Halaman

03 November 2013

Kampung Besut, Setiu sedia hadapi banjir

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Besar...Ibrahim menunjukan paras air banjir 2005 di kampungnya.
SETIU: Kira-kira 200 penduduk Kampung Besut, di sini sudah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku di kampung mereka berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Tinjauan Teganukita di kampung yang sering ditengelami air apabila berlaku banjir itu mendapati rata-rata penduduk sudah biasa dengan kemungkinan banjir dan beberapa keperluan disediakan antaranya ialah barang makanan.

Seorang penduduk, Ibrahim Mamat, 51, berkata, beliau yang setiap tahun berpindah itu apabila berlaku banjir sudah membuat beberapa persediaan antaranya ialah memastikan binatang ternakan tidak berada jauh daripada kawasan rumah supaya mudah dialihkan di tempat lebih tinggi.

"Selain itu, beberapa keperluan barangan makanan saya beli lebih sedikit kerana bimbang tidak dapat keluar rumah apabila berlaku banjir. Manakala kenderaan pula saya akan alih lebih awal di tempat selamat jika hujan lebat berterusan," katanya.

Sena..siap sedia.
Seorang lagi penduduk, Sena Daud, 54, berkata dia sudah bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan berpindah jika berlaku banjir kerana air di kawasan rumahnya cepat naik dan laju.

"Kami sekeluarga sudah biasa dengan banjir ini kerana setiap tahun kawasan rumah kami banjir tetapi yang membimbangkan kami ialah apabila air naik begitu cepat sebagaimana banjir yang berlaku pada 2005 di mana hampir kesemua penduduk kampung ini berpindah ke sekolah berhampiran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK kampung itu, Nik Danya Nik Abdul Rahman, berkata beliau mengharapkan penduduk supaya berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

"Di pusat perpindahan pihak kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk penduduk yang terbabit dengan banjir termasuklah memberi bantuan makanan, selimut dan lain-lain. Mereka yang berpindah juga akan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan," katanya.
Tanda...seorang penduduk menunjukan tanda aras air.


Pembangkang ganggu jentera Umno Terengganu di Sungai Limau

Pihak pembangkang menganggu petugas Umno Terengganu yang membantu Barisan Nasional (BN) berkempen bagi memastikan kemenangan calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Kedah.

Bagaimanapun, sehingga ini tidak ada sebarang kejadian buruk dilaporkan kerana pengurusan Umno Negeri menasihatkan petugas supaya berjalan secara berkumpulan dan mengelakkan diri daripada berseorangan ketika berkempen.

Umno Terengganu ditugaskan untuk berkempen di dua Pusat daerah Mengundi (PDM) di DUN Sungai Limau iaitu Bukit Cheras dan Gelam 3.

Ketua Umno Bahagian Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee yang diberi tanggungjawab mengetuai kempen BN Terengganu di Sungai Limau, mengakui berlaku kekerasan dalam kempen tersebut yang berpunca daripada pihak pembangkang, tetapi pihaknya telah siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berakta, petugas Umno telah dinasihatkan supaya berkempen secara berhemah dan mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penyokong pembangkang.

Katanya, Umno dan BN Terengganu telah melakukan yang terbaik bagi memastikan calon BN menang pada PRK tersebut.

“Kini terpulang kepada pengundi di kawasan berkenaan untuk membuat keputusan yang diharapkan dapat memberi kebaikan kepada mereka.

“Umno dan BN telah memberi peluang kepada mereka untuk memilih calon terbaik daripada kalangan anak tempatan Sungai Limau,” ujar beliau.

 

96 pasukan kesihatan hadapi banjir

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menubuhkan 96 pasukan khas di seluruh negeri bagi menghadapi banjir tahun ini.

Daripada jumlah itu, 45 pasukan perubatan manakala 51 pasukan kesihatan yang mengandungi tiga hingga empat kakitangan jabatan berkenaan yang akan bertugas membantu mangsa banjir.

Pengarah jabatan itu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman, pasukan perubatan akan bersiap sedia memberi rawatan apabila ada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir yang disediakan.

“Manakala pasukan kesihatan pula akan membuat pemantauan dari aspek kebersihan dengan membuat pemeriksaan di pusat-pusat pemindahan bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat digunakan,” katanya.

Selain itu, jabatan berkenaan juga akan memberi perhatian khusus kepada keperluan asas mangsa banjir seperti bekalan air bersih dan tandas, bagi memastikan mereka tidak dijangkiti penyakit merbahaya.

MBKT tubuh pasukan khas

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Encik Ghani Idris berkata pasukan tersebut akan mengawasi kejadian pokok tumbang, longkang tersumbat dan sebagainya.

"Kita telah meletakkan pasukan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam itu yang dijangka berlaku pertengahan November ini," katanya.

Encik Ghani berkata sebagai langkah awal, tindakan membaik pulih jalan-jalan berlubang telah dilakukan bagi mengelak kemalangan semasa banjir.

“MBKT akan membuka bilik gerakan banjir di Kelab Eksekutif MBKT di Batu Buruk, tahun ini, sebagaimana dilakukan tahun-tahun lepas.

 “Justeru, pihak kami mengingatkan orang ramai terutamnya yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air, supaya waspada ketika musim tengkujuh,” katanya.

 

UCB lahir jururawat berkualiti-Naib Canselor.

Oleh: Aminudin Ismail.

Dr.Mustaffa...bantu penuntut.
SETIU: Hampir keseluruhan penuntut Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Bestari (UCB) mampu mendapat pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian di kolej universiti itu selepas mereka menamatkan pengajian dalam bidang itu.

Naib Censelornya, Dr. Mustaffa Ismail berkata, kebanyakan penuntut yang menamatkan pengajian dalam bidang itu akan terus mendapat pekerjaan setelah mereka menerima diploma masing-masing.

"Kita mempunyai kira-kira lebih 200 penuntut dalam bidang ini yang menamatkan pengajian mereka pada setiap tahun dan hampir kesemuanya berjaya mendapat pekerjaan di hospital kerajaan dan swasta.

"Pihak kami sentiasa berusaha supaya bukan sahaja lepasan diploma jururawat ini mudah mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian mereka di UCB malah juga bidang-bidang  pengajian lain," katanya. 

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, UCB mengharapkan konsep wakaf yang diperkenalkan bagi menjayakan pengurusan kolej universiti yang sedang menuju kepada universiti penuh itu akan mendapat sambutan daripada orang ramai.

"Kita mengharapkan lebih ramai yang akan menyertai pembelian lot-lot tanah ini untuk diwakafkan bagi menjayakan usaha kami menjadikan UCB ini sebuah universiti berkonsepkan Islam menjelang 2016," katanya.

 

02 November 2013

KPM akan laksana kokurikulum Ulul Albab

Oleh: Suriati Ali 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri melaksanakan kokurikulum Ulul Albab, mulai tahun depan.

 Menteri Pendidikan II,Dato' Seri Idris bin Jusoh, berkata pihak mencadangkan agar kokurikulum itu diguna pakai bermula tahun depan, tetapi jika sekolah yang terpilih melaksanakan program berkenaan belum bersedia, dari aspek peralatan pembelajaran dan kemampuan penerimaan pelajar, ia boleh ditangguhkan ke tahun seterusnya.

 “KPM serius ingin melaksanakannya kerana ia bukan saja mampu membantu meningkatkan kesedaran terhadap pembelajaran Agama Islam malah dapat menghafaz, memahami Al-Quran, Hadith dan mengamalkan cara Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran Perdana dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kalam Jama'i Sekolah-Sekolah KPM di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dato’ Seri Idris Jusoh turut memberitahu, Program Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain (j-QAF ) merupakan satu pendekatan pembelajaran agama Islam di setiap sekolah di negara ini, bermula awal 2005 lalu.

 “Melalui pelaksanaan program j-QAF ini, kebanyakan pelajar bukan saja mampu khatam al-Quran lebih awal iaitu sebelum menjejak kaki ke sekolah menengah malah dapat menguasai bahasa Arab dengan baik.



 “Apa yang membanggakan, minat pelajar terhadap bahasa Arab terus mendapat respon positif, sehingga mampu mengikuti program `coral speaking’ dalam bahasa itu dengan baik,” katanya.

 

MB lawat PDM Gelang Patah

Menteri Besar Terengganu ,Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengadakan kenduri rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gelam 3 di Sungai Limau, Kedah yang merupakan ‘anak angkat’ kepada Umno Negeri Terengganu, petang semalam.

Kira-kira 500 orang hadir bagi memeriahkan majlis itu dan meraikan Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Terengganu.

Berucap pada majlis itu, Menteri Besar meminta agar pengundi di Gelam 3 berfikir banyak kali untuk mengundi calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau kali ini. Beliau berkata, sepanjang lima penggal PAS mentadbir DUN Sungai Limau, tidak ada sumbangan kepada pengundi di kawasan itu semalam ini.

“Apa sumbangan PAS kepada Pengundi di DUN Sungai Limau selama ini dari segi kebajikan,pembangunan,sosioekonomi,pelajaran & kesihatan? DUN inilangsung tidak membangun,” katanya

Katanya, adalah amat dikesali kawasan itu jauh ketinggalan walaupun bekas wakil rakyat kawasan DUN Sungai Limau juga bekas Menteri Besar Kedah.

“Oleh itu, saya menyeru semua pengundi PDM Gelam 3 agar mengundi Barisan Nasional bagi menjamin perubahan yang akan dibawa oleh Kerajaan Kedah kepada penduduk di Gelam 3 khasnya.

 “Apa lagi rakyat daripada PAS Masa mereka menjadi kerajaan di Kedah ini apa PAS buat untuk Rakyat Sungai Limau ini. Tiada apa pun.

 “Kini tiba masanya untuk berubah dengan mengundi BN di hari pembuangan undi nanti.. contoh dah ada dengan apa yang berlaku kepada rakyat sungai limau ini.Marilah kita sama-sama berhijrah dari PAS kepada BN kali ini, dan ambil kesempatan Hijrah yang akan berlaku selapas 5 haribulan ini,” katanya.

 Selepas kenduri itu, Menteri Besar sempat melawat sembilan buah rumah dibawah jagaan Perhubungan Negeri Terengganu di PDM Gelam 3.

Antara rumah yang dilawatinya ialah PuanHajjah Robiah Harun yang berumur 73 tahun dan mengalami sakit lumpuh separuh badan. Menteri Besar menghulurkan bantuan sebuah kerusi roda kepada Hajjah Robiah bagi memudahkan pesakit itu bergerak.


Banyak sekolah di Terengganu ada akses internet berkelajuan tinggi

Lebih 90 peratus sekolah di Terengganu sudah dilengkapi kemudahan Internet berkelajuan tinggi yang mempermudah proses pembelajaran secara maya atau VLE.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Ghazali Taib berkata kadar itu meliputi 447 daripada 494 sekolah di Terengganu.

Hasrat ini direalisasikan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi YTL Communications Sdn Bhd yang menyediakan kemudahan Internet 4G dan VLE di Terengganu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Profesionalisme Pengurusan VLE Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu semalam.

Mengenai VLE, Ghazali berkata setakat September lepas sebanyak 694 guru dari 347 sekolah sudah menerima latihan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin yang turut hadir berkata, sehingga kini 1,396 pelajar telah menerima latihan VLE

VLE merupakan sebahagian daripada 1BestariNet iaitu portal pembelajaran yang diperkenal oleh Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran selain merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar.

200 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Besut sertai latihan berjalan kaki


Pegawai Rela Daerah Besut, Abd Razak Ishak memegang jalur gemilang melepaskan peserta

Oleh: Mohammad Ishak 

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Daerah Besut, meningkatkan tahap kecergasan anggota di daerah itu dengan mengadakan sesi latihan berjalan kaki dalam usaha memantapkan lagi keupayaan mental dan fizikal ketika menjalankan tugas.

Bagi tujuan itu seramai 200 anggota kumpulan pertama dipilih menyertai latihan yang diadakan pada waktu malam.

Pegawai Rela Daerah, Abd Razak Ishak berkata, pihaknya menetapkan laluan sejauh 10 kilometer bermula dari Kampung Bukit Payong dan berakhir di Kampung La, Hulu Besut.

Katanya, peserta termasuk wanita menunjukkan tahap kecergasan dan ketahan diri yang baik dan mampu menamatkan perjalanan tanpa menghadapi sebarang masalah.

Menurutnya, kejayaan program pertama itu menjadi asas kepada agensi terbabit untuk menganjurkan sesi latihan selanjutnya membabitkan semua anggota tanpa mengira pangkat.

Sementara itu, penyelaras Rela Mukim Hulu Besut, Abdul Rani Ibrahim berkata, menerusi latihan itu semua anggota mendapat sedikit pengalaman terutama berjalan kaki pada waktu malam pada jarak yang agak jauh.

Katanya, anggota terutama wanita sanggup meninggalkan keluarga dan anak kerana ingin mencuba pengalaman baru dengan berjalan kaki dan mereka mampu bersaing dengan anggota lelaki.

Kegagalan saksi tampil, bantut kes jenayah seksual : Prof Datin Noor Aziah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan saksi kejadian gangguan seksual tampil membantu memberi keterangan kepada pihak berkuasa menyebabkan banyak kes jenayah melibatkan wanita itu gagal diselesaikan dengan cepat, kata Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal.

“Kesukaran orang ramai tampil menjadi saksi setiap kes walaupun mereka mengetahui secara langsung dan berada di tempat kejadian menimbulkan masalah untuk mempercepatkan proses perundangan kes gangguan seksual.

 “Oleh itu, kesedaran orang ramai perlu dipertingkatkan lagi menerusi pelbagai forum, seminar dan juga diskusi yang dilaksanakan pelbagai pihak dan agensi bagi membantu menangani, memberi keyakinan sekaligus memperkasakan lagi kedudukan serta martabat golongan wanita di negara kita,” katanya di Seminar Perundangan Dan Hak-Hak Wanita Negeri Terengganu 2013, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Program dirasmikan Penaung Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II Puspanita Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Maimunah Mohd Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Insan Yayasan Islam Terengganu (YIT), Ustaz Ahmad Fadluldin Mohamad.

Seramai 1,000 ahli Puspanita seluruh Terengganu hadir ke majlis itu.

Selain itu, Prof Datin Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata enam punca wanita sering mendiamkan diri dan tidak melaporkan gangguan seksual yang dihadapi mereka adalah disebabkan perasaan malu, kesan publisiti, bimbang diperbodohkan, takut dibuang kerja, tiada dan tidak mengetahui prosedur membuat laporan serta tiada keyakinan kepada sistem perundangan yang ada.

Katanya, kesan gangguan seksual boleh mengakibatkan implikasi kepada maruah dan semangat, selain produktiviti kerja merudum, tempat bekerja sebagai tempat menakutkan dan keselamatan pekerja terancam.