Halaman

06 November 2013

Kerajaan negeri sedia bantu Pusat Hippoterapi dan RDA Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan yang diperlukan Pusat Hippoterapi dan ‘Riding For Disable Association’ (RDA) cawangan Terengganu bagi meringankan beban pusat berkenaan dalam menyediakan rawatan terapi berkuda (Hippoterapi) untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said berkata, kerajaan negeri sedia memberi bantuan kepada RDA berdasarkan keperluan yang diperlukan pusat terbabit dan akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita akui kos untuk pusat ini memberikan khidmat terapi berkuda secara percuma kepada golongan OKU agak tinggi, justeru kerajaan negeri akan sentiasa bersedia untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan samada dalam bentuk kewangan atau bantuan lain secara berperingkat.



 “Pusat Hippoterapi ini merupakan salah satu rawatan alternatif kepada mereka yang memerlukan. Terdapat golongan OKU yang hanya mengalami kecacatan yang masih boleh diubati, tetapi kerana dibiarkan masalah kecacatan yang mereka alami semakin merosot.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan mereka kepada rawatan fisioterapi, latihan serta memberi semangat dan motivasi kepada golongan ini,” ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Seminar Keberkesanan Hippoterapi dan Perasmian RDA cawangan Terengganu, di TER, hari ini.

Katanya, beliau berharap terapi berkuda menjadi suatu pendekatan baru dalam memberikan rawatan kepada OKU dan diterima khalayak ramai walaupun ia merupakan suatu perkara baru dalam masyarakat Malaysia.

 “Bagi memastikan program ini berjalan secara berterusan selain bantuan yang dihulurkan kerajaan, peranan dan sokongan ibu bapa juga penting dalam memastikan anak-anak OKU ini mendapat hak yang sewajarnya sekali gus dapat membantu memulihkan kecacatan yang mereka alami.