w.t,” katanya.

 

Ketua Pemuda, Puteri Terengganu pikul tanggungjawab besar

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pemilihan Umno di semua peringkat sudah pun selesai di mana kepimpinan Pergerakan Pemuda dan Puteri menyaksikan 100 peratus muka baru menerajui kedua-dua sayap parti itu di semua lapan bahagian di negeri ini.

Perwakilan Pemuda memilih lapan ketua baru iaitu Azizul Jasmi Mohamad (Besut), YB Mohd Iskandar Jaafar (Setiu), Khairuddin Abd Majid (Kuala Nerus), Dr Najmil Faiz Mohamad Aris (Kuala Terengganu), Mohd Johari Abu Bakar (Hulu Terengganu), Jasmira Othman (Marang), Mohamad Asri Mohamad (Dungun) dan Ahmad Fikry Ibrahim (Kemaman).

Manakala perwakilan Puteri pula memilih lapan pemimpin baru iaitu Erniesalwani Saidi (Besut), Norfuzilawati Yusoof (Setiu), Zuraiha Shariza Embong (Kuala Nerus), Nia Notieya Zaharuddin (Kuala Terengganu), Rozita Ismail (Hulu Terengganu), Laila Mat Daud (Marang), Arlina Rsoli (Dungun) dan Shaheda Jusoh (Kemaman).

Kini 16 ketua Pemuda dan Puteri Umno bahagian berkenaan memikul tanggungjawab yang amat besar bagi menarik pemuda dan pemudi di kawasan masing-masing supaya menyokong Umno dan memulihkan kekuatan Barisan Nasional (BN) di seluruh Terengganu.

Ini berikutan banyak pihak membuat rumusan antara faktor kekalahan ramai calon BN di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu kerana kurang mendapat sokongan golongan muda.

Boleh dikatakan punca kekalahan BN disebabkan sebahagian besar saluran empat dan lima di pusat-pusat mengundi di seluruh negeri memihak kepada calon-calon pembangkang.

Justeru, banyak pihak beranggapan transformasi yang berlaku pada pemilihan peringkat Pergerakan Pemuda dan Puteri yang menyaksikan rombakan kepimpinan besar-besaran bagi kedua-dua sayap itu merupakan detik terbaik untuk mereka melakukan pembaharuan bagi memikat golongan muda.

Kepimpinan baru Pemuda dan Puteri dengan restu ketua bahagian masing-masing perlu bergerak mulai sekarang bagi merangka pelbagai program yang mampu menambat hati golongan muda untuk mendekati semula Umno dan menyokong BN.

Ketika mengulas mengenai transformasi yang berlaku dalam kepimpinan Pemuda dan Puteri serta bahagian, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata:

 “Pemilihan kali ini boleh dikatakan menyaksikan perlawanan di semua peringkat. Kita sudah beri kebebasan kepada semua pihak untuk bertanding dan memilih pemimpin yang terbaik.

 “Selepas ini kita harap pemimpin yang telah dipilih bekerja kuat untuk mengukuhkan kedudukan Umno dan BN. Manakala ahli-ahli pula perlu bersatu dan merapatkan jurang selepas pertandingan.

 “Kita tidak mahu ada lagi puak-puak tertentu selepas ini kerana masing-masing sudah diberi peluang untuk bertanding dan berkempen untuk pemimpin mereka,” ujar beliau.

Pelancaran Kelas Sijil Tahap Mutawassit Sesi 2013-2015

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melaksanakan Kelas Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) yang menyamai kelas agama dewasa dan kelas malam yang pernah dilakukan pada tahun-tahun 1960-an.

Sebagai permulaan, kelas pengajian ini diperkenalkan di empat buah masjid iaitu Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ladang , Masjid Hadhari (Jertih), Masjid Sultan Ahmad (Chukai), dan Masjid Putra Jaya(Setiu).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh berkata, Mesyuarat Maidam yang bersidang pada 20 Februari 2011 memutuskan agar diwujudkan platform khas untuk pembelajaran agama secara formal dan bersijil bagi golongan berusia 25 tahun ke atas.

“Kelas ini sudah berjalan 17 bulan dan kumpulan pertama pelajar ini telah tamat peperiksaan dan lulus di peringkat Ibtida’i dan mereka layak memasuki kelas ini ke tahap seterusnya iaitu Mutawassit.

“Kemasukan ke kelas Ibtida’i bagi program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat, manakala kelas pertengahan dan lanjutan memerlukan satu ujian kelayakan masuk yang mesti melepasi markah 70 peratus ke atas sebagai syarat kemasukan,” katanya.

Dato’ Mohd Rozali Saleh berkata program pembelajaran ini dilaksankan dua kali seminggu setiap Jumaat, sepanjang tempoh satu setengah jam dan Sabtu (tiga jam).

Katanya, tenaga pengajar terdiri daripada guru agama yang berpengetahuan dan berpengalaman luas dalam bidang agama.

Menurutnya, sijil yang diperolehi pelajar dapat digunakan sebagai sokongan bagi sebarangan permohonan jawatan mubaligh imam,bilal,dan guru agama dan sebarang jawatan yang berkaitan bidang agama.

Terdahulu, beliau berkata antara objektif program ini ialah mengembalikan semula imej Terengganu sebagai pusat pengajian agama yang tersohor dan terkenal.

Di samping itu, SPAIT juga mampu melahirkan masyarakat yang benar-benar memahami dan mempraktikan islam berpandukan kepada ahli sunnah wal jamaah.

Sementara itu majlis pelancaran Kelas SPAIT akan dilaksanakan di Dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah Ladang, Kuala Terengganu pada esok (25 Oktober 2013) jam 9.30 pagi.

Majlis berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Yang Di Pertua Maidam, Dato’ Bentara Luar.

 

Program ETA diperluas peringkat universiti

Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) yang sebelum ini dilaksanakan di peringkat sekolah akan diperluaskan ke peringkat universiti dalam usaha meningkatkan mutu bahasa Inggeris anak tempatan.

Program ETA akan dilaksanakan di peringkat universiti. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Pengarah Eksekutif American-Malaysia Commission on Educational Exchange (MACEE) Dr James Coffman berkata idea itu akan dibincangkan dengan Kementerian Pendidikan selepas melihat kejayaan program ETA sejak diperkenalkan pada 2006.

 "Buat masa ini ETA hanya dilaksanakan di peringkat sekolah dan kami mahu perluaskan ETA ke peringkat universiti. Kami akan bincangkan ini dengan Kementerian Pendidikan dalam waktu terdekat," katanya dalam sidang media pada majlis meraikan 20 ETA yang akan tamat perkhidmatan akhir bulan ini, di Kuala Terengganu, semalam.

Kumpulan guru ETA tersebut merupakan lulusan dari pelbagai universiti di Amerika Syarikat ditugaskan mengajar di 20 buah sekolah di Terengganu pada tahun ini mulai awal Februari lalu.

Program perintis ETA oleh kerajaan negeri Terengganu bermula 2006 itu kini turut diperluaskan ke negeri Pahang dan Johor bermula 2012 di bawah seliaan Kementerian Pendidikan.

Malah Sarawak juga dilihat berminat dengan program itu. Seorang daripada guru ETA, Amanda Ussak, 23, berasal dari New Jersey berkata peluang menetap lapan bulan di Terengganu memberikannya satu pengalaman berharga menjadi tenaga pengajar selain berpeluang mempelajari budaya negeri ini.

 "Saya suka tinggal di Terengganu dan sudah mulai gemar makan keropok lekor dan saya berpeluang belajar mencanting batik di Noor Arfa Batik

 "Walaupun pada awalnya saya berdepan kesukaran mengajar subjek (bahasa Inggeris) kepada pelajar kerana mereka malu-malu, tetapi saya berjaya mengubah persepsi mereka iaitu belajar bahasa Inggeris adalah menyeronokkan dan mudah," katanya.

Pada tahun depan, sebanyak 20 lagi guru baharu ETA akan ditugaskan berkhidmat di negeri ini bermula awal tahun hadapan juga selama lapan bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib yang turut hadir pada majlis itu berkata program ETA memberi impak positif dari segi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

 "Jika dahulu kita lihat pelajar-pelajar terutamanya di daerah-daerah pedalaman di negeri ini takut untuk menggunakan bahasa Inggeris, sekarang dengan guru-guru ETA ini, mereka tidak lagi segan silu untuk cuba menggunakan bahasa ini," katanya.