Halaman

05 November 2013

Pelan Pembangunan Bola Sepak 2014-2020 di peringkat akhir-Khairy

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Belia dan Sukan kini sedang dalam peringkat akhir pelaksanaan Pelan Pembangunan Sukan Bola Sepak 2014-2020.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pelan pembangunan ini bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negara.

 "Untuk melahirkan kecemerlangan dan kegemilangan, bukan satu perkara yang mudah oleh sebab itu program ini kita libatkan kanak-kanak berusia 7 hingga 18 tahun kerana kita akan bermula dari akar umbi dan sekarang kita dalam rangka akhir untuk membangunkan pelan ini.

"Program pembangunan ini akan mencungkil bakat remaja untuk melayakkan diri dalam piala Remaja Dunia 2019," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) (KARISMA) 2013 di Dungun, baru-baru ini.

Menurutnya pelan pembangunan sukan tersebut akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Disember ini.

Khairy berkata, pihak kementerian juga akan memperkenalkan satu program baharu iaitu Fit Malaysia pada tahun depan.

"Program ini akan dijalankan secara berkala sepanjang tahun dan akan dilaksanakan di seluruh daerah dan negeri di negara ini.

 "Program ini bertujuan untuk melahirkan budaya bersukan yang tidak hanya memberi tumpuan kepada atlet, tetapi juga untuk diperluaskan kepada akar umbi," katanya.

Menurutnya, program ini akan meliputi empat acara sukan iaitu larian, basikal, seni mempertahankan diri serta acara yang memberi tumpuan kepada kecergasan wanita.