Halaman

07 November 2013

Terengganu dijangka berdepan lima gelombang banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu dijangka akan berdepan lima gelombang banjir berikutan ramalan hujan lebat dan air pasang besar yang berlaku pada musim tengkujuh kali ini.

Setiausaha Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Encik Mohd Sarif Hassan berkata, mengikut ramalan, fenomena gelombang pertama dijangka berlaku pada 4 hingga 10 November manakala gelombang kedua pula pada 17 hingga 24 November ini .

“Gelombang ketiga pula dijangka berlaku pada 2 hingga 9 Disember ini dan diikuti gelombang keempat pada 15 hingga 21 Disember ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Encik Mohd Sarif berkata, gelombang kelima pula dijangka berlaku tahun hadapan namun tarikhnya belum dapat dipastikan lagi.

“Ketika ini kita dalam tempoh jangkaan gelombang pertama namun setakat ini masih tidak berlaku banjir lagi.

“Smalam (kelmarin) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air sungai di Stesen Sekolah Menengah Sultan Badrul Alam Shah, Kemaman sudah melebihi paras bahaya dan di stesen JPS Kuala Terengganu sudah berada di paras amaran,” katanya.

Menurutnya, MKN sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang lebih besar kali berbanding hanya tiga gelombang pada musim tengkujuh yang lalu.

Dalam pada itu, sebanyak 198 kawasan di negeri yang sering dilanda banjir dijangka menghadapi bencana sama kali ini iaitu 30 kawasan di Besut, Setiu (21), Kuala Terengganu (17), Marang (27), Hulu Terengganu (29), Dungun (32) dan di Kemaman 42 kawasan.

Beliau berkata, ketika banjir berlaku, pihaknya akan membuka bilik gerakan 24 jam dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi hotline MKN di talian 09-6316021 atau 09-6222231.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari http://etindakan.terengganu.gov.my ataupun http://portalbanjir.mkn.gov.my untuk maklumat terkini mengenai keadaan banjir.