Halaman

03 November 2013

Kampung Besut, Setiu sedia hadapi banjir

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Besar...Ibrahim menunjukan paras air banjir 2005 di kampungnya.
SETIU: Kira-kira 200 penduduk Kampung Besut, di sini sudah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku di kampung mereka berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Tinjauan Teganukita di kampung yang sering ditengelami air apabila berlaku banjir itu mendapati rata-rata penduduk sudah biasa dengan kemungkinan banjir dan beberapa keperluan disediakan antaranya ialah barang makanan.

Seorang penduduk, Ibrahim Mamat, 51, berkata, beliau yang setiap tahun berpindah itu apabila berlaku banjir sudah membuat beberapa persediaan antaranya ialah memastikan binatang ternakan tidak berada jauh daripada kawasan rumah supaya mudah dialihkan di tempat lebih tinggi.

"Selain itu, beberapa keperluan barangan makanan saya beli lebih sedikit kerana bimbang tidak dapat keluar rumah apabila berlaku banjir. Manakala kenderaan pula saya akan alih lebih awal di tempat selamat jika hujan lebat berterusan," katanya.

Sena..siap sedia.
Seorang lagi penduduk, Sena Daud, 54, berkata dia sudah bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan berpindah jika berlaku banjir kerana air di kawasan rumahnya cepat naik dan laju.

"Kami sekeluarga sudah biasa dengan banjir ini kerana setiap tahun kawasan rumah kami banjir tetapi yang membimbangkan kami ialah apabila air naik begitu cepat sebagaimana banjir yang berlaku pada 2005 di mana hampir kesemua penduduk kampung ini berpindah ke sekolah berhampiran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK kampung itu, Nik Danya Nik Abdul Rahman, berkata beliau mengharapkan penduduk supaya berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

"Di pusat perpindahan pihak kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk penduduk yang terbabit dengan banjir termasuklah memberi bantuan makanan, selimut dan lain-lain. Mereka yang berpindah juga akan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan," katanya.
Tanda...seorang penduduk menunjukan tanda aras air.