Halaman

06 November 2013

Bersikap terbuka terima maklum balas rakyat : Dato' Haji Mazlan

Dato' Haji Mazlan Ngah (kiri) bersama pegawai kanan kerajaan selepas Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar WDI, pagi ini.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Setiausaha Kerajaan Negeri menyeru semua penjawat awam supaya bersikap terbuka ketika menerima maklum balas rakyat sebagai usaha memperbaiki dan menambah baik kualiti sektor berkenaan selaras dengan transformasi perkhidmatan awam.

Warga kerja Wisma Darul Iman mendengar amanat yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, inisiatif yang harus dilaksanakan di semua jabatan kerajaan itu juga memerlukan semua kakitangan turun padang bagi mendekati rakyat, mendengar suara dan permasalahan secara langsung sebelum mengambil langkah proaktif serta penyelesaian yang terbaik.

Dato'Tuan Mamat Tuan Ngah menyampaikan sijil kepada penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan.
“Selain turun padang, semua pegawai dan kaiitangan awam juga harus mengamalkan budaya musyawarah bersama pelanggan, fokus dan responsif dalam usaha mencapai sesuatu yang lebih baik.

 “Pada masa yang sama, kita perlu mengukuhkan aspek insaniah dan kekitaan supaya kerjasama yang terjalin mampu mengukuhkan silaturahim dan ukhwah bagi melancarkan lagi tugas dan tanggungjawab,” kata beliau ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu pagi ini.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato Haji Abdul Razak Ismail; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Tuan Mamat Tuan Ngah.

Dato’ Haji Mazlan berkata, prinsip merakyatkan perkhidmatan awam sebagaimana saranan Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Sri Dr Ali Hamsa itu juga menyarankan kerjasama strategik antara semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan bagi mengukuhkan sistem dan kecekapan perkhidmatan awam.

Beliau juga yakin penjawat awam di negeri ini akan menikmati faedah daripada penyusunan semula dan menaik taraf 81 Skim Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada pembentangan Bajet 2014, baru-baru ini.

 “Pekeliling mengenainya dijangka akan dikeluarkan pada bulan ini dan sama-sama kita semua menunggu skim yang mana akan terlibat,” katanya.

Di majlis itu, seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah cemerlang bulanan bermula Julai hingga September tahun ini, yang disampaikan Dato’ Tuan Mamat.