Halaman

05 November 2013

12,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Loy Krathong terbesar di Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 12,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Loy Krathong terbesar di Malaysia yang akan diadakan di Green Acres Resort, Kuala Ibai selama dua hari bermula 8 Nov ini.

Pengerusi Tetap Persatuan Loy Krathong Kuala Terengganu, Eh Chan a/l Tom berkata pesta kali ke-14 ini merupakan pesta tahunan anjuran persatuan tersebut sejak tahun 1999 yang menghimpunkan masyarakat Siam negeri ini dan turut dihadiri masyarakat Siam dari Thailand dan negeri lain seperti Kelantan, Perlis, Kedah serta Perak.

"Pesta ini sebenarnya merupakan pesta kebudayaan masyarakat Siam yang akan disambut setiap tahun yang mana masyarakat Siam akan melepaskan krathong (perahu kecil) yang diperbuat dari bunga ke dalam air sambil berniat untuk mendapatkan sesuatu.

"Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuklah persembahan dari artis popular Thailand dan prsembahan kebudayaan tradisi Thailand," katanya.

Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Mohd Jidin Shafie akan turut hadir pada majlis berkenaan.

 "Kita juga berharap agar kerajaan negeri ini mempertimbangkan agar program ini turut dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri kerana setiap tahun sememangnya pesta ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pengunjung luar.

"Untuk tujuan pesta ini, setiap tahun kita turut membelanjakan kira-kira RM300 ribu yang diperoleh dari sumbangan orang ramai dan hasil jualan meja pada majlis makan malam," katanya.

 Eh Chan berkata, asal usul pesta kebudayaan ini disambut adalah sempena mengingati peristiwa seorang puteri di India yang mengimpikan untuk menjejak dan melihat tapak yang ditinggalkan oleh Lord Buddha di tebing Sungai Ganges namun hajatnya itu tidak kesampaian.

"Puteri itu akhirnya berniat untuk membuat sesuatu supaya niatnya akan sampai ke tapak Buddha di mana dia mencipta krathong iaitu perahu kecil dan dalam krathong ini diletakkan lilin, colok, bunga dan sebelum dihanyutkan dia berniat supaya krathong dan niatnya akan sampai ke tapak buddha tersebut," katanya.

Menurutnya, Pesta Loy Krathong ini bukan sahaja diharapkan dapat merapatkan hubungan antara masyarakat Siam di negara ini, tetapi juga dapat memperkenalkan budaya mereka kepada masyarakat umum.